Search This Blog

Monday, August 31, 2009

Fighter 2

Kepayahan itu lebih terasa apabila tiba detiknya si kecil ini dilahirkan. Kebetulan, ketika itu, merupakan hari raya pertama. Alhamdulillah, sempurna puasa saya sebulan meskipun dalam keadaan sarat. Pandai pula si kecil memilih Hari Raya Puasa yang kedua untuk dilahirkan kedunia (kuasa Allah). Kesakitan hendak bersalin mula terasa pada waktu subuh raya pertama, tetapi si kecil lahir pada hari raya kedua. Dua hari menanggung sakit bersendirian tanpa sesiapa disisi. Hanya Allah yang tahu betapa azabnya menanggung sakit. Pada waktu itu, saya telah dimasukkan ke dalam labour room. Memandangkan kandungan baru memasukki usia 8 bulan. Saya berada di bawah pemerhatian doktor ketika itu. Kali pertama dalam hidup saya memakai tiub oksigen (teruja memakainya hehe) dan disuntik dengan pelbagai suntikan di pelbagai tempat.

Tiada sesiapa disisi saya pada ketika itu. Mengadu hanya kepada Allah. Suami berada jauh disemenanjung. Saya tidak mengharapkan suami untuk pulang menemani saya ketika itu kerana mahu dia menumpukan perhatian kepada exam. Mama dan ahli keluarga lain juga tidak dibenarkan masuk menemani saya, polisi hospital. Mujur ada handphone, sekurang-kurangnya boleh berhubung dengan ahli keluarga.

Sempat saya mengSMS mama menyuruh dia balik berehat di rumah dan tidak perlu menunggu saya di luar hospital kerana belum tentu saya akan bersalin dalam masa terdekat. Rupa-rupanya mama tidak balik ke rumah, bahkan menunggu di dalam kereta bersama pakcik dan adik bongsu saya sehingga ke pagi. Pengorbanan mama terlalu besar, entah berapa kali air mata mama tumpah kerana risaukan saya. Ketika menahan kesakitan untuk bersalin, barulah saya terasa betapa tingginya pengorbanan seorang ibu untuk melahirkan anak.

Keesokkan paginya, saya melahirkan Muhammad idris sowell pada pukul 9.15 pagi. Alhamdulillah, proses kelahiran berjalan lancar, walaupun terlalu sakit. Tetapi aneh, kesakitan itu sudah saya lupakan. Kuasa Allah. Saya pernah diberitahu oleh ustazah sekolah saya dahulu bahawa Allah menghilangkan ingatan kita terhadap kesakitan untuk bersalin, kerana itu sebahagian daripada rahmat Allah buat kita. Kalau kita masih ingat sakitbersalin itu, nescaya tidak ada sesiapa pun di dalam dunia ini yang mahu bersalin buat kali kedua.

Saya bersyukur, meskipun menghadapi segala-galanya berseorangan tanpa sesiapa di sisi, namun, Allah kuatkan semangat saya untuk menjadi seorang ‘fighter’. Allah kuatkan semangat saya agar saya tidak kalah dengan perasaan dan emosi sendiri. Mama juga seorang fighter. Menghadapi kebimbangan tanpa suami disisi yang menanti dengan gembiranya kelahiran cucu pertama. Muhammad Idris juga seorang fighter, berjuang untuk saya dan abahnya, bertahan agar bisa keluar ke dunia dengan sihat (kuasa Allah jua). Suami saya juga seorang fighter, bersabar dengan perpisahan meskipun ini adalah kelahiran anak yang pertama. Siapa yang tidak mahu mengazankan anak sendiri? Apatah lagi ini adalah anak yang pertama. Tetapi itu semua adalah kuasa Allah… memberi kami semua segala ujian ini agar kami lebih menghargai erti kasih sayang, dan erti pengorbanan.

Muhammad idris di azankan oleh pakcik saya, menurut pakcik saya, ketika di azankan, Muhammad Idris membuka mata seluas-luasnya sambil tersenyum. Barangkali suka mendengar kalimah suci itu berkumandang. Insyaallah… Kamu akan membesar sebagai fighter di jalan Allah anakku… Aaamin…

Wednesday, August 5, 2009

Fighter

Hari ini, tiba2 saya terkenang kembali detik2 kelahiran si kecil Muhammad Idris Sowell. Penuh dengan kepahitan dan kemanisan untuk dikenang. Bagaimana saya boleh tiba2 terkenang kembali pengalaman itu? Sebab saya baru selesai membaca blog saifulislam.com. Ust. Hasrizal menceritakan bagaimana pada setiap detik kelahiran anak2nya, dia sentiasa berada di sisi isterinya menghadapi proses kelahiran itu.

Berlainan sungguh dengan Muhammad. Sejak dari awal kandungan, kebanyakan masa saya hanya berseorangan menghadapi segala-galanya. Ada sebab disebaliknya, tapi biarlah hanya yang tahu sahaja yang menyimpan kisah itu. Cuma yang boleh dikongsi, ialah, antara sebab kebanyakan masanya saya berseorangan menghadapi segala-galanya ialah kerana pada ketika itu saya masih berada di tahun ke3 pengajian saya di UIAM dan pada ketika itu, saya dan suami masih duduk berasingan di hostel masing-masing. Untuk lebih focus pada study lah kononnya… di samping masih tidak mahu melepaskan hidup bersama rakan-rakan.

Bukan suami tidak prihatin. Malahan suami sangat prihatin, tetapi banyak sebab lain mengapa kami terpaksa juga memilih untuk tinggal di hostel masing-masing. Dan saya tidak menyesal sedikitpun bila mngenangkan kembali saat2 itu kerana setiap waktu yang saya harungi pada ketika itu memberikan saya banyak kenangan yang manis dan pahit untuk dikenang…sekurang-kurangnya untuk pengalaman hidup. Saya bersyukur atas kurniaan kesabaran yang Allah berikan kepada kami ketika menempuhi detik2 itu. Memang perit untuk dikenang.

Bayangkan sahaja pasangan lain, ketika isteri sedang mengidamkan sesuatu, si suami ada disisi untuk mencarikan. Sakit, pening, si suami ada di sisi menemankan, tetapi saya hanya menghadapinya berseorangan. Tapi saya pasrah dengan keadaan ketika itu, dan kepasrahan saya itu dibayar dengan kurniaan jiwa dan kesabaran yang kuat dalam diri saya oleh Allah Taala untuk mengharungi hidup mendatang. Sekali lagi saya bersyukur. Ketika kandungan masuk usia 7 bulanm, saya terpaksa mengambil tindakan yang berani.

Menangguhkan pengajian saya selama 1 semester kerana masalah keluarga di sebelah pihak saya. Ibu bapa di ambang perceraian dan saya mengambil keputusan untuk balik ke sabah, meninggalkan segala-galanya di semenanjung buat seketika untuk menemankan ibu menghadapi musibah itu. Ini kerana, ibu punya penyakit darah tinggi dan tiada sesiapa disisinya untuk membantu sekiranya berlaku apa-apa padanya. Dan pengorbanan ini, bukan daripada saya seorang. Suami juga terpaksa redha untuk berkorban. Bayangkan, terpaksa berpisah dengan isteri yang sarat mengandung. Pengorbanan Suami yang sangat saya hargai. Ini bukan seperti kisah orang lain yang meninggalkan isteri di rumah mentua supaya isteri lebih terjaga di saat2 akhir sebelum dan selepas melahirkan anak. Kami berpisah bukan di antara daratan sahaja, tetapi, ada laut yang memisahkan kami, dan pelbagai perkara lain yang menyumbang kepada perpisahan itu. Namun, kami redha…

To be cont… ngantuk…

saya anggap itu semua rezeki...

Saya terkejut kerana biarpun sudah bertahun-tahun berlalu namun FITNAH itu masih sedap berleluasa dan meniti dimulut-mulut mereka, saudara terdekat yang salah seorangnya darah daging saya sendiri. Setelah beberapa tahun menghadapi cerita yang sama, akhirnya saya menjadi terlalu lali dengan FITNAH itu semua. Terkilan memang ada kerana FITNAH itu berasal usul daripada orang yang kita sayang. Tetapi, apa yang boleh saya lakukan selain daripada BERSABAR. Ya, Innallaha maassobiriin... sesungguhnya Allah bersama dengan orang yang sabar.

Meski demikian,(betulkah penggunaan ayat aku ini?) saya tetap bersyukur dan berterima kasey kepada orang-orang yang sudi memfitnah saya itu. Kenapa? Kerana sudi untuk mendermakan sedikit pahala kepada saya yang memang ketandusan merit untuk dipersembahkan di hadapan Allah kelak. Bukankah dengan memfitnah itu, mereka juga secara tidak langsungnya mendermakan pahala mereka kepada saya? Terima kasih, saya anggap itu semua rezeki...

Semoga dosa kalian diampunkan Allah... kerana apa yang pastinya, sukar bagi saya untuk memaafkan dengan ikhlas. meskipun mulut memaafkan, tetapi hati menidakkan. Walaupun saya telah cuba untuk memaafkan seikhlas mungkin. Barangkali kerana kesan FITNAH itu terlalu perit untuk diterima.