Search This Blog

Monday, August 22, 2011

Saya yang difikirkan antagonis ini


Saya bukan watak antagonis.

Setidak tidaknya itu yang saya fikirkan tentang diri saya pada ketika ini. Saya bermasalah dengan jawatan pihak atasan. Tak kisahlah walau di organisasi mana pun saya berada. Saya akui, saya kadang-kadang bersuara agak lantang dalam memetik satu-satu isu. Dan saya akui, darah Gen Y saya ini terkadang melampaui batas. Namun alhamdulillah, saya masih pada landasan yang betul. Darah saya bukan masih muda, tapi sedang muda

MASIH selalu digunakan dalam perkataan ......dia MASIH muda...dia taktau apa-apa...
SEDANG boleh digunakan untuk perkataan...pisang itu sedang muda...walau masih belum boleh dimakan begitu sahaja, namun boleh dibuat kerepek dan dijual. Harga kerepek sekilo lebih mahal daripada harga setandan pisang masak.

You see what I mean? Analoginya, ya, kita yang muda-muda ini tidak suka mengikut arus, macam pisang yang hanya menunggu nasib dirinya untuk masak dan dimakan begitu sahaja. Kita yang muda-muda ni lebih banyak menjadi kerepek, sebab kita lebih suka menongkah arus.

Saya tidak nafikan, orang yang berjawatan tinggi itu, (dan tua) banyak jasanya kepada sesuatu organisasi, banyak pengalamannya. Namun,
manusia diuji dengan kuasa. Ya, manusia diuji dengan kuasa.Kadang-kadang, bila manusia itu terlalu lama berada di atas, dia sukar untuk memandang ke bawah semula. Kadang-kadang dia hanya rasa diri dia yang betul. Kadang-kadang bila sukar hendak memandang ke bawah semula, manusia pasti akan tersilap.

Saya terkilan bila dalam beberapa keadaan, saya menjadi antagonis dalam sesebuah organisasi hanya kerana kelantangan saya (yang tidaklah berapa lantangpun….). Saya akui, mungkin silap saya kerana terlalu “menyerlah tak kena tempat/ keadaan/ audience”. Mungkin juga cara saya tidak sesuai. Mungkin. Tapi, itulah cabaran bagi seorang ketua, bila si ketua itu mendapat seorang anak buah seperti saya yang suka mendesak sistem, yang suka menyuarakan apa yang saya rasakan betul, walaupun sinis, kerana, saya percaya, pada yang sinis itu (kerana beberapa cara bersopan sentiasa melambatkan tindakan) akan mempercepatkan tindakan. Cabaran apa? Cabaran untuk mengawal anak buah dengan cara yang professional dan educated.

SEBAB, saya tak cukup professional dan educated, maklumlah pisang muda….. oleh itu, tolonglah mengawal saya dengan cara yang professional dan educated, bukan dengan cara yang cukup menunjukkan bahawa anda sudah tua dan sudah hampir usia menopous (lelaki/perempuan) dan anda sangat suka sensitive pada ketika ini.

Ingat, sesebuah organisasi itu tidak akan berjaya tanpa watak antagonis seperti saya ini. Kerajaan Malaysia tidak akan sentiasa bergerak ke hadapan tanpa desakan pembangkang, walau macam mana pun caranya, lembut atau antagonis. Kalau tiada orang mendesak, kita sentiasa akan rasa selamat, tidak mahu melakukan pembaharuan. Kini saya faham, kenapa Ayahanda Tertinggi segala organisasi saya bersikap antagonis, kerana sikap orang-orang berjawatan atas yang SESETENGAHNYA tidak bertindak tanpa diketuk terlebih dahulu.

P/s: Kalaulah ada orang atas yang terasa (andai dia membacanya), saya tak kisah, memang niat nak bagi terasa pun. Ingat, orang atas tak akan berguna kalau tak suka terima teguran orang bawah, Sejarah Khalifah Umar sendiri menyaksikan seorang sahabat bangun menghunus pedang sebagai symbol teguran seandainya Umar terpesong dari landasan sebenar seorang pemimpin!!!



Daripada seorang samurai yang sedang marah.

Sunday, August 21, 2011

Octavia untuk Iris (Part 5)

BAB 4

“Natasya!” Aku tersentak apabila mendengar namaku dipanggil. Agak lama juga aku berdiri di hadapan tingkap mahligai Catriona ini mengelamun mengimbas kembali saat pertama aku menjejakkan kaki ke rumah ini.

“Ya Madam. Sekejap.” Balasku lembut tapi jelas.

Aku bergegas menuju ke ruang hadapan. Madam Rosaline berserta anak dan menantunya sedang bersiap-siap hendak keluar. Masing-masing sedang menjinjing beg pakaian yang besar.

“Natasya, kami semua nak keluar negeri. Seminggu. Mungkin dua minggu. Mungkin lebih. Jaga rumah, dan ingat apa yang I suruh you buat. Bunga-bunga tu susun ikut nama yang I dah bagi dalam list tu. Faham?” Madam Rosaline bercakap tanpa memandangku.

“Ya Madam. Faham” Balasku sambil tersenyum, walaupun kutahu senyumanku tidak sampai ke mata mereka. Tapi, bunga-bunga tu semua wujud ke kat Malaysia? Sejak akhir-akhir ini, kesemua majikanku semakin kerap berbahasa Melayu. Lebih-lebih lagi ketika mereka sedang bercakap denganku. Mungkin juga kerana aku menggunakan bahasa Melayu ketika berkomunikasi dengan mereka. Cuma kadang-kadang sahaja aku berbahasa English bercampur Melayu, iaitu pada waktu Margarate ada bersama-sama denganku menerima arahan daripada majikan-majikan kami. Margarate faham bahasa Melayu kerana dia sudah lama berkhidmat dengan majikan-majikan kami. Selalunya dia akan menggunakan bahasa English bercampur bahasa Melayu untuk berkomunikasi dengan kami semua.

“Err. Madam, boleh saya tahu, Madam sekeluarga nak ke mana? Bukan apa, kalau nanti kawan-kawan Madam datang, senang saya nak bagitahu diorang.” Madam Rosaline berhenti mengira beg-beg yang berada di ruang tengah mahligai ini. Ibu jari dan jari telunjuknya bermain di dagunya yang agak berlapis sambil matanya merenung entah ke mana.

Well... Untuk minggu ni, Paris. But, minggu depan, maybe London, hmm...Australia pun macam ok. U just tell siapa-siapa yang cari we all, kami ke Paris. Jangan bagitahu selain itu ok, kalau Jojie tahu we are going to London, susah. Nanti dia suruh singgah Harrods beli macam-macam untuk dia. I bukan cop duit. U know Jojie, Natasya? She never bayar balik apa-apa yang I belikan. Macam I cakap tadi. I bukan cop duit. I memang kaya tapi duit tu untuk I buat apa I nak habiskan duit I yang penat-penat I dapat.” Wau. Madam Rosaline. Berleter? Aku hanya tersenyum mendengar rungutan Madam. Geli hati mendengar setiap bait ayat yang dia ucapkan dalam bahasa Melayu tetapi dengan slanga English yang amat melucukan.

Sayup-sayup kedengaran suara Mr. Daniel menyuruh pemandu keluarga ini yang dipanggil Judin untuk memasukkan semua beg mereka ke dalam bonet kereta jenis Mercedez Benz.

We should change the colour. Macam dah buruk. Malu orang lain tengok.” Suara Mrs.Danielle pula kedengaran. Kukira dia sedang bercakap tentang warna kereta Mercedez Benz itu.

Can we just change the car? Tukar kereta lagi senang. I dah bosanlah naik Merce ni.” Kali ini Mrs. Danielle mencadangkan agar mereka menukar kereta pula. Tiada balasan yang kudengar daripada Mr. Daniel.

Tidak lama kemudian, kedengaran bunyi keempat-empat pintu kereta ditutup berserta bunyi enjin kereta dihidupkan.

“Natasya!” Suara Madam memanggilku. Aku hanya menjengukkan kepalaku keluar daripada tingkap Catriona ini.

“Ya Madam!”

“ Ingat pesanan I. Jangan bagitahu Jojie kita ke London. Jaga rumah. Bye...” Madam melambaikan tangannya kepadaku. Aku membalas lambaian Madam.

Setelah pasti yang mereka sudah berada jauh dari mahligai Catriona, aku melangkah masuk ke ruang tamu. Duduk di atas sofa, menggelengkan kepala sambil tersenyum. Tak ku sangka majikan-majikanku selucu ini. Masing-Masing dengan karenah yang pelbagai. Aku memejamkan mataku seketika sambil kepalaku menyandar ke sofa. Aduh...letihnya. sejak awal pagi tadi aku ‘didera’ oleh Madam dan Mrs. Danielle. Masing-masing sibuk meminta pendapat aku tentang pakaian yang patut mereka pakai pada hari ini dan baju-baju yang perlu mereka bawa melancong untuk beberapa minggu ini. “ Dia ada taste yang baik untuk fesyen modern.” Ujar Mrs. Danielle apabila ditanya oleh Madam mengapa dia memanggilku seawal subuh ke biliknya. Hasilnya, selama hampir tiga jam aku didera oleh mereka berdua. Selang lima minit aku terpaksa berkejar ke bilik Madam dan Mrs. Danielle yang jarak antara keduanya ialah selang empat buah bilik yang salah satunya dihuni oleh Syerry. Lebih-lebih lagi Madam. Dia langsung tidak memberi peluang kepadaku untuk berada lama di dalam bilik Mrs. Danielle. Ketika berkejaran itu, sempat juga aku melirikkan mataku sekejap melihat keadaan Syerry di dalam biliknya. Tidak sukar bagiku untuk mengintai keadaannya memandangkan pintu biliknya yang sentiasa terbuka luas. Seperti hari-hari sebelumnya, Syerry hanya memandang jauh ke luar tingkap tanpa ada arah yang tertentu. Entah apa yang berada dalam fikiran Syerry ketika itu. Ingatan tentang Syerry membuatkan aku membuka mataku yang terpejam. Selama aku menjejakkan kaki ke rumah ini, belum pernah sekalipun aku melawat Syerry di biliknya. Hidupku disibukkan oleh karenah majikan-majikanku yang pelbagai.

Tanpa ragu-ragu, aku mengatur langkah menuju ke tingkat atas. Ke bilik Syerry. Entah kenapa aku agak teruja dengan rancangan melawat Syerry di biliknya. Pintu bilik Syerry yang terbuka sedikit berkeriut apabila aku cuba untuk membukanya dengan lebih luas. Seperti biasa, Syerry tidak memperdulikan keadaan sekelilingnya. Dia masih terus memandang ke luar tingkap. Aku berjalan perlahan-lahan menghampirinya. Wajahnya kelihatan pucat, rambutnya tidak terurus.

“Err, Syerry, hai,” aku memulakan perbualan dengan teragak-agak, walaupun sebenarnya aku tahu yang Syerry tidak akan memberi sebarang respon terhadap keramahanku. Tapi, tidak salah mencuba kan? Manalah tahu keramahanku boleh membawa keajaiban. Cheh perasan! Aku duduk melutut di hadapan Syerry sambil memegang kedua-dua belah tangannya yang berada di atas pehanya.

“Hai Syerry. Saya Tasya. Pekerja baru kat sini. Tapi, taklah baru sangat. Dah dua bulan. Sorry, sebelumni saya takde kesempatan berkenalan dengan Syerry.” Aku memandang tepat ke matanya ketika melafazkan kata-kata itu. Tiada sebarang reaksi. Aku tahu, mungkin sampai bila-bila pun Syerry tidak akan membalas setiap perbualan yang ditujukan kepadanya. Tapi, entah mengapa, aku merasakan satu ketenangan berbual-bual dengan Syerry. Walaupun tanpa sebarang reaksi daripadanya. Mungkin kerana wajahnya yang jernih menghadirkan ketenangan itu. Mataku meliar melihat keadaan biliknya. Suram, walaupun kemas dan bersih. Keadaan biliknya sama seperti Syerry, tiada sebarang keceriaan dan kelihatan tidak ‘bernyawa’.

“Kasihan Syerry. Syerry asyik terperap duduk di dalam bilikni, Syerry nak keluar tak? Saya boleh bawakan. Kita jalan-jalan kat luar ye? Syerry suka tengok pemandangan kat luar kan?” Entah apa yang membuatkan idea untuk membawa Syerry keluar daripada rumah ini datang ke fikiranku. Lantaklah. Lagipun, sepanjang dua bulan aku berada di sini, belum pernah sekali pun aku lihat Syerry keluar dari rumah ini. Mujur Syerry tidak duduk membatu apabila aku cuba mengangkat sedikit bahunya untuk membuatkannya berdiri.

“Kita keluar ye?” Ujarku lembut sambil memimpinnya keluar bilik. Syerry menuruti setiap langkahku sambil dipimpin olehku.

Margarate sedang berbual-bual dengan Pak Rahim, tukang kebun, di halaman Catriona ketika kami tiba di situ. Ku lihat sedikit riak terkejut pada wajah Margarate dan Pak Rahim apabila kami menghampiri mereka. Mungkin terkejut kerana belum pernah ada sesiapapun yang berani membawa Syerry keluar dari tempat ‘pertapaannya’ itu. Syerry ku dudukkan di atas bangku kayu berukiran antik yang terletak berhampiran dengan pintu masuk Catriona.

“Pak Rahim, Margarate, sembang apa tu? Rancak nampak.” Aku memulakan pertanyaan untuk menghilangkan riak terkejut pada wajah mereka berdua.

“Oh, Margarate ni ha, tanya pakcik ada ke tak labu masak kat kebun belakang nu.” Seperti baru tersedar dari mimpi, Pak Rahim menjawab pertanyaanku.

“Labu masak? Awak nak masak labu ke Margarate? Tak pernah pun saya nampak awak masak Labu? Mengidam ye?” Usik ku sambil mencuit bahunya.

“Bukanlah, itu, oh, I forgot to tell you, Mr. Smith mau balik ini malam, selalu ujung-ujung bulan tanggal 25hb Mr. Smith balik. Dia selalu suruh masak kek labu.” Margarate menjawab dengan bahasa Melayu yang agak baik.

Sebelum berkhidmat dengan keluarga ini, Margarate pernah berkhidmat di kedutaan Indonesia di England, mungkin sebab itu bahasa Melayu yang dia gunakan ada sedikit bunyi Melayu Indonesia. Aku kagum dengan Margarate sebenarnya, dia berbangsa Filipina, tapi otaknya cerdas menguasai bahasa-bahasa lain. Nampaknya aku bakal bertemu dengan Mr. Smith, agaknya bagaimana wajah majikanku yang ini, mungkin bermata biru, berambut perang, tinggi, berkulit cerah kemerah-merahan, dan bercakap dalam bahasa ‘London’.

Menurut Margarate, Mr. Smith merupakan Mat Salleh asli. Hairan aku, macam mana pula Mat Salleh asli boleh tersesat masuk dalam keluarga Mat Salleh celup ini? Adakah dia secerewet majikan-majikanku yang lain? Hmm...Semoga dia tidak menyusahkan hidupku yang baru hendak selesa dengan pemergian Madam anak beranak ke luar negara.

Tiba-tiba Syerry berdiri, dan masuk ke dalam rumah. Eh, pandai pula dia masuk ke rumah sendiri tanpa disuruh. Aku meninggalkan Pak Rahim dan Margarate di luar Catriona dan bergegas masuk ke dalam rumah menuruti langkah Syerry. Mana pula dia nak pergi? Syerry menuju ke arah dapur dan terus duduk di meja kecil yang terletak di ruang memasak. Aku menggaru-garu kepala.

“Syerry nak apa ya?” Aku kebingungan melihat kelakuan Syerry. Kedengaran bunyi tapak kaki bergegas ke arah kami di dapur. Rupa-rupanya Margarate.

My God! I forgot! Ini masa untuk Syerry makan.” Margarate menyediakan makanan Syerry dengan cekap dan pantas.

Aku hanya melihat sahaja Margarate menyediakan makanan Syerry. Aku kagum dengan Syerry, walaupun aku difahamkan bahawa Syerry mengalami kerosakan otak, tapi ada sesetengah perkara yang dia masih boleh lakukan sendiri. Kadang-kadang aku hairan, betulkah Syerry mengalami kerosakan otak? Margarate menyuapkan bubur ke dalam mulut Syerry. Mata Syerry hanya melihat keluar tingkap seperti selalu.

“Selalu bila Nani tidak ada, Syerry turun ke bawah kalau lapar.” Margarate menerangkan kepadaku sambil tangannya setia menyuap makanan ke mulut Syerry. Aku tidak perasan perkara ini sebelum ini. Mungkin kerana terlalu sibuk menguruskan kehidupan majikan-majikanku. Aku tersenyum. Tahu pula Syerry ni minta makan bila lapar.

Sunday, August 14, 2011

Terima kasih Maraat dan Guzelle...


Pada hari Khamis lepas, saya, suami dan anak-anak berbuka puasa di rumah kenalan baru yang seukhuwah, seakidah, warganegara Russia, saudara Maraat dan isterinya Guzelle (dengan macamtu lah namanya disebut, tapi den tak reti eja) berserta keluarga mereka dan beberapa kenalan baru yang lain dari Maldives dan Mr. Tan dan kawan baru Iliya (eh berapa banyak dan da...)

Satu pengalaman menarik sebab berbuka puasa ala Russia. Makan berperingkat-peringkat dimulai dengan berbuka puasa ringan dengan buah-buahan dan air, kemudian selepas bersolat maghrib, kami meneruskan acara makan dengan sup. Selesai menghirup sup, kami dihidangkan pula dengan spagetti dan dan akhir sekali minum teh berserta sedikit manisan sebagai penutup hidangan.

Saya menikmati acara berbuka puasa itu, namun, dalam masa yang sama, saya berkejar-kejaran dengan kedua-dua hero kami yang amat lasak mengusik si comel Nuriya. Bila itik dan ayam bertemu, walaupun berlainan bahasa dan bangsa, mereka masih boleh bermain bersama.


Octavia untuk Iris (Part 4)

BAB 3

CATRIONA. Kedatanganku ke rumah besar ini disambut oleh pintu gerbang yang memaparkan nama Catriona. Mungkin inilah nama rumah besar ini. Menurut kertas yang diberi oleh pelayan restoran itu kepadaku, akan ada sesi temuduga khas untuk jawatan ini. “Kalau boleh dipanggil jawatan,” bisikku sambil tersenyum sendiri. Sebelum aku datang ke sini, seperti yang kujangkakan, Syifa memprotes rancanganku ini, tetapi, aku tetap berdegil. Lagipun aku berjanji dengannya sekiranya aku berjaya, aku cuma akan menjadi penjaga rumah untuk beberapa bulan sahaja. Akhirnya dia bersetuju.

Aku tahu, aku memang keras kepala, sebab keras kepala jugalah aku tinggalkan rumahku dan nekad untuk hidup berdikari, mencari wang sendiri. Aku kini berada di hadapan pintu rumah ini. Pintu kayu yang agak besar dan bercirikan rekaan zaman Cinderella bagiku. Tapi masih ada beberapa ciri moden yang melengkapi pintu ini. Contohnya, loceng elektrik yang kini sedang ku tekan untuk memberitahu kedatanganku, dan bersebelahan dengan loceng itu ada sebuah alat seperti interkom. “ Ya, siapa?” satu suara membalas bunyi loceng yang ku tekan.

Belum sempat aku menjawab pertanyaan suara itu sebentar tadi, ada suara lain yang mencelah. Kali ini dengan slanga english yang kedengaran agak lucu. “ Oh, maaf cik, kita tak order ustazah datang rumahni. Sorry, awak silap rumah.”. Ustazah? Siapa ustazah? Spontan aku melihat diriku sendiri. Apa yang kelihatan ustazah pada diriku? Oh. Ya. Aku memakai tudung labuh tanpa sebarang fesyen. Hatiku terdetik hairan. Bagaimana dia boleh melihat diriku? Ku dongakkan kepalaku ke atas. Rupa-rupanya di atas pintu rumah ini ada sebuah kamera kecil. Patutlah suara itu tadi memanggilku ustazah. Aku bertekad untuk tidak pergi sebelum ditemuduga. Aku menekan punat kecil pada interkom di hadapanku.

Excuse me, i’m here for the interview,” aku mengingatkan suara itu dengan berbahasa English, sekadar mengikut rentak suara itu.

Wait! Did you hear that? She was speaking in English!” Agak terperanjat aku mendengar suara itu kerana ayat itu dituturkan dengan kuat dengan nada yang seolah-olah teruja. Belum sempat aku menghilangkan perasaan terperanjatku, tiba-tiba pintu di hadapanku dibuka oleh seseorang.

Come in.” Seorang wanita menjemputku masuk. Melihatkan keadaan diriku yang masih teragak-agak, wanita itu melangkah keluar dan terus menarik tanganku. Aku hanya mengikut wanita itu berjalan dengan laju sambil tanganku masih berada dalam genggamannya. Aku kini berada di dalam rumah yang besar ini.

Subhanallah... cantiknya... hanya itu yang mampu kubisikkan. Hiasan di dalam rumah ini memang serupa dengan hiasan dalaman rumah-rumah zaman Kolonial yang selalu kulihat dalam cerita-cerita ‘Mat Salleh’. Tanganku masih ditarik oleh wanita itu. Aku hanya membiarkan sahaja sehinggalah kami berhenti di satu ruangan pada rumah besar ini. Ku lihat ada seorang wanita yang agak tua yang mungkin dalam usia nenekku sedang duduk di atas sebuah sofa yang antik di sudut ruangan itu. Di tengah-tengah ruangan itu pula terdapat seorang lelaki dan wanita yang kedua-duanya kuanggarkan dalam lingkungan usia mama dan daddyku.

Mereka bertiga merenung ke arahku. Aku serba salah samada mahu memberi salam atau tidak. Akhirnya aku hanya tersenyum dan, “ good afternoon,” hanya itu yang aku mampu ucapkan. Mereka bertiga hanya mengangguk. Wanita yang lebih muda itu menyuruhku duduk. Tiba-tiba kurasakan degupan jantungku bertambah laju. Oh tidak. Betulkah apa yang aku sedang lakukan ini? Aku berjalan dengan berhati-hati menuju ke arah sofa di hadapan wanita itu. Degupan jantungku semakin laju, mereka bertiga masih memandangku.

“So, u can speak English ha?” Akhirnya wanita di hadapanku bersuara.

Yes.” Balasku pendek.

Status?” soalnya.

Sorry?” Aku bertanya semula, kurang jelas dengan soalannya.

“Kahwin ke single?”

“Oh, single,” balasku sambil tersenyum.

Pertuturannya sangat melucukan, berbahasa melayu dengan slanga English yang seolah-olah saja dibuat-buat.

“Nama?”

“Natasya Iris Octavia Albert binti Muharrami John Albert.” Matanya membulat seketika mendengar aku menyebut namaku. Tanpa menunggu soalan seterusnya daripadanya, aku menerangkan kepadanya mengapa namaku tidak berbunyi kemelayuan.

“Ayah saya punya darah Melayu, Filipina dan British, ibu saya melayu, nama saya diberikan oleh ayah saya.” Mendengar penjelasanku, matanya kembali kepada bentuk asal.

Interesting, bagus, lagipun I tak biasalah sebut nama Melayu ni.” Terasa loya tekakku mendengarnya. Aku bukan Melayu tulin, tapi aku sangat berharap agar namaku lebih berbunyi kemelayuan.

Do you know, the job scope of a house keeper?” Aku mengangguk-anggukkan kepalaku. Semuanya ada dalam notis iklan yang kuambil daripada pelayan restoran itu.

So, if we all ambil you kerja, you sanggup tinggal sini manage rumahni, cuti dua hari seminggu, but, if we need you for any special day, you’ll have to cancell your holidays. And, u have to stay here everyday, there will be a room for you. Do you agree?” Aku mengangguk-anggukkan kepalaku.

And, you will be paid RM 2500 per month? Is that agreed?” Aku mengangguk-angguk lagi. “Ok, you are hired.” Wah. Semudah itu? Ini bukan interview. Aku diterima bekerja di sini? Boleh tinggal di sini, makan di sini tanpa mengurangkan sedikitpun duit gajiku? Semudah itu?

One more, do you have any terms, conditions? We are trying to be democratic here, lagipun, kita taknak hilang house keeper yang pandai speaking macam you ni. Susah nak cari. By the way, call me Mrs. Danielle, this is my husband, Mr. Daniel and my mother in law, Madam Rosaline ” Wanita itu bersuara lagi.

Syarat apa yang perlu ku kemukakan kepadanya? Aku berfikir seketika sebelum mengemukakan syaratku. Satu-satunya syarat yang paling penting bagiku.

“Saya cuma minta kebebasan untuk beribadat, memakai pakaian yang saya mahu, menjalankan tanggungjawab saya sebagai seorang Muslimah. Tapi, Mrs Danielle jangan risau, I will never neglect my job. I’ve been trained to be a professional.” Ujarku.

Mrs. Danielle kelihatan ragu-ragu dengan syarat yang ku kenakan. Atau mungkin dia tidak pernah mendengar ‘muslim’ dan ‘ibadah’? Spekulasiku ini bukan saja dibuat-buat kerana perkara pertama yang kulihat ketika aku melangkah masuk ke dalam ruangan ini sebentar tadi ialah sebotol minuman berjenama ‘Martini’ dan dua gelas kecil yang masih berbaki dengan air daripada botol tersebut di atas meja. Ah mungkin saja botol minuman itu sahaja yang berjenama ‘Martini’, tetapi bukan isi dalamnya. Tidak baik berburuk sangka, bisik hati kecilku.

Are you sure u can do your job with that?” soal Mrs. Danielle sambil menunjukkan muncungnya ke arahku, atau lagi tepat lagi, ke arah pakaianku.

Aku memandang diriku sendiri, memang aku memakai tudung labuh dan baju kurung, tapi selama ini, pakaianku ini tidak pernah menghalang aku daripada melakukan pelbagai aktiviti. Islam tidak menyusahkan hambanya,monologku sendirian. Aku memandang Mrs. Danielle dan dengan yakin aku mengangguk,

I am positively sure.”

Mrs. Danielle mendongakkan sedikit kepalanya ke atas, seolah-olah gaya seorang yang angkuh seraya berkata, “ We’ll see about it. Still too early to judge you,” Aku hanya berdiam diri mendengar kata-katanya.

Okay, I think that’s all for now. You boleh mula kerja next week. If there’s anything you want to ask, find Margarate, the one who brought you in just now.” Sejurus selepas mengatakan perkara itu, Mrs. Danielle berdiri dan beredar sambil diikuti oleh Mr. Daniel dan Madam Rosaline.

Aku masih tidak berganjak dari sofa ini. Perasaan teruja dan terkejut menyelubungi aku. Aku kini bergelar house keeper, atau pengurus rumah untuk rumah yang sebesar dan secantik istana ini. Sudah lama aku berangan-angan untuk tinggal di rumah seperti ini. Nampaknya impianku menjadi kenyataan, walaupun bukan rumah sendiri. Aku tersenyum sendiri, pasti Syifa sedih kerana terpaksa berpisah denganku. Syifa...Alamak!

Baru aku teringat, Syifa menungguku untuk makan tengahari bersama! Aku melihat jam tanganku. Sudah pukul satu. Maafkan aku Syifa, aku tahu kau belum sarapan, pasti kau tengah lapar sekarang. Aku membayangkan Syifa sedang duduk di atas katil sambil menggigit bucu bantal. Gaya yang selalu dia tunjukkan ketika menahan lapar. Aku bingkas bangun dan beredar menuju ke pintu keluar. Kali ini tanpa Margarate sebagai pengiring. Sampai di luar pintu, aku mencari-cari kasutku di rak kasut. Hairan. Kasutku tiada di situ. Oh! Baru aku perasan. Rupa-rupanya, aku tidak menanggalkan kasut ketika masuk ke dalam rumah sebentar tadi. Aku tertanya-tanya, adakah Mrs. Danielle perasan yang aku tidak menanggalkan kasut, kerana aku pasti keempat-empat penghuni rumah ini yang baru kutemui sebentar tadi tidak memakai kasut di dalam rumah.

Bersambung lagi....