"Mama memang tak sayang Muhammad!" Tempik si Muhammad setelah saya melarang dia dari bermain permainan komputer. Alahai anakku... sudah semakin pandai memberontak menggunakan kata-kata. Kata-kata dari anak yang sekecil 6 tahun ini pun sudah cukup membuatkan hati saya luluh. Bagaimana pula andai kata-kata ini (malah lebih kasar) dituturkan oleh anak yang lebih dewasa?
Macam mana pula mama tidak sayangkan Muhammad kalau sudah perut nipis ini yang mengandungkan kamu selama 8 bulan (Muhammad lahir tidak cukup umur). Selepas sakit dua hari pada hari raya puasa akhirnya melahirkan kamu sendirian tanpa abah disisi kerana abah berada di tempat lain, dan kelahiran kamu belum dijangka?
Bagaimana pula mama tidak sayangkan Muhammad sedangkan Muhammad lah manusia pertama yang benar-benar mengajar mama tentang tanggungjawab dan cinta tanpa syarat? Ketika pelajar-pelajar lain bertungkus lumus menumpukan perhatian untuk pelajaran dan peperiksaan, mama turut bertungkus lumus mengulangkaji pelajaran sambil tangan kiri mendodoikanmu?
Bagaimana pula mama dikatakan tidak menyayangi sedangkan kamu lah permata hati pertama mama dan abah yang sentiasa menjadikan mama kuat dan meneroka pengalaman baru seiring p
ertambahan usiamu?
Bagaimana pula mama tidak menyayangimu sedangkan kamu lah guru terbaik yang sentiasa mengajar mama supaya sabar walaupun caranya ialah dengan berhadapan kenakalan kamu?
Muhammad... Muhammad... besar sungguh harapan mama untuk melihat kamu menjadi manusia berjaya di mata Allah!