Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang. Pujian kepada Allah dengan peluang Ramadhan yang diberikan kepada kita dan selamat hari raya fitri kepada semua. Semoga tarbiyyah di bulan Ramadhan dapat memberikan kita semangat untuk terus memahami Islam dan menyebarkan Islam serta menegakkan hukum hakam Islam di muka bumi Allah ini. Di raya yang lepas apabila ku melihat insan yang sudah lanjut usia mereka aku sayu mengenangkan diri yang akan suatu hari nanti tiba pada usia yang sama di mana fizikalku akan uzur. Persoalan yang bermain di fikiranku apakah yang sudah aku lakukan untuk Islam dan untuk ummah ini? Ia menjadikan aku terus meninggikan tekad untuk membuat sebanyak mungkin untuk Islam dan ummah ini. Walaupun diri ini sibuk dengan kerja harian, aku nekad untuk memulakan sedikit demi sedikit sumbangan yang aku mampu hingga suatu hari nanti aku dapat menggunakan sepenuh masaku, hartaku dan tenagaku untuk ummah ini. Di antara sumbangan yang kini mampu aku berikan adalah perkongsian ilmu dan info Islam dengan semua kenalan dengan harapan makin ramai yang berminat untuk memahami Islam, hidup dengan Islam dan menyebarkan Islam. Info kali ini ingin ku sentuh mengenai bangsa. Aku sangat memandang penting isu ini kerana suasana hidup di negara ini amat memerlukan kepada pandangan Islam yang adil pada isu ini tambahan pula baru-baru ini isu kata-kata Tuan Guru Nik Aziz telah dibangkitkan oleh orang yang kurang arif tentang Islam. Tuan Guru berkata "Di dalam Islam tiada mana-mana bangsa dominant. Saya menerima jemputan ceramah sebagai Muslim dan bukan sebagai melayu. Saya tidak berbangga menjadi Melayu kerana Melayu itu hanya satu yang automatik kejadian Allah". BANGSA Isu bangsa amat berat di negara ini terutama di kalangan mereka yang berbangsa melayu. Masing-masing amat bangga dengan bangsa keturunan mereka hingga ada keluarnya pepatah seperti "takkan Melayu hilang di dunia". Bunyinya angkuh dan adalah pepatah yang tidak pernah kusukai sejak dahulu. Bangsa di dalam Islam tidak lebih dari sekadar wacana perhubungan sosial manusia. Bangsa digunakan untuk mewarnai kehidupan manusia di mana dengan adanya pelbagai bangsa maka adanya pelbagai bahasa dan budaya. Ia menceriakan kehidupan manusia kerana dapat berkenalan dengan pelbagai sosio budaya. Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu Dengan Yang lain) (Al-Hujrat:13) Ayat di atas jelas menunjukkan pendirian Islam bahawa kepelbagaian bangsa dan puak tidak lain dan tidak bukan hanya wasilah untuk perkenalan dan bagi mewarnai kehidupan manusia dengan pelabagai sosio budaya. Namun ianya tidak boleh dijadikan asas untuk pentadbiran negara, undang-undang negara, atau polisi pentadbiran sehingga satu-satu bangsa atau puak dilebihkan daripada bangsa dan puak yang lain. Tidak boleh dibezakan bangsa atau puak kerana Islam memandang bahawa semua Muslim adalah sama bersaudara. Pada surah yang sama di atas ayat 10, Allah menjelaskan tali persaudaraan Islam: "sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara" Di dalam Islam, semua manusia beragama Islam tanpa mengira bangsa adalah sama dan bersaudara. Allah hanya membezakan dari segi taqwa dan itu pun hanyalah untuk Allah menilai. Tidak boleh mana-mana bangsa mendakwa mereka lebih hebat daripada bangsa yang lain apatah lagi mengenepikan hak insan lain hanya kerana dia berbangsa atau daripada puak yang berbeza. Apatah lagi menyakiti saudara seagama dengan kita. Rasulullah berkata bahawa seorang Muslim adalah saudara sesama mereka dan tidak boleh dizalimi saudara mereka, tidak boleh menyerahkan kepada musuh, tidak boleh mengecilkan mereka (merendah-rendahkan mereka) dan tidak boleh menghinanya (riwayat Imam Muslim). Mereka yang mengajak kepada membanggakan bangsa sendiri dan memperkecilkan bangsa lain dikenali sebagai sifat asabiyyah dan ianya adalah perbuatan yang tercela di sisi Islam. Rasulullah bersabda sepertimana diriwayatkan oleh Abu Daud bahawa tidak tergolong dalam golong Muslim mereka yang mengajak kepada asabiyyah, berperang (atau berjuang) kerana asabiyyah dan mati atas dasar asabiyyah. Maka jika Islam menolak asabiyyah atau fanatik bangsa, adakah boleh kita menerima ideologi kebangsaan seperti menubuhkan politik bangsa? Bolehkah kita menerima undang-undang yang menaikkan satu-satu bangsa dan mengenepikan bangsa yang lain? Bolehkah kita menerima polisi yang melebihkan satu-satu bangsa dan mewujudkan sekatan/had kepada bangsa yang lain? Dr.yusof Qaradhawi menukil dalam buku beliau Ciri-Ciri Unggul Masyarakat Islam yang Kita Idamkan: "Semua ideologi yang bertentangan dengan ideologi Islam tidak dibenarkan untuk wujud serta mempengaruhi masayarakat Islam. Akar umbi (ideologi asing yang bercanggah dengan Islam) mestilah dicantas agar tidak tumbuh.......Bertolak daripada ini, masyarakat Islam kini wajib membebaskan diri daripada kelampauan hasutan asabiyyah perkauman/bangsa atau kenegerian yang telah menyelinap masuk ke dalam kehidupan masayarakat Islam dan merampas tempat persaudaraan Islam serta kesatuan Islam. Mereka sewajarnya menetapkan sikap/ideologi ini sebagai musuh." Aku teringat ketika di UIA apabila orang Melayu bercerita tentang warga luar. Mereka mengutuk dan menghina mereka dari luar secara general atau am hanya kerana seorang dua yang membuat silap. Pernahku tanya "pelajar melayu pun ramai yang tak beretika dan buat masalah". Jawapan mereka padaku cukup memanaskan hati dan telinga. "orang kita takpe la kerana ni negara kita". Aku hanya menjawab "bukankah ni bumi Allah? silap tak kenal bangsa atau negara". Mereka berkata bukan kerana bencikan kesalahan yang dilakukan manusia tetapi benci pada bangsa asing. Parti yang bertunjangkan bangsa tidak menepati kehendak Islam dan tidak boleh diperjuangkan oleh mereka yang beragama Islam. Parti atau pergerakan Islam wajib terbuka pada semua orang Islam tanpa mengenal bangsa. Tetapi ini tidak terjadi di negara kita maupun kebanyakan negara luar. Lihat sahaja cina atau India Muslim. Mereka terpaksa membuka pergekaran sendiri kerana tiada ruang untuk mereka membela Muslim berbangsa mereka. Orang Cina tidak diberi ruang untuk menjadi imam di kebanyakan Masjid dan surau walhal ramai yang hafiz Al-Qur'an. Pernah di UIA ada orang sibuk berkata kenapa tidak diambil Imam melayu sahaja untuk solat tarawikh. Apakah Imam masjid itu ditetapkan Melayu oleh Al-Qur'an dan Sunnah? Aku tidak berkata Imam melayu tidak bagus, tetapi kenapa wajib Melayu dan kenapa tidak dibukakan kepada sesiapa yang terbaik tanpa mengenali bangsa? Pernah aku berdebat dengan insan yang sibuk berkata Melayu itu Islam. Aku menolak kata-kata ini kerena Islam itu bukan bangsa dan bangsa itu bukan Islam. Salah bagi mereka yang berkata Melayu itu Islam, kerena belum tentu Melayu itu Islam. Tambahan pula Melayu wujud sebelum Islam tiba di tanah ini. Tidak pernah dalam Qur'an maupun sunnah yang mengatakan Melayu itu Islam. Atas fakta apa yang nak dikatakan Melayu itu Islam? Perkataan seperti ini seperti mengenepikan bangsa lain. Berapa banyak polisi di negara kita seperti polisi bumiputera yang besifat asabiyyah yang tidak bertepatan dengan Islam. Contohnya hanya beberapa peratus bantuan pendidikan dan bantuan kewangan diberikan kepada bukan bumiputera. Anehnya ia disokong oleh ramai dengan alasan bahawa bangsa bumiputera ini masih mundur. Adakah bumiputera sahaja yang mundur? Bagaimana dengan bukan bumiputera yang miskin dan masih mundur di tepi desa? Kenapa tidak dibantu semua dengan memberikan kepada semua? Kenapa perlu diberi peratusan kepada bukan bumiputera? Jika Islam dilaksanakan, semua akan dilayan dengan sama tanpa mengenal bangsa. Jika yang fakir itu cina, maka dialah yang akan dibantu. Jika yang fakir itu melayu, maka dialah yang akan dibantu. Kata-kata Tuan Guru Nik Aziz adalah tepat dengan Islam. Mereka yang mengeluarkan pandangan membantah kata-kata ini dengan alasan membangkitkan kemarahan orang Melayu adalah salah. Apa yang dikatakan Tuan Guru bukan mengecilkan bangsa Melayu tetapi beliau hanya berkata bahawa dalam Islam semua bangsa adalah sama dan tidak boleh mana-mana bangsa membanggakan bangsa mereka. Orang Melayu tidak boleh mengatakan bahawa mereka punyai hak yang lebih dari bangsa lain. Begitu juga bangsa lain hatta orang Arab tidak boleh mengatakan mereka lebih mulia daripada mana-mana bangsa. Semua bangsa adalah sama dan wajib disisi Islam untuk diberikan hak yang sama jika diperintah oleh pemerintahan Islam. Islam untuk semua dan hidup ini adalah untuk semua. |
Inilah legasi ilmu buat kalian, anak-anakku...segalanya kumuatkan di sini, ambillah segalanya yang membuahkan ilmu, tinggalkan segala yang buruk, jadikanlah sempadan... moga kalian akan lebih mengenaliku melalui tulisanku. Berdirilah dengan kalimah TAUHID!
Search This Blog
Sunday, September 19, 2010
Ada apa Pada Bangsa? ( By Zauji)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment