Search This Blog

Thursday, February 24, 2011

Mama cakaplah elok-elok...


Sepanjang perjalanan menuju ke tempat kerja pagi tadi, ada beberapa kali kereta berhenti kerana lampu isyarat berwarna merah. Biasalah, pagi-pagi, kereta berlapis kanan dan kiri. Sambil menunggu, mata saya melilau ke kereta sebelah kiri saya. Seorang ibu dengan wajah yang serius (atau bosan?) sedang memandang kosong ke hadapan, manakala, di sebelahnya seorang kanak-kanak lelaki dalam lingkungan umur sekolah rendah sedang becok bercerita dengan pelbagai reaksi.

Pemandangan yang biasa. Namun saya terkilan kerana si ibu tidak memberikan walau sedikit pun respon terhadap cerita si anak itu. Sejenak saya terus bermuhasabah diri. Adakah aku juga seperti itu? Tidak memberikan respon kepada anak-anak ketika mereka sedang berusaha menghabiskan masa berkualiti bersama saya yang hanya muncul di mata mereka pada pukul 6.30 petang setiap hari.

saya merasakan kesayuan melihat si ibu yang langsung tidak menghargai cerita si anak. Saya bertekad pada diri, saya tidak mahu melayan anak saya seperti itu. Namun, seperti biasa, bertekad itu mudah, yang payahnya ialah bagaimana untuk melaksanakan tekad itu.

Saya tertanya-tanya, berapa kalikah saya mengecilkan hati anak saya yang berusaha meminta perhatian saya dengan cerita-cerita dan pertanyaannya tetapi saya balas dengan respon yang endah tak endah sahaja. Keletihan bukan alasan. Ini masa untuk mereka. Masa untuk mendidik dan mencurahkan kasih sayang kepada anak-anak selepas seharian berkerja meninggalkan anak-anak. Anak sulung saya sering menegur saya sekiranya pertanyaannya saya jawab dengan jawapan sependek "hmmmm" sahaja.

"MAMA, CAKAPLAH ELOK-ELOK"

Alhamdulillah, saya tersedar dengan teguran itu. Saya bersyukur kerana Allah menurunkan peringatan kepada saya melalui teguran si kecil itu.


Payahnya menjadi seorang ibu. Apatah lagi seorang ibu yang berkerjaya. terlalu banyak kebimbangan mengenai perkembangan anak menyerang diri. Namun, saya bertekad. Insyaallah mulai detik ini, saya mahu memperbaiki diri, agar menjadi seorang ibu yang layak dipanggil MAMA.

Buat anak-anakku, Muhammad Idris Sowell, Taqiyuddin Ahmad Sowell (and my future children huhu) : Mama sayang kalian. MMMuah.



Monday, February 21, 2011

Cuba untuk mencintai dia separuh hati, agar kehilangannya tidak kurasai spenuhnya...


Beberapa hari yang lepas, institusi saya gempar dengan berita kematian suami salah seorang daripada staff kami. Innalillahiwainnalillahirajiun... Daripada Allah kita datang, kepada Allah kita kembali. Ramai antara rakan-rakan saya (termasuk saya) yang kembali berfikir untuk diri sendiri. Apa akan jadi kalau suami kami dahulu yang meninggalkan kami seperti apa yang terjadi kepada rakan kami? Sehinggalah keluar satu teori ,

'kita cuba belajar mencintai dia separuh hati agar kehilangannya tidak dirasai'.

Teori yang realitinya terlalu payah untuk dilakukan. Mana mungkin seorang isteri tidak mencintai suaminya sepenuh hati. Bahkan saya juga mencintai suami saya sepenuh hati. Sedangkan seorang suami juga tidak terlepas mencintai isterinya sepenuh hati. Rasulullah sendiri bersedih atas kematian siti Khadijah. Terlalu bersedih. Naluri yang tidak boleh disangkal.

Mungkin teori itu salah. Mungkin yang lebih betul ialah...

'sentiasalah sediakan hati untuk menghadapi musibah seperti itu. Berdoalah agar Allah sentiasa memandang kita dengan rahmatnya, memberikan kita anugerah kesabaran dan ketabahan untuk menghadapi sebarang musibah...

Wahai suamiku, kau bukan milikku yang abadi. Hanya dipinjamkan sementara untukku. Andai kisah kasih kita berakhir di sini, semoga di Syurga sana penyambungnya...

Monday, February 7, 2011

kebangkitan bumi Kinanah (From Zauji)



Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi maha Penyayang.
Kini rakyat di bumi kinanah sedang bergelut mendapatkan kembali kemerdekaan yang telah 30 tahun hilang. Ribuan rakyat sedang berusaha untuk membebaskan erti kemerdekaan yang dipenjara oleh Husni Mubarak selama 30 tahun. Kita dari jauh berdoa agar saudara kita di Mesir selamat dan terus bersabar dan berjuang untuk memperoleh kemerdekaan dari cengkaman kuku besi. Tahniah kepada Sheikh Yusuf Qaradhawi yang terus bersuara membangkitkan semangat rakyat mesir hinggakan beliau mengeluarkan fatwa bahawa rakyat Mesir yang mati dibunuh tentera/polis/penyokong Mubarak ketika menyuarakan kebenaran menentang kezaliman ketika ini di Mesir insyaallah matinya syahid.
Semoga peralihan kuasa yang akan berlaku dapat memberi sinar harapan bukan sahaja kepada rakyat Mesir tetapi rakyat Palastin. Dengan berubahnya pemerintahan Mesir, sinar harapan untuk rakyat Palastin juga mungkin cerah kerana pemisah di antara bantuan dari bumi arab dengan Rakyat Palastin terletak pada pagar sempadan Mesir.
Ya Allah, sesungguhnya tiada yang berkuasa melainkan Engkau. Bantulah dan berikanlah kekuatan kepada hamba-hambaMU yang sedang berjuang menyatakan kebenaran dan menentang kezaliman di bumi Mesir dan di seluruh muka bumi Mu ya Allah.
Semoga kebangkitan ummat di bumi Kinanah akan meniupkan angin kebangkitan Islam pada seluruh ummat Islam di dunia.