Search This Blog

Thursday, February 24, 2011

Mama cakaplah elok-elok...


Sepanjang perjalanan menuju ke tempat kerja pagi tadi, ada beberapa kali kereta berhenti kerana lampu isyarat berwarna merah. Biasalah, pagi-pagi, kereta berlapis kanan dan kiri. Sambil menunggu, mata saya melilau ke kereta sebelah kiri saya. Seorang ibu dengan wajah yang serius (atau bosan?) sedang memandang kosong ke hadapan, manakala, di sebelahnya seorang kanak-kanak lelaki dalam lingkungan umur sekolah rendah sedang becok bercerita dengan pelbagai reaksi.

Pemandangan yang biasa. Namun saya terkilan kerana si ibu tidak memberikan walau sedikit pun respon terhadap cerita si anak itu. Sejenak saya terus bermuhasabah diri. Adakah aku juga seperti itu? Tidak memberikan respon kepada anak-anak ketika mereka sedang berusaha menghabiskan masa berkualiti bersama saya yang hanya muncul di mata mereka pada pukul 6.30 petang setiap hari.

saya merasakan kesayuan melihat si ibu yang langsung tidak menghargai cerita si anak. Saya bertekad pada diri, saya tidak mahu melayan anak saya seperti itu. Namun, seperti biasa, bertekad itu mudah, yang payahnya ialah bagaimana untuk melaksanakan tekad itu.

Saya tertanya-tanya, berapa kalikah saya mengecilkan hati anak saya yang berusaha meminta perhatian saya dengan cerita-cerita dan pertanyaannya tetapi saya balas dengan respon yang endah tak endah sahaja. Keletihan bukan alasan. Ini masa untuk mereka. Masa untuk mendidik dan mencurahkan kasih sayang kepada anak-anak selepas seharian berkerja meninggalkan anak-anak. Anak sulung saya sering menegur saya sekiranya pertanyaannya saya jawab dengan jawapan sependek "hmmmm" sahaja.

"MAMA, CAKAPLAH ELOK-ELOK"

Alhamdulillah, saya tersedar dengan teguran itu. Saya bersyukur kerana Allah menurunkan peringatan kepada saya melalui teguran si kecil itu.


Payahnya menjadi seorang ibu. Apatah lagi seorang ibu yang berkerjaya. terlalu banyak kebimbangan mengenai perkembangan anak menyerang diri. Namun, saya bertekad. Insyaallah mulai detik ini, saya mahu memperbaiki diri, agar menjadi seorang ibu yang layak dipanggil MAMA.

Buat anak-anakku, Muhammad Idris Sowell, Taqiyuddin Ahmad Sowell (and my future children huhu) : Mama sayang kalian. MMMuah.



No comments:

Post a Comment