Search This Blog

Thursday, May 12, 2011

Untuk "ORANG-ORANG ATAS"


Pernahkah anda menghargai orang yang lebih rendah pangkatnya daripada anda? Kita sering mahukan penghargaan. Kita sering menerima penghargaan, tapi, berapa kalikah kita menghargai orang lain?

Pada minggu lepas, saya di tahan oleh dua orang pengawal keselamatan di pintu masuk kolej tempat saya berkerja.

''ID mana?'' tanya guard yang amat muda itu.

Dengan pantas saya menjawab, ''saya staff, bukan students.'' sambil tersenyum.

Pengawal keselamatan tersebut dengan muka shy shy meow terus menjawab,

''oo okay, okay''.

Saya meneruskan perjalanan saya masuk ke dalam kolej. Baru beberapa tapak melangkah kehadapan, saya terfikirkan sesuatu. Kemudian saya berhenti dan terus mengundur beberapa langkah ke belakang. Dengan yakin dan cerianya saya berkata,

''anyway, terima kasih sebab tanya ID. Good job, maksudnya, kamu buat kerja dengan betul.'' kedua-dua pengawal keselamatan tersebut mengangguk-angguk sambil tersenyum.

Kita menghargai kerja-kerja orang di bawah kita. Bukankah itu sesuatu yang baik. Namun, berapa ramaikah orang yang pabila ditegur seperti situasi saya di atas akan bertindak memarahi pengawal tersebut kerana tidak tahu membezakan antara pelajar dan pekerja?

Sedangkan, apa yang mereka lakukan itu patut di beri penghargaan, patut di puji. Orang yang diberi penghargaan akan melakukan pekerjaan mereka dengan lebih sempurna dan bersemangat. Bukanlah saya memuji diri ini seolah-olah saya ini terlalu baik, tetapi, mahu berkongsi apa yang sepatutnya kita lakukan.

Oleh itu, ingatlah wahai orang-orang atas, berilah penghargaan walau hanya dalam bentuk pujian atau terima kasih, kerana serendah-rendah orang bawahan, mereka juga manusia seperti orang-orang atas. Tidak kita dipanggil Tuan/Puan tanpa orang bawahan yang memanggilnya. Jangan lupa, dalam kamus hidup kita, bukan hanya wujud perkataan 'arahan', tetapi juga perkataan 'penghargaan'... Harap-harap bisa menusuk hati sesiapa sahaja yang berada di atas.... (he he).

Monday, May 9, 2011

Osama dan keganasan (From Zauji)



Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi maha Penyayang.

Nukilan ringkas ini adalah untuk memberi respond terhadap pembunuhan Osama Bin Laden. Ada yang sedang bersorak kegembiraan seperti saudara kita di Amerika Syarikat hatta yang Muslim pun bersorak bersama dengan kata-kata berakhirnya sebuah pengganas dan keganasan.

Penulis dengan tegas di sini pertamanya akan menyatakan hendaklah kita berdoa kepada Allah semoga saudara Muslim kita Osama ini diampunkan dan diletakkan dalam golongan mereka yang diampunkan Allah. Suka atau tidak suak dengan penyataan penulis, cukup penulis hambarkan penyataan seorang Muslim yang mati dalam keadaan dia Islam hendaklah didoakan oleh saudara Islam yang masih hidup. Tiada bukti bahawa Osama itu kafir dalam mana-mana mahkamah syari'ah, maka dia mati dalam Islam.

Kedua, ingin penulis menegur sesiapa yang sedang bersorak kegembiraan bahawa anda silap. Tiada bukti dalam mana-mana mahkamah dunia Osama adalah pengganas maupun telah melakukan keganasan melainkan semuanya adalah propaganda US. Letupan pada 9/11 masih belum dibicarakan dan belum terbukti perbuatan sesiapa.

Ditambah lagi Osama dikatakan oleh tentera US sendiri dibunuh ketika tiada senjata dan tembakan hanya dilepaskan oleh satu pihak sahaja. Seorang yang tidak bersenjata dibunuh tanpa periksa oleh yang bersenjata? Siapakah pengganas di dalam kes seperti ini?

Ketiga, untuk bersorak bersama kerajaan US yang telah membunuh ribuan Muslim di Iraq dan Afghanistan adakah wajar? Biarpun pemerintahan US berubah, adakah tentera mereka telah berundur dari bumi Islam Iraq dan Afghanistan? Siapa yang sewajarnya diketegorikan pengganas? Tambahan lagi kerajaan yang hendak disorak ini masih menyokong dan membantu pengganas terbesar Israel. Maka di manakah identiti persaudaraan Muslim dan identiti Muslim jika kita bersama-sama bersorak dengan kerajaan yang meminum darah saudara Islam kita di serata dunia? Jika benar sekalipun Osama itu yang bersalah meletupkan bangunan semasa 9/11, wajarkah negara Islam diceroboh dan rakyat negara Islam itu dibunuh dan dizalimi?

Penulis bukan seorang yang menyokong aktiviti meletupkan rakyat awam atau tempat awam tanpa hak. Penulis juga bukan penyokong mereka yang menyatakan boleh menyerang sesiapa yang kafir. Tetapi penulis membezakan antara rakyat dan pemerintahan. Rakyat US adalah berbeza hukumnya dengan pemerintahan US. Kita berbaik dengan rakyat US yang baik dengan Islam. Tetapi kerajaan US secara hukum adalah negara Harbi atau negara yang memusuhi kerajaan Islam kerana tindakan mereka dan masih tindakan mereka menjajah, membunuh rakyat Islam dan menyokong tindakan musuh Islam Israel. Jika diikut hukum Al-Qur'an kerajaan US wajib diperangi sehingga mereka berundur dari negara Islam dan berhenti menyokong musuh Islam.

"Dan bagaimana mereka tidak mahu berperang pada jalan Allah dan (sedangkan) yang lemah dari mereka yang laki-laki dan wanita berkata 'wahai tuhan kami keluarkanlah kami dari negara ini yang mana orangnya zalim (ke atas kami) dan jadikanlah daripada rahmatMu pelindung (kami) dan jadikanlah daripada rahmatMu pembantu bagi kami" (Surah Alnisa':75)

Pada ayat ini Allah mengecam mereka yang tidak mahu membantu orang yang lemah yang ditindas dan dizalimi. Ketika ini rakyat Palestine, Iraq dan Afghanistan dizalimi oleh pemerintah US dan konconya seperti Isarel tetapi tiada yang berani membantu rakyat-rakyat di negara-negara ini. Malahan ada yang tidak malu bersorak bersama musuh Allah ketika saudara Islam kita terbunuh.

Penulis merasa pedih di dada melihat sikap orang Islam kini yang berlembut dengan musuh Allah tetapi keras dan kejam dengan sesama saudara Islam. Jika ada yang hendak menyatakan penulis menyokong keganasan, maka penulis menyatakan bahawa di dalam Al-Qur'an ayat jihad dan ayat menyuruh perang itu jelas bagi mereka yang memerangi Islam. Maka adakah Allah itu pengganas? Maha suci Allah daripada tanggapan sebegitu. Penulis tidak menyokong mana-mana aktiviti mengangkat senjata yang dilakukan tanpa hak. Tetapi penulis akan bersama mereka yang mengangkat senjata secara hak seperti Hamas di Palestine dan Taliban di Afghanistan yang mempertahankan negara Islam dan rakyat Islam. Mereka mengangkat senjata sepertimana arahan Allah dalam Al-Qur'an di atas. Adakah wajar kita, terutama kerajaan, menyokong musuh Allah dan membenci dan menghina Hamas dan Taliban dengan perkataan PENGGANAS?

Sebelum menutup bicara, penulis sekali lagi menegaskan Islam memerangi dengan pedang sesiapa yang memerangi Islam dengan pedang. Dan jelas dalam situasi semasa US dan Israel memerangi Islam dengan senjata, maka mereka WAJIB diperangi dengan senjata sepertimana arahan Allah

"Kenapa tidak kamu perangi mereka yang tidak memenuhi janji (pendamaian) dan yang mengeluarkan/menghalau Rasul dan yang memulakan (peperangan)? Adakah kamu ta'jub dengan mereka (kekuatan mereka)? Maka (sewajarnya) Allah yang kamu ta'jubkan jika kamu benar-benar beriman. Perangilah mereka! Allah akan mengazab mereka dengan tangan kamu dan akan memalukan mereka dan Allah membantu kamu ke atas mereka....." (Al-Taubah:13-14)

Dalam masa yang sama kita berdamai dengan mereka yang tidak memerangi Islam walaupun mereka itu rakyat US maupun Israel. Ini pendirian penulis dan ia bukan pendirian berdasarkan aqal semata, tetapi dengan dalil arahan Allah yang jelas di atas.

Allah itu maha Kuasa menjatuhkan sesiapa yang Dia kehendaki dan menghina sesiapa yang Dia kehendaki dan PENGHINAAN itu jatuh di muka kaum Muslimun yang tidak menurut arahan Allah.

Sunday, May 8, 2011

Hari ibu dan aku.


Salam...

Selamat hari ibu buat semua ibu-ibu di dunia. Terutamanya kepada ibu saya Puan Jumainah Japiri. Terima kasih mama kerana mengajar saya erti ketabahan dan erti survival dalam kehidupan.

Hari ibu,
Dulu-dulu, saya tak ambil peduli Hari Ibu ini. Sekadar menonton TV untuk meraikan hari ibu. Mungkin sebab memang dibudayakan sejak kecil, tiada sambutan-sambutan seperti itu melainkan hari lahir dan perayaan-perayaan biasa.

Sekarang...

Saya ambil kisah, kerana saya sendiri sudah faham tentang perasaan dan pengorbanan seorang ibu.
Saya tidak mengharapkan anak-anak saya menyambutkan Hari Ibu buat saya kelak. Namun, saya mahu mereka sedar yang, sepanjang masa saya menjadi seorang ibu buat mereka, saya cuba buat yang terbaik, namun, saya sentiasa gagal memberikan yang terbaik.

Maafkan mama atas kekhilafan yang gagal mama tutup itu....
Anda yang menjadi ibu pasti faham mengapa saya memberi entri sebegini.
Bagi yang belum menjadi ibu, insyaallah, anda akan faham setelah menjadi seorang ibu.

Kenapa dengan semua kerendahan hati ini?
Kerana:

Muhammad: Mama, esok cuti lagi tak? Muhammad nak ikut mama pergi office boleh?
Mama: tak bolehla sayang, mama kerja esok...
(Hati tersentuh melihat wajah muram si kecil)

Mama: Muhammad, kan dah banyak kali mama pesan, jangan buli adik!!! (PAP!!! tamparan pada kaki, niat sekadar untuk mengajar)
Muhammad: Sakit! Mama janganlah pukul Muhammad...
HAti bagai dirobek-robek setelah tersedar. Percayalah, sangat sukar mengatasi perasaan marah dengan kepenatan setelah baru balik dari kerja, sampai rumah perlu menyediakan makan malam, mengemas dan melayani kenakalan anak-anak. Teorinya, kita sendiri faham, anak-anak perlukan perhatian, sedangkan kita keletihan dan sangat perlukan rehat. Pada ketika inilah, saya seringkali tewas dengan hasutan Syaitan.

Akhirnya, saya menangis sendirian pada waktu malam demi melihat wajah-wajah suci anak yang sedang tertidur. Mama gagal lagi anak-anak... maafkan mama.

Muhammad: Mama, janganlah garang, mama senyumlah...
Mama: Okay, sorry... mama senyum okay...
Sungguh tak sangka, anak kecil ini faham apa itu garang (masam). Kenapa dengan orang-orang luar saya boleh senyum, sedangkan untuk anak-anak sendiri, senyuman itu hilang. Saya mahu, tetapi, seringkali keletihan itu menggagalkan kemahuan itu.

Sekali lagi, ketika menidurkan anak-anak pada waktu malam, saya kadangkala melepasi batas apabila anak-anak tetap tidak mahu tidur sedangkan tubuh saya sendiri sudah keletihan. Kadangkala, kemarahan menguasai diri, kadangkala, suara saya meninggi. Anak-anak akan terbaring takut melihat kegarangan ibu mereka. Mujur saya cepat tersedar, cepat-cepat meminta maaf sambil memeluk mereka. Tapi... sampai bila keadaan ini akan berlarutan?

Justeru, setiap hari azam saya adalah, "Ya Allah... Berikan aku dan suamiku kesabaran dan kekuatan dan kebijaksanaan dalam membesarkan dan mendidik anak-anak kami... Aku mohon ya Allah..."

Ibu -ibu di luar sana yang hebat menahan kesabaran dalam mendidik anak-anak mereka, saya SALUTE! Pinjamkan saya kesabaran anda... saya butuhkan itu.

Saya sayangkan anak-anak saya, saya sentiasa cuba improve diri saya untuk anak-anak saya. Betapa khilaf pun diri saya, betapa garang pun saya, saya masih sedar, mereka itu lahir daripada rahim saya, daripada keperitan saya menyabung nyawa. mana mungkin saya tidak mengasihi mereka melebihi nyawa saya sendiri.

Untuk itu... selamat hari ibu buat saya, semoga saya berjaya menjadi ibu yang terbaik di mata anak-anak saya dan ALLAH...

Monday, May 2, 2011

Saya dah terkena! Saya bersyukur. Alhamdulillah...


Bukan nak kata apa, tapi betul lah dia tu memang busuk hati.

Bukan nak mengumpat lah, tapi betul, dia tu memang macamtu.

Yeke? Ya Allah... tak sangka aku dia tu macamtu. Seteruk-teruk aku, teruk lagi dia.

Kan aku dah kata dah, sedap mengumpat orang ni. sedap mengata orang ni. Sedap sungguh bercerita pasal orang ni.

Ha'ah lah, memang sedap dan lazat meratah daging manusia ni, enak berkrim disukai ramai. Aku kalau tak makan daging sedara aku sehari tak boleh hidup aku. Lazat sungguh!

Ya... memang sedap bercerita tentang keaiban mahupun apa-apa sahaja yang berkaitan dengan orang lain. kalau boleh, kita mahu menjadi orang yang paling berpengetahuan berkenaan dengan si Polan yang menjadi mangsa umpatan itu.
kita seronok kalau kita yang menjadi sumber utama rujukan kes itu.

"aku cakap ni, kau jangan bagitahu orang lain pula tau"




Di atas merupakan antara contoh-contoh perbualan harian yang samada sedar atau tidak, biasa berlaku dikalangan kita.

Dan jangan sebahagian kamu mengumpat sebahagiannya; apakah salah seorang di antara kamu suka makan daging bangkai saudaranya padahal mereka tidak menyukainya!!” (al-Hujurat: 12)

Tidak cukupkah ayat Allah ini untuk menempelak amalan keji kita itu? Saya menukilkan peringatan ini di sini untuk diri saya sendiri. Kerana, seringnya iman ini tertewas dengan bisikan-bisikan nafsu untuk mendengar dan mengumpat orang lain. Anda yang lain? Ya anda baik, alhamdulillah... sedangkan saya termasuk dalam golongan yang keras bermujahadah untuk beristiqamah melawan hawa nafsu. Moga Allah bantu saya (kita) untuk mengharungi ujian ini.

Saya cukup sedar sekiranya saya yang diumpat, pasti saya akan berasa sangat sedih dah marah. Saya bukanlah seorang manusia yang suka membawa mulut. Alhamdulillah, saya gembira dengan sikap itu.

Tetapi, bila kita hidup bermasyarakat dan berkawan, sukar untuk melepaskan diri daripada aktiviti-aktiviti mengumpat ini.

Depa kata, kalau dah duduk ramai-ramai tu, pandai-pandailah kontrol mulut dan telinga sendiri. Kalau ada kawan yang start mengumpat, kita terus tinggalkan kumpulan itu.

Ya... mudah, tapi, kalau duduk dalam kereta ramai-ramai, dan aktiviti mengumpat sedang berlaku? macam mana nak tinggalkan mereka? Takkan nak terjun kereta kot.

See...?

Nabi pernah bersabda:

"Siapa yang melihat kemungkaran hendaklah dia mengubahnya (taghyir) dengan tangan, jika tidak mampu hendaklah mengubahnya dengan lidah, jika tidak mampu hendaklah dia mengubahnya dengan hati, dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman." (Hadis Riwayat Muslim)

Selalunya, dalam setiap ketika, saya hanya mampu mencegah dengan hati! Allah... betapa lemahnya iman hambamu ini. Alasannya? untuk menjaga hati kawan, takut nanti dia kecik hati kalau kita tegur. Ridiculous reason! Tapi itulah hakikatnya... Kita mencari redha manusia dalam keadaan kita mendapat kemurkaan Allah... Ampuni hambaMu ini ya Allah...

Saidina Ali bin Abi Talib k.w pernah berkata :
" Seseorang itu menjatuhkan nilai dirinya bila dia mula merasa tamak,dia rela dengan kehinaan apabila dia menceritakan tentang kemiskinan dan kesusahannya.Dia menghinakan dirinya bila dia tidak dapat mengawal lidahnya.."

Saidina Umar bin Al Khattab r.a juga pernah berkata :
" Jangan kagum mendengar suara seseorang,tetapi kagumilah orang yang bila diberi amanat dia laksanakan,yang tidak pernah mengganggu orang dengan mulut ataupun tangannya.."

Semoga entri pada kali ini benar-benar telah menjentik hati saya(kita) agar kita lebih menjaga lidah...

Adab suami isteri : from zauji


Monday, 2 May 2011 21:53:01
ADAB SUAMI ISTERI






ADAB SUAMI ISTERI

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang.


Nukilan kali ini, penulis ingin menyentuh topik yang mungkin ramai yang sudah berkahwin abaikan samaada terlupa atau kurang mengambil perhatian. Penulis ingin menyentuh adab dan akhlak suami isteri yang digariskan oleh Islam. Bagi yang belum berkahwin, ini mungkin boleh dijadikan panduan di masa hadapan. Apabila bercerita berkenaan adab, ramai yang akan menyangka bahawa ia suatu yang ringan atau sunat sahaja. Walhal dalam banyak perkara adab dan akhlaq itu ia boleh juga jatuh wajib atau haram. Kita tidak akan menyentuh semua perkara tetapi cukup untuk kita lihat beberapa isu adab suami isteri yang bagi penulis penting untuk diketahui. Manakala bagi isu yang tidak disentuh, bolehlah kita mencari buku-buku keluarga Islam yang mudah didapati di pasaran. Penulis akan menyentuh 2 perkara yang pada pandangan penulis perlu diambil perhatian.


1. PERGAULAN YANG BAIK


Bagi lelaki, Allah telah menetapkan bahawa hendaklah isteri itu dilayan dengan baik melalui cara yang ma’ruf. Allah berfirman “Dan pergaulilah mereka (isteri) dengan ma’ruf” (Surah Al-Nisa’:19). Ibnu ‘Abbas telah memberi gambaran tentang maksud ayat ini apabila beliau berhias untuk isterinya dengan menyatakan bahawa dia melakukan begitu sepertimana dia mahu isterinya berhias untuknya. Maka difahamkan di sini bahawa pergaulan dengan ma’ruf ialah hendaklah dilayan si isteri itu sepertimana kita hendakkan isteri itu melayan kita iaitu dengan kasih sayang dan kehormatan.


Tuntutan ini bukan suatu yang harus tetapi ia adalah wajib kerana layanan yang baik dari suami adalah suatu hak isteri yang wajib ditunaikan. Begitu juga sebaliknya iaitu si isteri diwajibkan untuk memberi layanan yang baik kepada suami hinggakan jika isteri hendak berpuasa sunat, hendaklah dia mendapat izin daripada suami (hadith riwayat Bukhari) di mana hadith ini menunjukkan ibadah pusa sunat itu mendapat tempat kedua selepas tugas melayani suami.


Adab ini sering dilupakan oleh suami dan isteri di mana mereka (terutama suami) tidak memberikan layanan yang terbaik pada pasangan mereka. Sedangkan pergaulan yang baik dan penuh kasih sayang adalah suatu yang disuruh di dalam Islam. Nasihat kepada diri penulis sebagai seorang suami dan kepada semua lelaki yang membaca. Isteri itu adalah rizeki Allah yang diberikan kepada kita atas usaha kita mencari isteri dan ibu yang baik. Maka hendaklah isteri itu dilayan sebagai seorang insan yang dimuliakan kerana Allah memuliakan mereka sebagai insan. Apabila mereka menjalankan tanggungjawab mereka dan memberikan hak kita sebagai suami, maka penuhilah hak mereka dan berikan mereka kasih sayang yang sewajarnya. Jika ini tidak dilakukan maka hendaklah disiapkan jawapan di hadapan Allah kerana gagal menjalankan tanggungjawab sebagai suami.


2. KAMAR ITU SUATU RAHSIA


Adab atau akhlaq yang seterusnya adalah kerahsian “Cerita Kamar”. Adab ini adalah adab yang makin lama makin kurang dipatuhi terutama setelah adanya kemudahan perkongsian maklumat seperti Facebook. Islam meletakkan bahawa adalah suatu yang buruk menceritakan pergaulan suami isteri di bilik tidur kepada orang ramai. Samaada cerita tersebut dikongsikan melalui pebualan atau di internet. Hukum adab ini diambil daripada hadith nabi yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Abi Sai’d di mana Rasulullah bersabda bahawa daripada sejelek-jelek manusia di sisi Allah adalah lelaki yang mendatangi isteri kemudian membuka rahsia isteri (daripada pergaulan mereka) kepada orang ramai. Manakala di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Imam Ahmad bahawa mereka yang menceritakan pergaulan dengan isteri atau suami mereka seperti syaitan yang membuang air sedangkan dia disaksikan oleh orang ramai.


Imam Al-Syaukani ketika mensyarahkan hadith-hadith ini menyatakan bahawa adalah haram bagi suami atau isteri menceritakan kepada orang lain perbuatan suami isteri mereka ketika bersama walaupun mukaddimah perbuatan mereka (Imam Al-Syaukani, Nail Al-Authar, Vol. 6 p. 214 [Kaherah:2005]). Penulis bersetuju dengan pendapat ini terutama pada penegasan Imam Al-Syaukani kepada haram perbuatan menceritakan mukaddimah perbuatan suami isteri. Penulis mendapat banyak kisah daripada zaujah penulis bahawa di Facebook ramai yang tanpa segan silu menceritakan perbuatan isteri atau suami mereka seperti ciuman maupun sentuhan. Perkara seperti ini harus dielakkan kerana ia hanya akan membuka aib sendiri kepada orang ramai walaupun belum menceritakan detail kisah kamar mereka. Selain daripada Facebook, perbuatan bercerita maupun menulis aksi kamar ini adalah suatu yang dilarang. Biarlah apa yang berlaku di kamar sendiri hanya diketahui oleh pasangan itu dan bukan untuk diketahui umum.


Ini adalah nukilan pendek yang sempat penulis nukilkan untuk dikongsi bersama. Semoga dengan sedikit perkongsian ini dapat menambah lagi pemahaman kita mengenai Islam yang merupakan cara hidup kita. Semoga Allah memperkuatkan barisan Islam dengan da’wah yang sentiasa bergema disekian zaman.


Allah lebih mengetahui.


OC

1 Mei 2011