Search This Blog

Monday, May 2, 2011

Adab suami isteri : from zauji


Monday, 2 May 2011 21:53:01
ADAB SUAMI ISTERI






ADAB SUAMI ISTERI

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang.


Nukilan kali ini, penulis ingin menyentuh topik yang mungkin ramai yang sudah berkahwin abaikan samaada terlupa atau kurang mengambil perhatian. Penulis ingin menyentuh adab dan akhlak suami isteri yang digariskan oleh Islam. Bagi yang belum berkahwin, ini mungkin boleh dijadikan panduan di masa hadapan. Apabila bercerita berkenaan adab, ramai yang akan menyangka bahawa ia suatu yang ringan atau sunat sahaja. Walhal dalam banyak perkara adab dan akhlaq itu ia boleh juga jatuh wajib atau haram. Kita tidak akan menyentuh semua perkara tetapi cukup untuk kita lihat beberapa isu adab suami isteri yang bagi penulis penting untuk diketahui. Manakala bagi isu yang tidak disentuh, bolehlah kita mencari buku-buku keluarga Islam yang mudah didapati di pasaran. Penulis akan menyentuh 2 perkara yang pada pandangan penulis perlu diambil perhatian.


1. PERGAULAN YANG BAIK


Bagi lelaki, Allah telah menetapkan bahawa hendaklah isteri itu dilayan dengan baik melalui cara yang ma’ruf. Allah berfirman “Dan pergaulilah mereka (isteri) dengan ma’ruf” (Surah Al-Nisa’:19). Ibnu ‘Abbas telah memberi gambaran tentang maksud ayat ini apabila beliau berhias untuk isterinya dengan menyatakan bahawa dia melakukan begitu sepertimana dia mahu isterinya berhias untuknya. Maka difahamkan di sini bahawa pergaulan dengan ma’ruf ialah hendaklah dilayan si isteri itu sepertimana kita hendakkan isteri itu melayan kita iaitu dengan kasih sayang dan kehormatan.


Tuntutan ini bukan suatu yang harus tetapi ia adalah wajib kerana layanan yang baik dari suami adalah suatu hak isteri yang wajib ditunaikan. Begitu juga sebaliknya iaitu si isteri diwajibkan untuk memberi layanan yang baik kepada suami hinggakan jika isteri hendak berpuasa sunat, hendaklah dia mendapat izin daripada suami (hadith riwayat Bukhari) di mana hadith ini menunjukkan ibadah pusa sunat itu mendapat tempat kedua selepas tugas melayani suami.


Adab ini sering dilupakan oleh suami dan isteri di mana mereka (terutama suami) tidak memberikan layanan yang terbaik pada pasangan mereka. Sedangkan pergaulan yang baik dan penuh kasih sayang adalah suatu yang disuruh di dalam Islam. Nasihat kepada diri penulis sebagai seorang suami dan kepada semua lelaki yang membaca. Isteri itu adalah rizeki Allah yang diberikan kepada kita atas usaha kita mencari isteri dan ibu yang baik. Maka hendaklah isteri itu dilayan sebagai seorang insan yang dimuliakan kerana Allah memuliakan mereka sebagai insan. Apabila mereka menjalankan tanggungjawab mereka dan memberikan hak kita sebagai suami, maka penuhilah hak mereka dan berikan mereka kasih sayang yang sewajarnya. Jika ini tidak dilakukan maka hendaklah disiapkan jawapan di hadapan Allah kerana gagal menjalankan tanggungjawab sebagai suami.


2. KAMAR ITU SUATU RAHSIA


Adab atau akhlaq yang seterusnya adalah kerahsian “Cerita Kamar”. Adab ini adalah adab yang makin lama makin kurang dipatuhi terutama setelah adanya kemudahan perkongsian maklumat seperti Facebook. Islam meletakkan bahawa adalah suatu yang buruk menceritakan pergaulan suami isteri di bilik tidur kepada orang ramai. Samaada cerita tersebut dikongsikan melalui pebualan atau di internet. Hukum adab ini diambil daripada hadith nabi yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Abi Sai’d di mana Rasulullah bersabda bahawa daripada sejelek-jelek manusia di sisi Allah adalah lelaki yang mendatangi isteri kemudian membuka rahsia isteri (daripada pergaulan mereka) kepada orang ramai. Manakala di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Imam Ahmad bahawa mereka yang menceritakan pergaulan dengan isteri atau suami mereka seperti syaitan yang membuang air sedangkan dia disaksikan oleh orang ramai.


Imam Al-Syaukani ketika mensyarahkan hadith-hadith ini menyatakan bahawa adalah haram bagi suami atau isteri menceritakan kepada orang lain perbuatan suami isteri mereka ketika bersama walaupun mukaddimah perbuatan mereka (Imam Al-Syaukani, Nail Al-Authar, Vol. 6 p. 214 [Kaherah:2005]). Penulis bersetuju dengan pendapat ini terutama pada penegasan Imam Al-Syaukani kepada haram perbuatan menceritakan mukaddimah perbuatan suami isteri. Penulis mendapat banyak kisah daripada zaujah penulis bahawa di Facebook ramai yang tanpa segan silu menceritakan perbuatan isteri atau suami mereka seperti ciuman maupun sentuhan. Perkara seperti ini harus dielakkan kerana ia hanya akan membuka aib sendiri kepada orang ramai walaupun belum menceritakan detail kisah kamar mereka. Selain daripada Facebook, perbuatan bercerita maupun menulis aksi kamar ini adalah suatu yang dilarang. Biarlah apa yang berlaku di kamar sendiri hanya diketahui oleh pasangan itu dan bukan untuk diketahui umum.


Ini adalah nukilan pendek yang sempat penulis nukilkan untuk dikongsi bersama. Semoga dengan sedikit perkongsian ini dapat menambah lagi pemahaman kita mengenai Islam yang merupakan cara hidup kita. Semoga Allah memperkuatkan barisan Islam dengan da’wah yang sentiasa bergema disekian zaman.


Allah lebih mengetahui.


OC

1 Mei 2011

No comments:

Post a Comment