Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi maha Penyayang.
Pada Sabtu yang lepas penulis terbaca satu nukilan di dalam Utusan yang ditulis oleh pergerakan “Bangsa Melayu” berkenaan Marina Mahathir. Di dalam nukilan itu penulis tersebut telah mengkritik Marina Mahathir sebagai orang yang lupa bangsa dan agama serta mempunyai propaganda tersendiri. Kritikan tersebut dibuat ikutan daripada nukilan Marina Mahathir di dalam The Star di mana Marina Mahathir mengkritik kerajaan yang menyamakan BERSIH dengan huru-hara di England baru-baru ini. Awal bulan yang lepas beberapa orang disenaraikan sebagai sesat dan pengganas oleh beberapa penggerak ulama dan bangsa Melayu. Di antara orang yang di label pengganas adalah Prof Madya Dr Asri dan Mufti Perlis Dr Junanda Jaya. Baru-baru ini Tuan Guru Nik Aziz dikatakan pembelot agama apabila menyokong tindakan kerajaan Pulau Pinang melarang laungan zikir atau bacaan Al-Qur’an di speaker masjid sebelum subuh.
Penulis ingin bertanya kepada penggerak-penggerak Melayu ini, apakah hasil yang mereka peroleh daripada tindakan mereka mencari isu untuk mencemuh dan melabelkan insan-insan di atas dengan pelbagai gelaran? Apakah yang mereka inginkan daripada cemuhan mereka? Penulis tidak mahu membicarakan mengenai pandangan yang dikeluarkan oleh insan-insan di atas seperti Marina mahupun Dr Asri. Apa yang penulis ingin nukilkan adalah sikap kita apabila berhadapan dengan pendapat yang berbeda dengan pendapat kita sendiri.
Imam Al-Syafie’ pernah berkata bahawa “pendapatku benar dan boleh juga salah. Pendapat orang lain salah dan boleh juga benar”. Seorang tokoh yang besar ini tidak pernah mencemuh atau memberi gelaran kesat kepada mereka yang bercanggah pendapat dengan beliau. Malah beliau selalu mengajar agar kita menyedari bahawa di dalam memberi pandangan ada kala kita akan silap dan orang lain itu benar. Imam Malik, guru kepada Imam Syafie’ juga mengajar bahawa kata-kata setiap manusia itu diteliti pendapatnya dan bisa ditolak melainkan kata daripada Nabi Muhammad yang tidak boleh ditolak.
Daripada tunjuk ajar di atas, kita harus menghormati pandangan insan lain walaupun ia bercanggah dengan pendapat kita sendiri. Jika pandangan insan lain itu kita rasakan salah, maka kita berhujah dengan mereka dalam suasana yang terbaik tanpa sebarang cemuhan. Ini tidak. Penggerak-penggerak bangsa Melayu seperti PERKASA tidak pernah berhujah dengan baik mematahkan hujah-hujah mereka di atas. Sebaliknya sibuk mencemuh di dada Utusan dengan perkataan kasar seperti pengkhianat bangsa, pencemar agama atau pengganas. Jika kita tidak mampu untuk berhujah kerana ceteknya ilmu di dada, maka lebih baik diam. Jangan sibuk hendak berkata tetapi kata-kata yang keluar hanya membangkitkan rasa benci orang lain kepada kita.
Kepada pembaca di luar sana, satu nasihat penulis adalah jangan kita suka mencemuh atau mengata. Jika hendak berhujah biar dengan ilmu dan bukan dengan pemberian gelaran kasar. Banyak blog dan laman web pergerakan yang sibuk mencemuh pihak lawan dengan gelaran yang pelbagai. Tidak kira kamu di pihak mana atau dalam pergerakan mana, tiada lesen di dalam Islam yang membenarkan kamu mencemuh atau menghina mana-mana insan. Jika salah insan itu maka kita berhujah dengan mereka dengan perkataan yang terbaik dan jika tidak diterima hujah kita, maka kita serahkan kepada Allah.
Jangan hanya pandai berjubah berserban
Tetapi mulut penuh dengan celaan
No comments:
Post a Comment