Search This Blog

Wednesday, July 27, 2011

Octavia untuk Iris (Part 1)

Tulip? Hmmm… pernah tengok. Lavender? Hmmm… pun pernah. Wangi. Rose? Semestinya aku tahu. Carnation? Bunga apa ya? Lily? Anemone? Amaryllis? Daffodil? Carla lily? Gardenia? Stop! Yang ni aku tahu. Opss…untuk pengetahuan saudari, Gardenia di sini ialah bunga, bukan roti Gardenia. Ok,ok… Arghh…Gawat! Kenapa Madam nak aku hafal nama bunga-bunga ni? Aku bukan tukang kebun kat rumah ni. Aku pengurus rumah. Pengurus rumah? Bukan pembantu rumah? Yep! Pengurus rumah. Bukan pembantu rumah. Mungkin bukan rumah, sebab rumah ni terlalu besar untuk dipanggil rumah. Bukan banglo,Sebab rumah ni lebih besar daripada banglo. Rumah ni lebih hampir kepada istana sebenarnya, tapi istana versi Eropah yang kecil dan agak moden.

Agak pelik kerana penghuni tetap yang tinggal di sini hanya seorang, dan yang selebihnya adalah pekerja-pekerja rumah ini, termasuklah diriku. Tuan rumah ini ialah Madam Rosaline dan anaknya Mr. Daniel serta menantu, Mrs. Daniel. Oh. Dan seorang lagi, cucu keluarga ini, Mr. Zachary Adam Smith. Majikan- majikan aku hanya datang ke rumah ni pada setiap hujung minggu, kecuali Mr. Zachary. Sepanjang dua bulan aku berada di sini, belum pernah aku bertemu dengannya. Dan, penghuni tetap rumah ini ialah Syerry. Aku tidak tahu apakah hubungan Syerry dengan majikan-majikan ku yang lain kerana setiap kali mereka bertandang ke rumah ini, belum pernah sekali pun aku melihat mereka berbual-bual dengan Syerry, malah kadang-kadang aku merasakan kehadiran Syerry di rumah ini seolah-olah tidak disedari. Atau mungkin sengaja tidak disedari. Ada banyak misteri di sebalik Syerry sebenarnya. Pada luarannya, Syerry adalah seorang wanita sebaya mamaku. Majikan- majikan ku tidak pernah memberiku apa-apa maklumat tentang Syerry. Pernah sekali aku bertanya kepada Madam tentang siapa Syerry sebenarnya – itupun dengan suara yang perlahan- tapi apa yang ku terima hanya dua baris ayat “mind your own business. No more questions about her”.

Selepas peristiwa itu, aku tidak bercadang untuk bertanya apa-apa perkara tentang Syerry kepada Madam, well...aku juga tidak berani mengambil risiko untuk menjadi ‘penanam anggur’ pada bulan pertama aku bekerja memandangkan ekonomi sekarang yang tidak menentu. Apa yang aku tahu tentang Syerry ialah, dia mengalami kegagalan otak. Itu yang diberitahu oleh Nani, jururawat yang menjaganya. Disebabkan itu jugalah Sherry terpaksa duduk di atas kerusi rodanya sepanjang hari. Tapi bagiku, otak Syerry tidak gagal berfungsi sepenuhnya, kerana dia boleh berdiri, berjalan, duduk, walaupun memerlukan sedikit bantuan daripada orang lain. Cuma, matanya... hanya memandang ke satu arah, dan wajahnya... hanya mempamerkan reaksi kosong, pucat dan suram. Bagiku, Sherry terlalu misteri.

Oh, sebelum aku terlupa, majikan-majikan ku semuanya pada anggapanku, termasuk Syerry adalah orang Melayu, kerana mereka semua berwajah melayu, berkulit sawo matang. Kecuali Madam dan Mrs. Danielle. Mereka berkulit putih cerah pada wajah tetapi tidak pada tubuh badan yang lain. Hmmm... Krim pencerah?

Ketika aku baru mula berkerja di disini, aku tertanya-tanya mengapa perlu menamakan diri dengan nama Mat Salleh sedangkan mereka 99.9% pada firasatku merupakan orang Melayu, walaupun 70% daripada bahasa komunikasi mereka merupakan bahasa English, London style. Eh, namaku pun ala-ala Mat Salleh juga, tapi aku bukan Melayu tulin, tak macam majikan-majikan ku. Margarate, salah seorang daripada pembantu rumah ini memberitahu aku yang majikan-majikan kami baru setahun berpindah dari London ke Malaysia setelah lebih 20 tahun menetap di sana. Margarate merupakan tukang masak di sini, berbangsa Fillipina, beragama Islam, berusia lewat 40-an dan sudah beberapa tahun berkhidmat dengan mereka. Menurut Margarate, majikan-majikan kami hanya pulang ke Malaysia untuk urusan perniagaan beberapa kali setahun. Patutlah masih boleh berbahasa Melayu walaupun dengan slanga English yang amat lucu bagiku. Cuma kepulangan mereka pada kali ini seperti untuk selamanya. Bagus. Kerana itu bermakna, aku tidak perlu tergesa-gesa mencari pekerjaan lain.

Bagaimana aku boleh menjadi pembantu rumah? Ehem. Pengurus rumah. Hmmm... semuanya bermula pada dua bulan yang lepas...


Bersambung.... :)

Membuli pelajar.



Madam : Kenapa pagi tadi tak datang kelas?

Pelajar2: Maaf madam, kami pergi beli tiket bola.

Madam : Kamu pergi beli tiket bola masa kelas saya? Dah lah saya call tak angkat.

Pelajar2 : Kami tau madam call, tapi kami tak angkat, takkanlah kami angkat lepastu jawab kami tak datang kelas sebab kami pergi beli tiket bola.........

Madam : ye tak ye juga, habistu, apa saya nak buat dengan awak ni? Saya faham, kadang- kadang ada masanya kita ni naik gila sikit, ikut kemahuan hati, tapi, fikir2lah mana satu prioriti awak...

Pelajar2: Kami minta maaf madam, madam dendalah kami.

Madam : Oklah, awak kena baca semula topik pagi tadi, lepastu present dengan saya sekarang juga.

######

Kadang-kadang seorang pendidik terlalu ghairah mendenda pelajar, sehinggakan mereka tidak memperdulikan "kualiti" denda itu.

Pada saya, biarlah denda itu (walau betapa marahpun kita dengan mereka) denda yang ada kualitinya, yang memberikan kebaikan kepada seorang pendidik dan pelajarnya sekali. Biar denda itu penuh penghormatan, bukan penuh dengan kehinaan. Jangan jatuhkan imej kita sebagai seorang pendidik dengan denda yang entah apa-apa, dan kemarahan serta carutan yang entah apa-apa. Sempurnakanlah sistem pendidikan kita dengan denda yang berpendidikan.

*** Tak semestinya seorang pendidik yang garang itu akan dihormati pelajar. :)
*** Seorang pendidik itu ialah pendidik yang hebat sekiranya dalam kelembutan, kesopanan, kesusilaan, dia mampu mengawal dan dihormati oleh pelajar-pelajarnya. :)

Monday, July 25, 2011

Bengkel Penulisan. Cayalah!!!


Salam...

Selama 4 hari saya menghadiri sebuah bengkel penulisan anjuran Akademi Penulis Sdn. Bhd. (Arahan daripada bos semestinya). Alhamdulillah, bengkel selesai dan para peserta mendapat banyak manfaat berguna daripada bengkel tersebut.

Pada mulanya selepas mengetahui bahawa nama saya tersenarai sebagai salah seorang peserta dalam bengkel tersebut, saya agak 'panas' juga. Siapa tidak panas hati kerana terpaksa membatalkan kelas selama 9 jam bagi tempoh masa 2 hari?

Namun, alhamdulillah, sepanjang masa bengkel berjalan, tiada satu ruang pun yang tidak dimanfaatkan untuk ilmu.



Teman sebelah meja saya yang memperkenalkan saya dan mewar-warkan saya sudah ada buku yang dalam proses penilaian. (Maisurah pun sedang dalam proses membuat novel, ku lihat bling2 di matamu Maisurah!


Saudara Fauzul Na'im Ishak, penceramah kami. Mantap!!!



Kad-kad= selangkah ke alam penulisan non fiction.


Semoga kami berjaya berkarya (berkaya? hehe).

Tuesday, July 5, 2011

Kalau kita terkejut, dia lebih terkejut. Innalillahi wainna ilaihi raajiun...


Antara beberapa orang yang mendaftar menjadi followers rasmi saya di blog ini, ada satu nama yang betul-betul menyebabkan saya terkedu seketika.

beberapa hari yang lepas, saya mendapat berita sedih mengenai kehilangan seorang pelajar KPTM yang juga merupakan pelajar saya. Arwah meninggal selepas beberapa hari bertarung nyawa di hospital akibat terlibat dengan satu kemalangan. Saya memang cukup 'familiar' dengan nama-nama pelajar saya, cuma, ingatan saya terlalu lemah untuk mengingati wajah-wajah mereka. Beberapa kali saya cuba untuk mengingati wajah Arwah Suaidah, namun gagal.

Pada pagi ini, hati saya tergerak untuk melihat senarai nama "followers' di blog saya. Saya terkedu, kerana salah satu 'followers' blog ini ialah Suaida. Adakah Suaidah lain yang menjadi pelajar saya selain daripada Arwah Suaidah? Dan kini saya masih berusaha untuk mengingati wajah Arwah Suaidah, namun masih gagal.

Dulu, ketika menghadapi kematian sahabat saya, Arwah Salfarina, saya sangat terkejut, hampir sukar untuk menerima kenyataan. Kemudian, ada seorang sahabat seperjuangan yang menitipkan tazkirah buat saya dah rakan-rakan lain, katanya:

"setiap yang bernyawa pasti akan menemui kematian. Itu janji Allah. Kalau kita terkejut dengan kematiannya, dia lagi terkejut, sebab dia sendiri tak sangka yang dia dah mati."

Subhanallah... sungguh benar kata-katanya itu.

Saya doakan semoga Arwah Suaidah aman di sana, di bawah payung rahmat dah kasih sayang Allah...

*****

Kini, saya bermuhasabah diri, berjayakah saya belajar sesuatu yang bermanfaat daripada Arwah Suaidah ketika hidupnya? Berjayakah saya menjadi guru yang memberi contoh ikutan yang baik buatnya ketika hidupnya?

******
menjadi pengajar bukan sesuatu yang mudah. Betapa burukpun kita, kita tetap ada kewajipan untuk mengajar perkara-perkara mulia kepada pelajar-pelajar.

Pernah seorang pelajar menceritakan kisah dia bermimpikan saya. Dalam mimpinya, dia bermimpi yang saya membuatkan dia memakai tudung. Sejak itu, dia semakin konsisten memakai tudung. Alhamdulillah, walaupun tarbiah itu muncul dalam bentuk mimpi, saya bersyukur. Allah menjadi saya medium penghantar tarbiah. Alhamdulillah....

Ada pelajar yang berkata mahu jadikan saya idola. Saya tak berbangga, sebab saya tahu, dalam diri saya penuh keburukan sebagai manusia biasa. Namun, saya bersyukur, sekiranya ada sisi baik dalam diri saya yang boleh memandu pelajar-pelajar itu menjadi manusia yang lebih baik.

Ada pelajar yang gembira setiap kali masuk ke kelas saya, kerana kata mereka, saya suka bagi motivasi, suka bercerita, suka memberi kata-kata hikmah, suka memberi nasihat. Alhamdulillah... syukur kerana kebaikan-kebaikan itu disukai...

*****
Apapun, pokok pangkalnya sebuah kehidupan itu ialah, sebarkanlah kebaikan ketika kita masih berkesempatan, jangan nanti, ketika tibanya saat kejutan terbesar kita, kita bertambah-tambah terkejut kerana merit kebaikan kita rupa-rupanya kontang dan kemarau dek kelalaian kita sendiri. Naudzubillahimindzaalik... Moga kau tenang di sana, Suaidah....

Tuesday, June 28, 2011

Harapan saya pada Idris...


Hari ini saya bertugas untuk menjaga hari pendaftaran pelajar baru KPTM. Seperti biasa, banyak kisah yang mencelah di sebalik hari pendaftaran pelajar baru ini. Ada kisah sedih, ada kisah lucu, ada kisah biasa-biasa sahaja, ada kisah gembira, etc.

Ada satu kisah yang saya 'copy' 'paste' daripada 'wall' facebook rakan sejawat saya:
Registration Day: aku bertugas di Kaunter Pertanyaan. Hampir nangis td, ada sorg ayh pljr baru ni mohon ak didik n nasiht ank die elok2 spy terus bljr walau sesusah mane..pakcik tu bgenang ceritakan betapa susahnye zmn die dlu nk cri duit utk smbg bljr..die kate die dpt pgkat 2 dlm SPM dlu, n die sgt nk teruskn bjlr tinggi2..tp keadaan famili die daif sgt..smpai die tpksa bkorban~
Sedih kan kisah ni?
Saya memang sentiasa sensitif setiap kali membicarakan hal-hal yang berkaitan dengan pengorbanan ibu bapa terhadap anak-anak mereka. Hmm... apa pula yang anak-anak mereka sendiri fikirkan? Semoga setiap pengorbanan dan harapan ibi bapa itu sentiasa berbaloi.

Lain pula kisah yang baru berlaku sebentar tadi di hadapan mata saya sendiri. Seorang pelajar yang baru mendaftar tersenyum di hadapan kaunter saya. Matanya redup, wajahnya manis, tutur katanya penuh ceria. Langsung tiada kisah sedih disebalik perwatakannya itu. Namun, setelah diselidik, dan dia sendiri membuka mulut untuk bertanya, tiba-tiba, saya merasakan, saya menyimpan satu harapan buat pelajar tersebut.

"Mak saya orang Thailand, arwah bapa orang Malaysia tapi dah meninggal. Saya nak masuk kolej ni pun sebab orang kata boleh dapat MARA, bolehlah menanggung yuran pengajian saya. Tapi, nampaknya, saya diberitahu saya tak layak, sebab penjaga saya, bukan warganegara Malaysia...."

Wajahnya tetap manis walaupun dalam masa yang sama otaknya bercelaru dengan masalah kewangan.

Saya terkedu. Perasaan sebak sungguh-sungguh menekan dada. Pelajar ini ada kemahuan dan semangat untuk belajar, tapi, masalah kewangan membantutkan hasratnya. Pasti ada caranya. Lantas, beberapa petugas yang prihatin mencadangkan beberapa cara untuk mendapatkan bantuan kewangan bagi pelajar tersebut. Saya bersyukur kerana masih ramai yang ambil peduli. Saya mahu membantu, namun pengetahuan tentang 'kabel-kabel' bantuan kewangan ini amat cetek. Terasa bodoh dan sangat tidak berguna.

Sepanjang sesi pendaftaran, konsentrasi saya masih terganggu dengan kisah pelajar tersebut. sehinggalah pada akhir sesi, saya bertemu semula dengannya. Wajahnya pada kali ini lebih manis berbanding tadi.
"Macam mana?" Soal saya, berminat untuk mengetahui apakah ada penyelesaian buatnya.
"Alhamdulillah Kak... saya layak dapat PTPTN..." jawabnya gembira.
"Alhamdulillah... belajar elok-elok, bukan susah untuk berjaya, jangan sia-siakan bantuan yang kamu terima." Nasihat saya ikhlas.
"Insyaallah... terima kasih..." Jawabnya. Masih dengan senyuman manisnya.

Sempat saya melihat nama pada tag nama yang bergantung pada lehernya, Idris... itu namanya...

Bagi sesetengah orang, masa depan dan ilmu itu terlalu mahal harganya.
Bagi sesetengah yang lain pula, masa depan dan ilmu itu murah sahaja harganya.
Ada yang mahukan pelajaran, namun sukar untuk mencapainya kerana kekangan kewangan.
Ada yang tidak perduli, biarpun duit sudah berkepuk-kepuk dibazirkan.
Saya hanya termenung, harapan saya pada Idris, semoga kamu bisa berjaya...Aameen...

Thursday, June 16, 2011

Saya cemburu...

” Saya berdoa agar dapat menjejakkan kaki ke Mekah sebelum menutup mata,”.

Itulah harapan bekas penagih dadah yang kini sangat dikenali di sekitar ‘dunia gelap’ Chow Kit, Arfidah Latif atau mesra di kalangan ‘penghuni’ kawasan tersebut dengan panggilan Kak Fidah.

Semalam Mynewshub.my sempat mengikuti program ‘outreach’ yang dikendalikan Arfidah di sekitar Lorong Haji Taib dan Jalan Silang di sini.

Ternyata, walaupun sudah lebih 20 tahun mengharung pelbagai cabaran dan rintangan untuk membimbing dan mendidik warga pekerja seks dan penagih dadah agar kembali ke pangkal jalan, wanita ‘besi’ ini tidak mahu mengaku kalah.

” Para pekerja seks, penagih dadah dan pesakit AIDS/HIV di Chow Kit saya anggap sebagai saudara kandung saya sendiri, selagi mereka dihina dan dicemuh, selagi itulah semangat saya untuk membantu mereka akan terus berkobar-kobar.

” Namun impian sebenar saya selain membantu golongan ini, saya teringin benar untuk mengerjakan umrah dan haji di Mekah, namun apalah daya saya kerana tidak mempunyai keupayaan daripada segi kewangan untuk berbuat demikian

” Saya tak putus berdoa agar impian ini akan jadi satu kenyataan suatu hari nanti, apa yang pasti kerja untuk berdakwah pada warga lorong gelap ini akan tetap saya teruskan selagi nyawa di kandung badan,” katanya pada Mynewshub.my di sini hari ini.

Arfidah adalah seorang aktivis sosial yang menubuhkan Rumah Sinar Salam.

Rumah Sinar Salam adalah sebuah rumah perlindungan yang memberi fokus kepada wanita berkrisis dan kanak-kanak terbiar, ia adalah hasil usaha kerjasama antara pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Yayasan Salam Malaysia (SALAM).

Projek ini diwujudkan lanjutan dari penganjuran Program Bil Hal anjuran JAWI pada tahun 2007. Ia mula beroperasi pada 4 Disember 2007.

Mengenai program ‘outreach’ yang dijalankan beliau, Arfidah memberitahu, sekurang-kurangnya tiga kali seminggu beliau dan rakan-rakan di Sinar Salam akan menyediakan makanan untuk golongan pekerja seks, penagih dadah dan kutu rayau di sekitar bandar raya.

” Bukan saya nak menggalakkan mereka agar terus berada di lorong-lorong hanyir ini, tetapi cara ini merupakan kaedah paling mudah untuk saya bertemu dengan mereka secara peribadi dan mengambil tahu mengenai kehidupan mereka yang penuh dengan kesukaran itu.

” Ia ibarat tarik rambut dalam tepung, maknanya saya cuba untuk membawa mereka pulang ke pangkal jalan dengan cara yang cukup halus tetapi praktikal.

” Alhamdulilah, ramai yang telah mula sedar akan kesilapan yang telah mereka lakukan cuma majoritnya masih ragu-ragu sama ada masih diterima dalam masyarakat ataupun sebaliknya.

Rumah Sinar Salam terletak di No. 6A, Tingkat 1, Lorong Haji Taib 3, 50350 Kuala Lumpur dan Arfidah boleh dihubungi di talian 03-40451620 / 017-3631620

SAK: Artikel yang aku tulis mengenai Kak Fidah ini dipetik daripada portal www.mynewshub.my ruangan Bahasa Melayu.



Artikel di atas merupakan artikel yang saya ambil daripada blog Syahril A. Kadir.

Tidak banyak yang mahu saya nukilkan pada kali ini, cuma... saya impikan untuk menjadi "SESEORANG" yang lebih berguna pada masyarakat pada satu ketika nanti. Insyaallah....

Saya impikan suatu masa nanti nama NURUL FATEHAH ANSARI ini akan menjadi suatu nama yang hebat dalam pembangunan sahsiah insan mahupun apa-apa sahaja perkara yang bisa mengubah masyarakat menjadi lebih baik. Saya mahu menjadi orang hebat pada suatu hari nanti. Saya cemburu pada artikel di atas. Lagi 10 tahun, Insyaallah...

Monday, June 6, 2011

Selamat hari bapa, Ansari Dol Suhaili.


Salam,
Hari ni entri khas untuk seorang insan yang bergelar bapa. Sebelum ni tiada tajuk khas untuk insan yang bergelar mama buat saya dan adik-adik, jangan marah mama, ada entri yang secara tidak langsung dinukilkan untuk mengenang kasih sayang dan pengorbanan mama. Saya pernah nukilkan dalam fighter 1 & 2.

Saya menukilkan entri ini khas buat daddy yang pernah dekat, pernah jauh, dan pernah sangat jauh....dan kini, saya mengharapkan segala-galanya kembali seperti asal.

Sayang, saya tidak cukup mengenali hati budi seorang insan bergelar daddy ini. Banyak kisah berkenaan daddy yang hanya saya dengari daripada mulut-mulut orang lain yang saya tidak tahu entahkan betul atau tidak.

Sehingga sekarang, bila orang bertanya, describe your father... my answer will be, "dia seorang yang tegas, berjiwa muda, kelakar, dan saya tak tahu 70% daripada dirinya".

Saya tidak bertujuan untuk menunjukkan sisi buruk father-daughter relationship antara kami. Saya juga tidak bertujuan untuk menunjukkan kegagalan daddy dalam memberi impak sebagai seorang ayah kepada anak perempuannya... tidak... kerana daddy seorang manusia cuma, tiada yang maksum pada perbuatan manusia. Kesimpulan pada father-daughter relationship antara kami yang mampu saya terjemahkan ialah: it takes two to tango. apa yang penting kerjasama!

Saya sudah kehilangan masa-masa membina kenangan bersama daddy sejak beberapa tahun yang lepas, semenjak saya mengenal erti hidup berdikari. Saya cemburu pada waktu yang hilang itu. walau bagaimanapun, setelah saya menggali semula khazanah-khazanah kenangan kami bersama, saya bertemu semula dengan daddy yang sangat saya banggakan.

Daddy yang bersengkang mata membantu saya menyiap kerja sekolah.
Daddy yang berbangga dan memberi sokongan setiap kali saya menyertai pertandingan-pertandingan di sekolah.
Daddy yang tidak pernah memperkecilkan kebolehan mahupun kegagalan saya.
Daddy yang sporting, memanjakan saya dengan cara yang tersendiri.
Daddy yang sentiasa ada pada setiap 'birthday party' saya.
Daddy yang berjaya menurunkan sikap tegasnya kepada saya, Ya, ketegasan ini saya perolehi daripada daddy.
Daddy yang berjaya menunjukkan jangan takut menyuarakan kebenaran.
Daddy yang sentiasa berbangga dengan saya... tapi, saya gagal mentafsirkan perasaan
bangganya itu pada setiap keadaan.

Daddy yang meletakkan sepenuh kepercayaan kepada saya untuk sendiri membentuk corak kehidupan yang saya pilih...
Saya akui, setiap keputusan terpenting mahupun keputusan biasa dalam hidup saya, segalanya diserahkan bulat-bulat kepada saya untuk saya tentukan sendiri. Bukan dia tidak membimbing, dia membimbing dengan caranya yang tersendiri. Apa yang cukup saya hargai ialah, kepercayaannya kepada saya. Alhamdulillah, saya cukup berterima kasih.

Masa berganti, kedewasaan saya kini mengajar saya bahawa, tidak semua kebebasan yang diberikan daddy kepada saya diberikan dengan sepenuh hati. Ada yang yang diberikan separuh hati kerana risau saya akan tersilap langkah. Namun saya yakin, pada setiap pilihan yang saya ambil, pasti ada iringan doa daripada daddy, agar pilihan itu adalah yang tepat buat saya. Terima kasih daddy, atas segala kepercayaan itu... saya hargai...