Search This Blog

Sunday, August 14, 2011

Terima kasih Maraat dan Guzelle...


Pada hari Khamis lepas, saya, suami dan anak-anak berbuka puasa di rumah kenalan baru yang seukhuwah, seakidah, warganegara Russia, saudara Maraat dan isterinya Guzelle (dengan macamtu lah namanya disebut, tapi den tak reti eja) berserta keluarga mereka dan beberapa kenalan baru yang lain dari Maldives dan Mr. Tan dan kawan baru Iliya (eh berapa banyak dan da...)

Satu pengalaman menarik sebab berbuka puasa ala Russia. Makan berperingkat-peringkat dimulai dengan berbuka puasa ringan dengan buah-buahan dan air, kemudian selepas bersolat maghrib, kami meneruskan acara makan dengan sup. Selesai menghirup sup, kami dihidangkan pula dengan spagetti dan dan akhir sekali minum teh berserta sedikit manisan sebagai penutup hidangan.

Saya menikmati acara berbuka puasa itu, namun, dalam masa yang sama, saya berkejar-kejaran dengan kedua-dua hero kami yang amat lasak mengusik si comel Nuriya. Bila itik dan ayam bertemu, walaupun berlainan bahasa dan bangsa, mereka masih boleh bermain bersama.


Octavia untuk Iris (Part 4)

BAB 3

CATRIONA. Kedatanganku ke rumah besar ini disambut oleh pintu gerbang yang memaparkan nama Catriona. Mungkin inilah nama rumah besar ini. Menurut kertas yang diberi oleh pelayan restoran itu kepadaku, akan ada sesi temuduga khas untuk jawatan ini. “Kalau boleh dipanggil jawatan,” bisikku sambil tersenyum sendiri. Sebelum aku datang ke sini, seperti yang kujangkakan, Syifa memprotes rancanganku ini, tetapi, aku tetap berdegil. Lagipun aku berjanji dengannya sekiranya aku berjaya, aku cuma akan menjadi penjaga rumah untuk beberapa bulan sahaja. Akhirnya dia bersetuju.

Aku tahu, aku memang keras kepala, sebab keras kepala jugalah aku tinggalkan rumahku dan nekad untuk hidup berdikari, mencari wang sendiri. Aku kini berada di hadapan pintu rumah ini. Pintu kayu yang agak besar dan bercirikan rekaan zaman Cinderella bagiku. Tapi masih ada beberapa ciri moden yang melengkapi pintu ini. Contohnya, loceng elektrik yang kini sedang ku tekan untuk memberitahu kedatanganku, dan bersebelahan dengan loceng itu ada sebuah alat seperti interkom. “ Ya, siapa?” satu suara membalas bunyi loceng yang ku tekan.

Belum sempat aku menjawab pertanyaan suara itu sebentar tadi, ada suara lain yang mencelah. Kali ini dengan slanga english yang kedengaran agak lucu. “ Oh, maaf cik, kita tak order ustazah datang rumahni. Sorry, awak silap rumah.”. Ustazah? Siapa ustazah? Spontan aku melihat diriku sendiri. Apa yang kelihatan ustazah pada diriku? Oh. Ya. Aku memakai tudung labuh tanpa sebarang fesyen. Hatiku terdetik hairan. Bagaimana dia boleh melihat diriku? Ku dongakkan kepalaku ke atas. Rupa-rupanya di atas pintu rumah ini ada sebuah kamera kecil. Patutlah suara itu tadi memanggilku ustazah. Aku bertekad untuk tidak pergi sebelum ditemuduga. Aku menekan punat kecil pada interkom di hadapanku.

Excuse me, i’m here for the interview,” aku mengingatkan suara itu dengan berbahasa English, sekadar mengikut rentak suara itu.

Wait! Did you hear that? She was speaking in English!” Agak terperanjat aku mendengar suara itu kerana ayat itu dituturkan dengan kuat dengan nada yang seolah-olah teruja. Belum sempat aku menghilangkan perasaan terperanjatku, tiba-tiba pintu di hadapanku dibuka oleh seseorang.

Come in.” Seorang wanita menjemputku masuk. Melihatkan keadaan diriku yang masih teragak-agak, wanita itu melangkah keluar dan terus menarik tanganku. Aku hanya mengikut wanita itu berjalan dengan laju sambil tanganku masih berada dalam genggamannya. Aku kini berada di dalam rumah yang besar ini.

Subhanallah... cantiknya... hanya itu yang mampu kubisikkan. Hiasan di dalam rumah ini memang serupa dengan hiasan dalaman rumah-rumah zaman Kolonial yang selalu kulihat dalam cerita-cerita ‘Mat Salleh’. Tanganku masih ditarik oleh wanita itu. Aku hanya membiarkan sahaja sehinggalah kami berhenti di satu ruangan pada rumah besar ini. Ku lihat ada seorang wanita yang agak tua yang mungkin dalam usia nenekku sedang duduk di atas sebuah sofa yang antik di sudut ruangan itu. Di tengah-tengah ruangan itu pula terdapat seorang lelaki dan wanita yang kedua-duanya kuanggarkan dalam lingkungan usia mama dan daddyku.

Mereka bertiga merenung ke arahku. Aku serba salah samada mahu memberi salam atau tidak. Akhirnya aku hanya tersenyum dan, “ good afternoon,” hanya itu yang aku mampu ucapkan. Mereka bertiga hanya mengangguk. Wanita yang lebih muda itu menyuruhku duduk. Tiba-tiba kurasakan degupan jantungku bertambah laju. Oh tidak. Betulkah apa yang aku sedang lakukan ini? Aku berjalan dengan berhati-hati menuju ke arah sofa di hadapan wanita itu. Degupan jantungku semakin laju, mereka bertiga masih memandangku.

“So, u can speak English ha?” Akhirnya wanita di hadapanku bersuara.

Yes.” Balasku pendek.

Status?” soalnya.

Sorry?” Aku bertanya semula, kurang jelas dengan soalannya.

“Kahwin ke single?”

“Oh, single,” balasku sambil tersenyum.

Pertuturannya sangat melucukan, berbahasa melayu dengan slanga English yang seolah-olah saja dibuat-buat.

“Nama?”

“Natasya Iris Octavia Albert binti Muharrami John Albert.” Matanya membulat seketika mendengar aku menyebut namaku. Tanpa menunggu soalan seterusnya daripadanya, aku menerangkan kepadanya mengapa namaku tidak berbunyi kemelayuan.

“Ayah saya punya darah Melayu, Filipina dan British, ibu saya melayu, nama saya diberikan oleh ayah saya.” Mendengar penjelasanku, matanya kembali kepada bentuk asal.

Interesting, bagus, lagipun I tak biasalah sebut nama Melayu ni.” Terasa loya tekakku mendengarnya. Aku bukan Melayu tulin, tapi aku sangat berharap agar namaku lebih berbunyi kemelayuan.

Do you know, the job scope of a house keeper?” Aku mengangguk-anggukkan kepalaku. Semuanya ada dalam notis iklan yang kuambil daripada pelayan restoran itu.

So, if we all ambil you kerja, you sanggup tinggal sini manage rumahni, cuti dua hari seminggu, but, if we need you for any special day, you’ll have to cancell your holidays. And, u have to stay here everyday, there will be a room for you. Do you agree?” Aku mengangguk-anggukkan kepalaku.

And, you will be paid RM 2500 per month? Is that agreed?” Aku mengangguk-angguk lagi. “Ok, you are hired.” Wah. Semudah itu? Ini bukan interview. Aku diterima bekerja di sini? Boleh tinggal di sini, makan di sini tanpa mengurangkan sedikitpun duit gajiku? Semudah itu?

One more, do you have any terms, conditions? We are trying to be democratic here, lagipun, kita taknak hilang house keeper yang pandai speaking macam you ni. Susah nak cari. By the way, call me Mrs. Danielle, this is my husband, Mr. Daniel and my mother in law, Madam Rosaline ” Wanita itu bersuara lagi.

Syarat apa yang perlu ku kemukakan kepadanya? Aku berfikir seketika sebelum mengemukakan syaratku. Satu-satunya syarat yang paling penting bagiku.

“Saya cuma minta kebebasan untuk beribadat, memakai pakaian yang saya mahu, menjalankan tanggungjawab saya sebagai seorang Muslimah. Tapi, Mrs Danielle jangan risau, I will never neglect my job. I’ve been trained to be a professional.” Ujarku.

Mrs. Danielle kelihatan ragu-ragu dengan syarat yang ku kenakan. Atau mungkin dia tidak pernah mendengar ‘muslim’ dan ‘ibadah’? Spekulasiku ini bukan saja dibuat-buat kerana perkara pertama yang kulihat ketika aku melangkah masuk ke dalam ruangan ini sebentar tadi ialah sebotol minuman berjenama ‘Martini’ dan dua gelas kecil yang masih berbaki dengan air daripada botol tersebut di atas meja. Ah mungkin saja botol minuman itu sahaja yang berjenama ‘Martini’, tetapi bukan isi dalamnya. Tidak baik berburuk sangka, bisik hati kecilku.

Are you sure u can do your job with that?” soal Mrs. Danielle sambil menunjukkan muncungnya ke arahku, atau lagi tepat lagi, ke arah pakaianku.

Aku memandang diriku sendiri, memang aku memakai tudung labuh dan baju kurung, tapi selama ini, pakaianku ini tidak pernah menghalang aku daripada melakukan pelbagai aktiviti. Islam tidak menyusahkan hambanya,monologku sendirian. Aku memandang Mrs. Danielle dan dengan yakin aku mengangguk,

I am positively sure.”

Mrs. Danielle mendongakkan sedikit kepalanya ke atas, seolah-olah gaya seorang yang angkuh seraya berkata, “ We’ll see about it. Still too early to judge you,” Aku hanya berdiam diri mendengar kata-katanya.

Okay, I think that’s all for now. You boleh mula kerja next week. If there’s anything you want to ask, find Margarate, the one who brought you in just now.” Sejurus selepas mengatakan perkara itu, Mrs. Danielle berdiri dan beredar sambil diikuti oleh Mr. Daniel dan Madam Rosaline.

Aku masih tidak berganjak dari sofa ini. Perasaan teruja dan terkejut menyelubungi aku. Aku kini bergelar house keeper, atau pengurus rumah untuk rumah yang sebesar dan secantik istana ini. Sudah lama aku berangan-angan untuk tinggal di rumah seperti ini. Nampaknya impianku menjadi kenyataan, walaupun bukan rumah sendiri. Aku tersenyum sendiri, pasti Syifa sedih kerana terpaksa berpisah denganku. Syifa...Alamak!

Baru aku teringat, Syifa menungguku untuk makan tengahari bersama! Aku melihat jam tanganku. Sudah pukul satu. Maafkan aku Syifa, aku tahu kau belum sarapan, pasti kau tengah lapar sekarang. Aku membayangkan Syifa sedang duduk di atas katil sambil menggigit bucu bantal. Gaya yang selalu dia tunjukkan ketika menahan lapar. Aku bingkas bangun dan beredar menuju ke pintu keluar. Kali ini tanpa Margarate sebagai pengiring. Sampai di luar pintu, aku mencari-cari kasutku di rak kasut. Hairan. Kasutku tiada di situ. Oh! Baru aku perasan. Rupa-rupanya, aku tidak menanggalkan kasut ketika masuk ke dalam rumah sebentar tadi. Aku tertanya-tanya, adakah Mrs. Danielle perasan yang aku tidak menanggalkan kasut, kerana aku pasti keempat-empat penghuni rumah ini yang baru kutemui sebentar tadi tidak memakai kasut di dalam rumah.

Bersambung lagi....

Sunday, August 7, 2011

Anak kucing pula....

Kelas pada pagi ini amat menyiksa naluri keibuan saya. Bukan kerana karenah pelajar-pelajar yang berpangkat adik kepada saya, tapi kerana seekor anak kucing. Ya. Seekor anak kucing yang ditinggalkan ibunya. Sejak kelas bermula sehingga ke akhirnya, anak kucing tersebut tidak berhenti mengiau menyebabkan saya sangat-sangat terganggu.

Saya terfikirkan anak-anakdi rumah. Kasihannya andai anak-anak di rumah lapar seperti anak kucing ini. Apatah lagi bila tiada langsung makanan untuk dijamah. Tiba-tiba, minda terarah kepada isu kebuluran di Somalia.

Bagaimanakah ibu-ibu di sana menangani keadaan di saat anak-anak kecil mereka merintih kehausan dan kelaparan sedangkan tiada langsung air atau makanan untuk mereka? Bagaimanakah pula dengan perasaan si ibu ketika memerhatikan sahaja kematian anak-anak kecil mereka akibat kebuluran dan kekurangan zat yang melampau? Allah...insafnya daku...

Somalia, tulang ikan, dan aku.

Salam...

Rakyat Somalia ramai yang mati kebuluran.
Rakyat Malaysia ada yang mati kerana terlebih makan.
Ironi bukan?

Saya bermuhasabah sendiri mengenangkan tragedi yang menimpa negara Islam itu.
Bukankah ini hikmah puasa difardhukan? Agar kita merasai penderitaan umat yang tidak bernasib baik seperti di Somalia?
Bagi kita yang terbiasa dengan jadual pemakanan yang mantap, berpuasa sehari sudah cukup untuk menyeksa kita, bayangkan, apa pula perasaan rakyat Somalia?

DI Malaysia pula, bulan Ramadhan bukan semata-mata menjadi pesta Ibadah, malahan bulan Ramadhan lebih dikenali sebagai pesta Juadah. Kita berbuka semewah-mewahnya sehinggakan kita tidak sedar pada hujungnya, banyak makanan yang masih tersisa dan akhirnya menjadi makanan tong sampah kerana manusia-manusia pelahap yang telah berpuasa sehari (pada waktu siang sahaja!) tidak mampu untuk menghabiskannya.

Saya terfikir, sekiranya sisa-sisa makanan yang dibuang diseluruh Malaysia dikumpulkan, pasti cukup untuk mengenyangkan perut rakyat Somalia yang kebuluran itu. Ironi... Ironi... Kita membazirkan makanan, rakyat Somalia menantikan makanan. SEDIH!

Pagi tadi, saya bersahur dan tercekik tulang ikan! Aduss!!! Sehingga ke saat saya menekan kekunci laptop ini, tekak masih tesa dicucuk-cucuk tulang ikan yang halus itu. Apakan daya, tulang ikan 'bertuah' itu memilih untuk melekat di tekak saya. Pada mulanya saya mengeluh dan mengeluh dan mengeluh...

Namun, akhirnya saya tersedar, andainya mulut saya ini pernah melakukan dosa, mungkin insiden tercekik tulang ikan ini merupakan kifarah dosa buat saya. Alhamdulillah... Saya cepat beristighfar, YA Allah... Syukur atas peringatan...

##### Saya cuma mahu menjadi manusia dan hamba yang mulia.

Octavia untuk Iris (Part 3)

BAB 2

Girls, ni tempat tidur korang. Rehat-rehatlah dulu. Makan malam pukul lapan tepat tau. Jangan terlajak rehat pula. Mami nak temankan papa pergi jumpa kawan jap.” Ibu Syifa yang ku panggil mami Suria menghulurkan kunci bilik kepadaku. Syifa ku lihat sudah terbaring di atas katil. Sejurus selepas mami Suria menutup pintu, aku menuju ke arah katil.

“Oit. Macam ular sawa. Dah tua tu buatlah macam dah tua.” Aku menggeleng-gelengkan kepala melihat gelagat Syifa yang keanak-anakkan berguling-guling di atas katil. Sudah seminggu aku menumpang tinggal di rumah Syifa. Alhamdulillah, keluarga Syifa tiada masalah dengan kehadiranku. Hari ini, aku bercuti bersama mereka di Cameron Highland. Semuanya ditaja oleh ibu bapa Syifa. Aku merebahkan badanku ke atas katil. Mataku merenung ke atas sambil memikirkan tentang sesuatu.

“Syifa, aku nak tanya kau ni.” Aku memulakan perbualan.

“Kau taknak cari kerja ke? Dah nak masuk tiga bulan kita ‘tanam anggur’ tau. Kau tak teringin ke nak kerja?” Aku tahu, ini adalah soalan bodoh kerana duit bagi Syifa bukan satu masalah. Lagipun, Syifa boleh berkerja dengan mami Suria di butik. Mami Suria mempunyai perniagaan butik yang maju di Kuala Lumpur.

“Aku malaslah. Aku ingat nak kerja dengan mami je, hehe. Lagipun, siapa lagi yang nak inherit bisnes mami aku tu kalau bukan aku. Adik beradik aku yang lain pun dah ada kerja masing-masing.” Aku mengangkat kening sambil menghembus nafas. Hmm... Syifa memang senang, tak perlu bersusah payah cari kerja. Tak macam aku, sudahlah menganggur, lari dari rumah pula tu. Syifa mengalihkan badannya dan meniarap menghadap aku.

“Kau nak kerja ke? Kau kerja dengan mami aku je lah ye. Tak payahlah cari kerja lain. Mami aku pun suka kat kau.” Syifa memberi cadangan kepadaku. Aku hanya menggelengkan kepala dan mengangkat bahu.

“Sampai bila aku nak menjadi parasit kat rumah kau? Apalah kau ni.” Syifa hanya tergelak mendengar rungutanku. Aku hanya diam sambil tersenyum. Dalam hati, aku nekad untuk mencari kerja. Tapi, kerja apa ya. Bukannya kelulusan aku tidak cukup hebat untuk aku mendapat kerja yang sesuai, tapi, aku mahu mencari kerja di tempat yang jauh dari hiruk pikuk kota. Mungkin di sini? Di Cameron Highland? Aku bukan nak mencari kerja tetap buat sementara waktu ni. Aku cuma mahu menyibukkan diri dengan kerja sambil menenangkan diri daripada masalah yang menganggu hidupku. Lama aku berfikir tentang perancanganku mencari kerja. Tanpa aku sedari, aku dan Syifa sama-sama tertidur keletihan. Aku cuma tersedar setelah bunyi ketukan di pintu bilik bertalu-talu kedengaran. Dalam keadaan mengantuk, aku membuka pintu bilik, mami Suria dengan mata yang terbeliak memandangku dan Syifa. “ Ya Allah...girls... what did i told you! Siap cepat, kita nak pergi makan malam ni. Tidur sampai tak ingat dunia akhirat. Dah solat belum? Belum? Ha, cepat pergi solat. Betul-betul lah korang ni, tidur sampai tak ingat dunia akhirat!” Aku hanya tergelak sambil menuju ke bilik air.

*****

“Siti, kau tahu tak siapa-siapa yang tengah cari kerja sekarang?” Aku terdengar perbualan antara salah seorang pekerja restoran tempat kami makan malam dengan seorang pelanggan. Aku memasang telinga mendengar perbualan mereka di meja pelanggan tersebut.

“Takde pula. Kenapa? Restoran kau tak cukup pekerja ke?” tanya pelanggan itu.

“Taklah, Pak Long aku suruh tanya. Rumah atas bukit tempat Pak Long aku hantar bahan-bahan dapur tiap minggu tu perlukan pekerja. Dorang nak penjaga rumah. Ala-ala macam pengurus rumah la. Rumah tu besar sebabtu perlukan penjaga rumah. Tapi tuan rumah tu agak demand sikit. Cerewet. Banyak kriteria yang dorang tetapkan untuk kerja kat sana...” Aku termenung seketika, memikirkan sesuatu di kepalaku.

“Tasya! Mengelamun mende tu? Jomlah balik, aku nak sambung tidur ni.” Konsentrasi aku diganggu oleh Syifa.

“Terkejut aku. Apalah kau ni. Kau naiklah dulu, aku nak duduk kat sini jap, nak ambik angin sikit, jap gi aku naiklah.” Aku sengaja memberi alasan hendak mengambil angin tetapi sebenarnya aku tertarik dengan perbualan pekerja restoran dengan pelanggan itu sebentar tadi. Hmmm... apa kata aku mencuba nasib. Mana tahu aku beruntung. Aku hayunkan langkah kakiku ke kaunter restoran selepas pemergian Syifa. Kulihat pekerja restoran itu sedang mencatat sesuatu. Apa salahnya mencuba?

“Err, assalamualaikum cik. Maaf mengganggu. Boleh saya ambil masa cik sikit?” Aku nekad bertanya. Pekerja itu kelihatan terkejut tapi masih sempat tersenyum.

No problem, ya, ada apa yang boleh saya bantu?” ramah dia melayanku.

“Tadi saya ada terdengar perbualan cik pasal penjaga rumah tu. Kalau tak keberatan, boleh saya tahu lebih detail tentang offer tu?”

“Oo, pasal tu... cik berminat ke?” Aku cuma menganggukkan kepalaku. Dia yang masih tersenyum memandangku mengambil sesuatu dari bawah kaunter.

“Nah, semua detail tu ada kat sini. Saya cuma taip apa yang Pak Long saya suruh.” Aku menyambut helaian kertas itu daripadanya. Tanpa melihat terlebih dahulu kertas itu, aku memandang ke arahnya.

Thanks ya.

No problem.” Balasnya mempamerkan senyuman yang masih tidak lekang dari bibirnya. Boleh dapat anugerah pekerja cemerlang, bisikku dalam hati. Aku hayunkan langkah kaki menuju ke bilikku. Tentu Syifa tidak bersetuju denganku. Tapi aku sudah nekad. Walaupun cuma penjaga rumah, tapi aku rela, asalkan boleh menyibukkan diri dan lupakan masalah aku sementara waktu.