Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi maha Penyayang.
Penulis agak gembira ketika menulis nukilan ini. Kegemberiaan ini timbul apabila membaca komen-komen daripada beberapa orang terhadap tulisan Dr Azri Zainal Abidin tentang Perhimpunan UMNO. Penulis tidak berminat sangat pada komen-komen politik tetapi ada beberapa perbualan di dalam komen tersebut yang bercerita tentang bangsa.
Seorang insan muda di dalam ruang komentar tersebut telah tersalah menyatakan “Islam didahulukan, Melayu Diutamakan”. Namun kata-kata ini diulas oleh seorang Cina yang turut menjadi pembaca ruangan Dr Asri dengan menyatakan janganlah diperjuangkan bangsa tetapi perjuangkanlah Islam. Insan muda melayu itu membalas dengan memohon maaf dan membetulkan kembali pernyataan beliau. Sungguh indah membaca komen ini apabila muda mudi kita sudah mengenepikan bangsa dan mengutamakan perjuangan agama dalam kehidupan mereka. Mereka ini adalah dari golongan muda mudi yang memperjuangkan intipati ajaran agama mereka seperti hak rakyat, hak bersama, hak bukan Islam, hak wanita, ekonomi adil, membenci kroni, tidak memandang pangkat dan darjat etc. Mereka hidup dengan falsafah agama Islam yang syumul (lengkap).
Penulis sangat gembira membaca dialog kedua insan tadi kerana tiada sifat “gila bangsa” di dalam diri mereka. Penulis pernah menukilkan beberapa kali sikap Islam dalam teori bangsa. Apa yang diperjuangkan di dalam parti politik Islam seharusnya adalah ajaran Islam yang hendak ditegakkan di muka bumi Allah. Parti politik Islam tidak boleh membicarakan soal bangsa. Keahlian seharusnya terbuka kepada sesiapa samaada Islam atau bukan Islam selagi mana mereka bersetuju dengan perjuangan Islam. Perjuangan Islam bukanlah hudud mahupun Negara Islam semata. Perjuangan Islam mahukan manusia tunduk kepada tuhan dan apa yang disuruh oleh Allah itu dimartabatkan dan diamalkan. Teori mewujudkan Negara Islam bukan matlamat tetapi hanya cara untuk mencapai matlamat iaitu mengamalkan hukum tuhan. Namun tidak dinyatakan mewujudkan Negara Islam itu tidak wajib tetapi ia tidak harus dijadikan seperti itulah satu-satunya matlamat hidup Muslim.
Penulis tidak berminat dengan parti politik di Malaysia kerana sikap “bangsa” mereka samaada UMNO, PAS maupun DAP. Penulis mencintai beberapa pemimpin parti seperti Nik Aziz, namun tidak semestinya penulis bersetuju dengan apa yang diperjuangkan secara total. Tidak bersetuju tidak bermakna penulis menafikan ketokohan ilmu serta kepimpinan Nik Aziz. UMNO adalah parti politik yang sangat bersifat “bangsa” dan tidak akan diterima penulis selagi mana sifat “bangsa” itu wujud di dalam perjuangan mereka. Pernah yang menjemput penulis tetapi penulis dengan sinis menjawab “aku bukan melayu”. Di dalam perhimpunan mereka kali ini, sifat ini masih wujud dan tidak lagi diketepikan. Mungkin mereka tidak sedar bahawa di luar, muda mudi intelek duduk semeja tanpa mengira bangsa. Adakah mereka akan berminat dengan sifat “bangsa” yang wujud di dalam satu-satu aliran politik?
Setakat ini penulis masih mencari kumpulan atau Jemaah yang dapat penulis bersama di dalam kehidupan ini bersama berjuang. Sukar untuk menyertai mereka kerana wadah dan prinsip yang tidak sama. Mungkin adalah lebih baik untuk bersama rakan-rakan yang sudi memperjuangkan sesuatu di dalam kehidupan ini. Kumpulan yang kecil dan tidak berdaftar, tetapi jika dapat memberikan sesuatu kepada masyarakat biarpun kecil tetapi penuh dengan keihklasan mencari redha Allah mungkin besar pada pandangan tuhan yang Esa. Jadi, sebelum kita menutup mata dan kembali pada tuhan mari kita tanyakan diri kita “apa yang aku dah lakukan untuk agamaku?” Sekadar nukilan pendek penulis tentang sifat bangsa dan perjuangan.
Allah itu maha mengetahui.
No comments:
Post a Comment