Search This Blog

Sunday, March 25, 2012

Muhammad yang bikin mama menangis (dan menyebabkan mama sedar mama antara manusia paling beruntung di dunia)


Salam...

Sekian banyak coretan saya berkenaan anak-anak lebih cenderung kepada kisah Muhammad. Bukan menidakkan kehadiran si adik dalam kehidupan kami, namun, kerana Muhammad yang semakin membesar itu seringkali memberikan ibrah/pengajaran kepada saya dan keluarga tanpa sedar. Mungkin kerana mulutnya yang semakin bijak bersuara, atau kerana keletahnya yang sering mencabar kesabaran saya.

Sebagai anak sulong, lelaki, memang harapan kami banyak tertumpu kepada Muhammad. Namun, tidak terlalu menekan. Biarlah dia membesar tanpa sebarang tekanan yang negatif. Itu lebih baik untuknya. Saya akui, sebagai seorang ibu, saya masih perlu belajar banyak ilmu untuk membesarkan dan mendidik anak-anak, kerana saya bukanlah yang terbaik. Kesabaran adalah kunci utama dalam membesarkan anak seusia Muhammad dan Ahmad. Dalam doa saya sepanjang hari, saya sentiasa mohon agar dikurniakan kesabaran, kebijaksanaan, dan kekuatan dalam membesarkan dan mendidik anak-anak kami. KESABARAN itu nombor satu.

Bukan mudah membesarkan anak-anak yang terlalu banyak karenah. Tapi itulah tanggungjawab terbesar seorang ibu. Malah, saya sudah bercadang untuk berhenti kerja sebaik sahaja Muhammad mencecah ke sekolah rendah, untuk memberikan pendidikan dan penjagaan terbaik buatnya dan adik-adiknya insyaallah. Moga rezeki Allah ada untuk kami sekeluarga, agar saya mampu kembali kepada fitrah seorang ibu yang sempurna... Aameen...


Pada hari Sabtu lepas, saya dan suami menghadiri Hari Perjumpaan Ibu Bapa dan Guru di sekolah Muhammad, Tadika Lestari Impiana, (Little Caliphs Programme) Bandar Baru Bangi. Bagi sesiapa yang 'follow' (perasannya diri ini, eheh ;p) entri berkenaan persekolahan Muhammad, pasti sudah sedia maklum yang pada awal detik persekolahan, Muhammad sering menangis dan ini menyukarkan saya menghantarnya ke sekolah pada setiap pagi. Namun, alhamdulillah, minggu selepas cuti semester, Muhammad kelihatan gembira ke sekolah. Saya sendiri tertanya-tanya mengapa.

Ok, berbalik kepada kisah hari Sabtu. Kedatangan kami disambut oleh teacher Faezah yang manis. Dia memulakan teka-teki kami berkenaan prestasi Muhammad dengan ucapan "Alhamdulillah, Muhammad merupakan pelajar lelaki terbaik dalam kelasnya." Saya tidak pernah memberi tekanan kepada Muhammad berkenaan pelajarannya, bagi saya, cukuplah dia cemerlang sebagai hamba Allah, dan mampu menempuhi hidup berdikari kelak. Namun, sebaris ayat itu sudah cukup menghadirkan suatu perasaan dalam hati saya sebagai seorang ibu.

teache Faezah membentangkan satu persatu laporan prestasi Muhammad yang banyak bertanda "G" GOOD. Gred tertinggi dalam laporan tersebut. Kata teacher Faezah lagi, Muhammad menunjukkan progress yang cepat dan kini akan bermula dengan buku kedua yang sepatutnya hanya akan bermula pada bulan Julai. Alhamdulillah... Dan, Muhammad juga pernah membantu teacher Faezah mengajar rakan-rakannya di hadapan kelas, yang mana tugas itu dilaksanakan dengan baik. Teacher Faezah menerangkan segala-galanya dengan wajah teruja dan segala "pembongkaran" itu menyebabkan hati saya sebak, manakala air mata hanya menunggu masa untuk tumpah.

Pada saat itu, terdetik perasaan syukur yang tidak terhingga dalam diri saya. "Ya Allah, sungguh akulah hambamu yang paling beruntung dalam dunia ini, meski beribu ujian yang Kau timpakan kepadaku, namun anugerahMu lebih banyak mengatasi segalanya. Hanya hambaMu yang sering lalai. Aku bersyukur ya Allah, kerana Kau sempat menitipkan peringatan di saat aku merasa terlalu bahagia. Bukan mudah bersyukur dalam kebahagiaan, bukan mudah mengingatiMu dalam kegembiraan. Alhamdulillah..."

*****

Malam tadi, sebelum tidur, Muhammad mengucup pipi saya kemudian mengucapkan "thank you mama". Si adik yang melihat perbuatan si abang turut mengucup pipi saya dan mengucapkan "thank you mama". Saya bertanya, "Kenapa cakap thank you?" . Jawab Muhammad, "cuba mama bagi teddy bear ni kat Muhammad, (saya lakukannya), ha, lepastu Muhammad cakaplah thank you." Muhammad menerangkan ucapannya dengan sesuatu yang simbolik, mungkin dia sendiri tidak sedar, tapi saya tahu, dia menghargai saya. Buat kesekalian kalinya, air mata seorang ibu bergenang lagi.

*Saya akhiri malam mereka dengan kucupan kasih. Mama tidak mungkin mendapat anak-anak yang terbaik melainkan kalian. Sebak bertandang lagi....

Thursday, March 22, 2012

Membimbangi iman sendiri.



















~ It's Friday... Friday... - Rebecca Black- (erk)
~ Better listen to this, ~ It's Jumu'ah - Raef cover :) (by awakening records - Youtube)

Salam...

Selamat berhari Jumaat yang mulia....

Sedikit entri ringkas untuk hari ini sempena hari Jumaat yang mulia.
Saya sebenarnya sedang menanda kertas jawapan ujian pelajar-pelajar yang mengambil subjek Company Law. Namun, bila kebosanan semakin melanda maka saya mengambil keputusan untuk berhenti seketika agar bateri diri kembali "fully charged".

Sekadar mahu berkongsi buah fikiran, memandangkan sepanjang minggu ini heboh berkenaan kes remaja yang merancang penculikan sendiri agar dapat bersama dengan buah hati mereka. Naudzubillah.... Ternyata kecanggihan fikiran mereka sukar untuk ditafsirkan.

Bukan itu sahaja, setiap kali membaca surat khabar, pasti ada sahaja berita tentang keruntuhan moral remaja/belia/warga tua (yang tak sedar kubur sudah memanggil2). Satu yang saya perasan tika membaca kisah2 sebegini, mulut beristighfar, namun hati seolah-olah hilang renjatan kejutan. Mungkin kerana kisah-kisah keruntuhan ummah ini sudah terlalu sering dijadikan bahan berita lantas menjadikan ini semua kisah biasa-biasa sahaja. Sungguh ya Allah, saya risaukan keadaan iman sendiri kerana perkara sebegini sudah terlalu sering berlaku sehinggakan perasaan gentar itu semakin menghilang.

Saya yakin, bukan saya seorang sahaja, malah mungkin seluruh rakyat Malaysia berperasaan yang sama. Kita berdecit-decit, menggeleng-gelengkan kepala, namun setakat itu sahaja. Berapa ramaikah di antara kita yang menggunakan (paling tidak pun) selemah-lemah iman, mendoakan agar keadaan ummah kembali diberkati dengan kemuliaan peribadi? Saya pasti kurang 20% daripada seluruh rakyat Malaysia yang mendoakan ummah kita. Saya sendiri, bila berdoa selepas solat lebih gemar mendoakan kebaikan diri dan keluarga sendiri.

Itu kisah tentang doa, bagaimana pula dengan aktiviti amar ma'ruf, nahi munkar. Jauh sekali kita adakan! samada dari peringkat tertinggi kepimpinan mahupun ke peringkat yang lebih rendah. Jarang sekali! Sedangkan dalam rumah sendiri pun si ayah boleh terliur melihat anak gadis suntinya berseluar pendek paras peha! Naudzubillah... Ya Allah... Selamatkan ummah ini...

Saya bimbang dengan kelemahan iman sendiri. Dan saya membimbangi, bala Allah diturunkan atas "keamanan" hati kita dengan penyakit masyarakat kini. Ya Allah.... Ya Allah... Patutlah Nabi Muhammad SAW tidak lekang dari menyebut ummati...ummati... pada saat akhir hayatnya. Saya malu mengenangkan kelemahan iman sendiri!

Wednesday, March 14, 2012

Ada cerita tentang aku dan dia...


Salam...

Pagi ini saya menyedari sesuatu. Sesuatu yang sangat menyentuh hati dan perasaan saya sebagai seorang isteri. Perkara yang disedari itu pula tidak pernah saya 'lihat' semenjak kali pertama saya memandu kereta bersendirian.

Seperti biasa, rutin harian sebelum menuju ke tempat kerja ialah bersalaman dengan suami. Dan, suami pula akan menghantar pemergian saya dengan pandangan mata. Sungguh saya tidak pernah menyedari suatu anugerah yang Allah kurniakan kepada saya sehinggalah pagi tadi. Dalam kesamaran selepas menutup pintu kereta, saya berpaling semula untuk melihat wajah suami. Sempat saya titipkan pesanan agar suami balik awal pada hari ini.

Suami tidak membalas, sebaliknya kelihatan bibirnya yang terkumat-kamit seolah-olah sedang membacakan sesuatu sambil memandang wajah saya. Saya sedar, itu merupakan bacaan doa darinya. Dan saya pasti, itu merupakan doa buat saya, semoga Allah memberikan keselamatan kepada saya sepanjang pergi dan kembali semula. Alhamdulillah.... Ini penghargaan bagi seorang isteri, ini cinta yang sempurna bagi seorang isteri, ini kasih yang sebenar bagi seorang isteri, ini syurga bahagia bagi suami isteri.

p/s : Bukan untuk mengangkat diri sendiri, jauh sekali menimbulkan rasa loya, malah berkilometer jauhnya daripada menunjuk-nunjuk, sekadar berkongsi....pernahkah anda mendoakan orang kesayangan anda? Kalau belum, lakukan sebelum terlambat. Cinta yang diredhai, ialah cinta yang halal disisi Allah. Marilah kita sama-sama mengejar baitulmuslim... semoga redha Allah sentiasa bersama kita.

Thursday, March 8, 2012

Kalau awak sempat jumpa dia (insyaallah sempat........) bisikkan dia, saya kirim salam & saya gembira dia jd student saya.


-Amer...berbaju hitam-


Salam...

Pesanan terakhir saya kepada rakan arwah Mohd Amirruddin Ahmad sebelum dia bertolak untuk menziarahi arwah di PPUM,

" kalau awak sempat jumpa dia (insyaallah sempat........) bisikkan dia, saya kirim salam n saya gembira dia jd student saya." ............. sempatkah dia menyampaikan pesanan saya.........?

Saya masih ingat, beberapa semester yang lepas, saya bertanggungjawab mengajar subjek Commercial Law kepada pelajar-pelajar section 16. Arwah merupakan antara pelajar yang sentiasa menyebabkan saya tertawa. Dia seorang pelajar yang menghormati pendidiknya.

Surat yang ditulis oleh arwah kepada saya (semua pelajar perlu menulis untuk saya pada hari terakhir kelas), saya baca sambil tersenyum, tetapi bersama genangan air mata yang ditahan-tahan....

Mdm Nurul Fatehah Ansari
Mohd Amirruddin B. Ahmad

"Seronok, itu adalah perkataan pertama yang terpancar dalam mulut dan fikiran saya semenjak pertama kali saya belajar dalam kelas commercial law. Memang sebelum ini saya seronok dalam kelas tetapi kelas miss adalah yang terbaik.

Miss, saya merindui cara pembelajaran yang begitu efektif walaupun kadang2 saya mengantok dan sempat lagi tidur tapi saya seronok sangat. Tak terkata.

Akhir kata dari saya, semoga Miss dan keluarga sihat walafiat, semoga Miss bertambah ayu dan comel sentiasa.

*Jangan lupa pakai jam pink :) hahaha...
-mmm...
-best....


Amir



Pemergianmu ditangisi...
Alhamdulillah Ya Allah, kau permudahkan urusannya...
Buat pelajar/sahabat2 Amir sekalian.... Dia pergi, namun tetap kekal di hati kita... Untungnya beliau, mempunyai sahabat2 yang mencintainya, menyayanginya, tetap bersamanya sehingga hembusan nafas terakhir....


~Telah ditakdirkan kau pergi dulu...Kau sahabatku kau teman sejati....- Hijaz-