Search This Blog

Monday, October 22, 2012

Aishah Zinnirah Sowell... ( completing our collection)

Salam, 

Alhamdulillah, sudah 7 hari berlalu sejak kelahiran istimewa anak dara (????) kami, Aishah Zinnirah Sowell. Syukur dan segala puji bagi Allah yang memudahkan dan mengizinkan segala-galanya berlaku. 

Saya memang tidak mengetahui jantina anak ketiga ini sehinggalah pada hari dia mula melihat dunia pada 15/10/2012 jam 9:15 pagi.

Sehari sebelum kelahirannya, kami sekeluarga sempat makan bersama-sama di Secret Recipe Bandar Baru Bangi untuk meraikan hari lahir anak sulung kami, Muhammad Idris Sowell. Segala-galanya berjalan seperti biasa sehinggalah pada pukul 4 pagi hari berikutnya, saya mengalami kontraksi selang 7 minit. Suami bergegas menghantar saya ke hospital Serdang. 

Kuasa Allah, walaupun dalam ketidakcukupan staff, dan labour room yang penuh, alhamdulillah, saya tidak "diambulankan" ke hospital lain. Dalam kesakitan, tanpa ruang/ katil khas untuk saya, saya bersyukur kerana masih mampu mengerjakan solat Subuh, meski hanya di atas kerusi dan dihadapan saya sibuk dengan aktiviti jururawat dan doktor yang berjalan tidak berhenti-henti. Syukur.... sekurang-kurangnya pada saat-saat genting, Allah tetap bersama saya/saya tetap mencari Allah ( bukan mau bangga, tapi mengingatkan ramai ibu yang menunggu seperti saya tidak melaksanakan kewajipan itu, saya terpanggil untuk mengingatkan diri sendiri dan sesiapa sahaja yang membaca entri ini ) 

Sepanjang menunggu saat-saat bersalin, suami setia berdiri disisi saya sambil tidak putus-putus mengingatkan saya agar berzikir. Ketika berada di puncak kontraksi, Allah sahaja yang tahu derita menahan sakit, sehinggakan saya mengatakan dalam hati, saya tidak sanggup untuk bersalin lagi. Alhamdulillah, pada 915 pagi, Aishah lahir ke dunia diiringi ucapan alhamdulillah yang tidak putus-putus dari mulut saya (sakit gile kot!) Tidak sabar-sabar saya bertanya kepada suami akan jantina anak. "girl..." Kata suami dengan senyuman. Sekali lagi ungkapan suci Alhamdulillah saya tuturkan...

Ketika berada di dalam wad, suami bertanya, " nak bubuh apa nama baby?" saya meberitahu, AISHAH ZINNIRAH  sebagai nama pilihan. (sejak zaman Matrikulasi, memang bercita-cita untuk menamakan anak dengan nama Zinnirah :) ) alhamdulillah... akhirnya tercapai.

Ketika pemeriksaan rutin, setiap doktor, dan jururawat yangmemeriksa pasti bertanya, " Puan dah fikirkan macam mana cara nak merancang keluarga selepas ini?"  Sampaikan saya naik "fed up" dengan pertanyaan tersebut. Mahu saja saya membalas dengan jawapan " Jangan risau.... lepas habis pantang je, saya terus pasang implan, saya pun nak rehat lama sikit sebelum tambah anak, sebab alhamdulillah... Allah dah beri saya complete collection!"


Tuesday, October 9, 2012

Raksasa.... penyekat imaginasi kanak-kanak. (Bad monster! Bad monster!)

Salam...

Tinggal lagi 2 minggu sebelum tarikh jangkaan saya bersalin. Alhamdulillah, setakat ini semuanya berjalan seperti yang diharapkan. Tugasan-tugasan di tempat kerja pun hampir siap 100%. Moga Allah beri kesempatan kepada saya untuk menyelesaikan segala tugasan selengkap-lengkapnya. Bukan apa, takut menyusahkan orang lain kalau mereka terpaksa mengambil alih tugasan yang sepatutnya saya buat.

Merujuk kepada tajuk yang agak agak 'catchy' di atas, (ecewah!). Ini adalah entri spontan yang saya tujukan khas buat orang-orang dewasa yang tidak betah melihat kanak-kanak berimaginasi kreatif di rumah. Pasti ada yang biasa mendengar jeritan-jeritan seperti ini.....

"Abang! Janganlah sepah-sepah mainan... penat mama nak kemas!"

atau...

"Adik... jangan main surat khabar tu, nanti bersepah!"

atau,

"Muhammad janganlah main bantal tu, bantal guna untuk tidur je....!"

atau,

"Anak-anak! Jangan main lompat-lompat, duduk diamlah!"

dan pelbagai lagi jenis larangan berpaksikan "jangan" yang sentiasa berbunyi saban waktu.

Tidak dinafikan, ada kalanya patut kita menyekat anak-anak daripada melakukan sesetengah perkara, tapi, jangan terlalu menyekat sehinggakan potensi imaginasi kreatif mereka turut dihadkan. Kita tiada hak menyekat kebebasan mereka berimaginasi, sebabnya jelas, kanak-kanak diciptakan dengan fitrah ingin tahu. Mereka belajar melalui sifat ingin tahu tersebut. 

..............................................(bunyi cengkerik)...................................................................

Sudah lama tidak menulis blog, rasanya patut saya akhiri di sini saja, kalau tak, bunyinya akan jadi seperti berleter. Kesimpulannya (masih ada kesimpulan), kanak-kanak yang lebih bebas meneroka, mempunyai zaman kanak-kanak yang lebih menggembirakan dan sihat, berbanding kanak-kanak yang tersekat dengan larangan "raksasa penyekat imaginasi" mereka. 

Wednesday, July 25, 2012

UJIAN PERTAMA RAMADHAN

Salam Ramadhan...

 Alhamdulillah... Allah masih memberi peluang kepada kita untuk bernafas pada bulan yang penuh barakah ini.

Sudah dua musim saya menjalani Ramadhan dalam keadaan mengandung, dan kini saya menjalani musim ketiga. Alhamdulillah, kesihatan itu kekal diberikan oleh Allah kepada saya untuk mengharungi Ramadhan, meski keletihan 2x ganda daripada biasa, meski pitam itu sering berlaku, meski kadar gula dalam darah berada pada tahap hampir kritikal. Itu adalah ujian-ujian kecil yang syukur saya tempuhi kerana saya mahukan Ramadhan yang bermakna untuk diri saya, juga si kecil di dalam kandungan saya.

Namun, satu ujian yang benar-benar menguji, walaupun hanya ujian biasa berlaku beberapa hari lepas apabila wang buku pelajar-pelajar saya hilang entah ke mana. Kisahnya bermula apabila wakil yang ditugaskan mengutip duit buku hanya menyelitkan duit2 tersebut di bawah pintu bilik saya. Wallahu a'lam... entah ke mana hilangnya duit tersebut. Kalau nak dituduh kehilangan itu berlaku di dalam bilik pejabat saya, tiada sesiapa yang berada di dalam bilik saya ketika duit tersebut diselitkan. Bertambah-tambah pelik lagi, kenapa hanya duit yang berjumlah 160 RM itu yang hilang, sedangkan duit officemate lain yang bersepah di dalam bilik tidak hilang. Malah ada rakan yang hanya meletakkan duit buku pelajar2nya di atas mejanya sahaja, dan tetap selamat.

Kami mengeluarkan beberapa konklusi, salah satunya ialah pelajar itu menipu dan telah mengambil duit tersebut... a.k.a mencuri. Tapi, takdak bukti la pulak... Maka solusinya, terpaksalah saya menggantikan duit tersebut, walaupun pelajar tersebut sudah berjanji untuk menggantikan wang tersebut. Tapi, bagaimana kalau betul dia tidak mencuri? 

RM160, cukup banyak untuk membeli beg tangan jenama BONIA di SOGO. Cukup untuk membeli pampers anak untuk 3 bulan. Memang berat hati untuk 'melepaskan' RM160 begitu sahaja tanpa sebarang pulangan kepada diri sendiri. Hmmm...

Tapi, saya mendapat satu pengajaran yang cukup berharga selepas berbuka puasa dengan suami semalam. Kata suami... 

"Kalau betul duit tu dah hilang, ganti je lah... Kita tak tau pun budak tu menipu ke tak... Anggap je lah awak bersedekah kat sesapa, ada juga pahalanya.... Ingat, bulan puasa ni bukan diuji dari segi kelaparan je, tapi dari segala aspek... Awak redha je lah dengan duit RM160 tu. Anggaplah bukan rezeki awak... Kita kalau redha, semuanya jadi mudah untuk dilepaskan." *** Ok, perenggan kedua sampai akhirtu bukan daripada suami saya, tapi monolog dalaman saya yang berfikiran positif di sebalik kata-kata suami di perenggan pertama :)

Kesimpulannya... Kalau Allah kata tu rezeki kita, takdak sapa bulih halang kita daripada menikmatinya. Kalau Allah kata tu bukan rezeki kita, buatlah macam manapun, kita tetap takkan dapat menikmatinya. Kita usaha, Allah tentukan :) Maka bersaksilah, dengan ini, aku redha!

Sunday, July 8, 2012

Try again mama! Try again!

Salam...

Saya masih kebuntuan idea untuk menyiapkan satu topik bagi buku motivasi kerjasama saya dan Mokcik Maisurah( hehe). Ada satu topik yang berkaitan dengan sikap tidak mudah berputus asa. Saya mengambil contoh kisah Thomas Edison sebagai tokoh yang terkenal dengan sikap tidak berputus asa beliau dalam hal penciptaannya. Namun baru beberapa baris karangan saya, idea saya tiba-tiba menjadi tumpul. Asasnya sudah ada, namun kebuntuan lebih mengatasi segala-galanya. Lalu saya berputus asa seketika, sekaligus mengkhianati falsafah "never give up" yang mahu saya nukilkan. 

Untuk beberapa ketika, saya mebiarkan kanvas microsoft word dalam folder + vs - kosong kerana malas untuk terus berjuang. Namun, pada pagi ini, saya mendapat ibrah terhebat daripada tubuh si kecil saya. Muhammad Idris Sowell meminta saya agar menyelesaikan puzzles kecil berwarna warni yang baru dibeli agar membentuk sebiji bola. Saya berputus asa pada percubaan kedua. Ternyata bukan mudah! 

Saya: Mama tak retilah Muhammad... nanti Muhammad bawa balik rumah kejap lagi, suruh Acik buatkan la..

Muhammad : Takpe mama, cubalah lagi, cuba lagi...

Saya : Tapi susah ni.. mama tak reti, betul... (memang sangat fed up dan putus asa)

Muhammad : Takpe, mama cubalah sampai beribu-ribu kali, nanti mama berjayalah...

Dek kerana tidak mahu menghampakan harapan si anak, saya memaksa diri untuk mencuba. Dan akhirnya... EUREKA! saya berjaya pada percubaan ke tujuh! Muhammad bersorak untuk saya.
"Kan Muhammad dah kata, mama boleh buat..." 

Saya tersenyum mendengarnya. Ternyata bukan mudah mengaplikasikan teori dalam situasi sebenar. Saya bersyukur kerana perkara sekecil itu memberikan pengajaran terbesar buat saya. Saya yang sering melaungkan never give up kepada pelajar saya yang selalu berputus asa tidak mampu mempraktikkan "never give up' itu dalam perkara sekecil pagi tadi? What a shame... Lagi memalukan kerana saya memilih topik itu untuk dikupas di dalam buku motivasi saya.... (Pada ketika ini, terbayang wajah Prof. Dr. Hunod. Pensyarah Land Law saya yang berasal dari Sudan menuturkan perkataan "SHHHAAAAME ON YOU" dalam gerak perlahan kepada saya).

*** Alhamdulillah... Pengajaran pagi Isnin yang bermakna.
*** Orang yang berputus asa boleh bangkit kembali, lebih baik kalau ada orang yang menyokong dan memberikan semangat.

*** teringatkan Ahmad, bila ditanya kenapa tidur sekejap sangat, jawabnya, sebab mama tak gosok belakang adik sebelum adik tido... ~ saje-saje, takde kaitan pun. 

SHHHAAAME ON MEEE......

Thursday, July 5, 2012

Minda Lucah Pelajar yang Mengundang AMOK Sang Madam.

" Apa kamu ingat kamu ni remaja selama-lamanya. Dah tak perlu membesar? Tak perlu berkahwin? Tak perlu memimpin rumahtangga? Tak perlu mengimamkan anak-anak dan isteri? Satu masa nanti, kamu rasa kamu layak ke memarahi anak-anak kamu kalau mereka berbual perkara berunsur lucah dengan kawan-kawan mereka? Kamu rasa kamu layak ke menegur mereka kalau kamu sendiri berperangai seperti itu pada hari ini?!!!

Saya tertanya-tanya bagaimana kamu belajar dengan keadaan otak dan hati kamu yang penuh dengan kelucahan macam harini. Ilmu itu cahaya... dan cahaya tidak akan masuk ke dalam hati yang hitam dengan maksiat! Kalaulah kalian sedar rintihan UMMATI... UMMATI... yang Rasulullah sebut sebelum kematian baginda itu merujuk kepada umat akhir zaman, kita, tentu kamu semua merasa malu dengan diri sendiri!"

Semalam kelas Motivation and Personal Development kelolaan saya berakhir dengan bebelan panjang tentang hari Qiyamah.

Semuanya kerana sikap pelajar-pelajar lelaki di dalam kelas yang keterlaluan melucahkan setiap apa yang dibentangkan oleh rakan-rakan mereka dihadapan. Pada mulanya, saya masih bersikap tenang, cuba menghadapi keadaan tersebut dengan berhemah, masih bercakap dengan gaya berlapik. Namun, keadaan masih berterusan, dan akhirnya saya melepaskan bebelan saya kepada mereka dengan topik motivasi paling sempurna. MATI dan YAUMULQIAMAH.

Saya sedar, remaja berusia 17 tahun ini semuanya  masih dalam tahap "excited" untuk meneroka alam dewasa. Berkenaan seksualiti, siapa yang tidak tertanya-tertanya? Siapa yang tidak teruja? Tetapi, janganlah sampai pembentangan tentang pendidikan seks, gejala buang bayi, remaja rosak akhlak, semuanya dilucahkan. Saya merasa kegerunan yang melampau. Inikah generasi yang bakal memimpin negara kita kelak? Adakah hanya golongan Melayu Islam yang kronik dengan penyakit ini? Naudzubillahimindzalik....

Kerisauan saya berasas, kerana, topik aktiviti pada hari itu ialah, "Cipta satu permasalahan, dan cari jalan bagaimana untuk memotivasikan individu dalam permasalahan tersebut." Oleh sebab, kelas ini mementingkan "CREATIVE and CRITICAL THINKING" , sudah tentu saya menjangkakan permasalahan yang pelbagai. Namun, rata-rata masalah yang dibentangkan ialah berkenaan kerosakan moral remaja yang menjurus kepada akibat seks luar nikah. Apa dah takde masalah lain ke???? Saya berfikir sambil menyaksikan pembentangan mereka. Agaknya, terlalu banyak kes seumpama itu yang dipaparkan kepada masyarakat samada melalui media cetak / media elektronik sehinggakan pelajar-pelajar di hadapan saya sudah terlalu biasa dan mahir menganalisa masalah ini. 

... saya kebuntuan idea untuk menulis. Masih kecewa....

Sunday, June 17, 2012

Hari Ulang Tahun Perkahwinan ke-7

Alhamdulillah.... jalinan yang halal ini masih dipelihara sehingga kini.
Syukur, sudah 7 tahun menjengah kehidupan rumahtangga kami. Walaupun belum cukup lama, tapi, cukup sarat dengan segala bahagia yang menenangkan hati. Dikurniakan dengan dua orang anak yang cukup sempurna segala-galanya, dan bakal menimang cahaya mata ketiga pada bulan 10 ini... apa lagi yang tidak cukup??? 

Pesanan saya kepada anak-anak muda diluar sana, pilihlah yang halal bagi kalian, moga hidup dengan yang halal ini dipenuhi dengan rahmah dan kasih sayang Allah. :)

Friday, June 8, 2012

Bermula semula...

Salam...

Sudah terlalu lama saya membiarkan laman ini kosong dan bersawang. Lantas, pada hari ini saya bertekad untuk mencoretkan serba sedikit entri untuk blog bersawang ini. Sekadar pemanasan agar saya tidak lupa bahawa kewujudan blog ini bukan untuk dipupuskan, tapi untuk tatapan anakanda-anakanda saya pada masa akan datang.

Alhamdulillah, Allah masih beri peluang kepada kita semua untuk bernafas di muka bumiNya ini. Syukur... Dan alhamdulillah... Allah telah menghadirkan satu lagi nyawa dalam rahim saya untuk dilahirkan sebagai khalifahNya kelak, insyaallah...

Semoga setiap ketetapan Allah memberikan sejuta rahmat buat kita semua. 

Pada semester hadapan, minggu hadapan, saya akan memulakan sesi pengajaran dengan satu subjek baru yang asing, namun, tidak asing (?????). Asing, kerana subjek itu bukan bidang saya. Tidak asing, dalam masa yang sama kerana bidang motivasi itu tidak lari jauh daripada darah saya. Mungkin ada sebabnya Allah menggerakkan hati KJ saya untuk menugaskan saya mengambil alih subjek ini. Mungkin... 

Saya masih 'nervous' untuk menghadapi cabaran mengajar pelajar pra perdagangan, sem 1, dengan subjek baru yang saya masih tiada pengalaman. Tapi saya positif, insyaallah... sepanjang semester hadapan, saya akan mempunyai banyak kisah baru, pengalaman baru untuk dikongsikan bersama pembaca di sini. Insyaallah...

Tunggu... :)