Search This Blog

Thursday, September 29, 2011

Octavia untuk Iris (Part 7) ...maaf atas 'keterlewatan' itu.....

BAB 6

Subuh yang damai. Aku masih bersimpuh di atas sejadah. Perasaan bersalah masih menggigit jiwa. Nasib baik balang yang ku gunakan cuma balang plastik, kalau tak, aku pun tidak sanggup membayangkan apa yang akan berlaku kepada Mr. Smith. Aku bersiap memakai baju yang lebih sopan. Blaus labuh ke lutut kupadankan dengan skirt labuh dan tudung berbentuk tiga segi labuh yang kusilangkan pada kedua-dua bahuku. Aku memilih sarung kaki yang agak tebal disebabkan cuaca di atas puncak bukit yang agak luar biasa sejuknya pada awal pagi. Aku memilih selendang yang tebal menggantikan baju tebal untuk menahan kesejukkan. Aku bersyukur kerana aku dilahirkan dalam keluarga yang agak berada serta mempunyai seorang mama yang amat mementingkan imej. Pakaian-pakaianku tidak ada yang masuk dalam kategori selekeh ataupun seperti yang selalu mama sebutkan, “ tidak setaraf dengan status ekonomi kita”. Mama suka mengajarku tentang fesyen. Kata mama, bertudung labuh dan menutup aurat tidak menghalang seorang muslimah daripada berfesyen. Mungkin sebab itu juga aku di lihat sebagai seorang yang mempunyai citarasa fesyen yang baik oleh Madam dan Mrs. Danielle.

Aku tahu hari masih terlalu awal, penghuni-penghuni rumah ini pun belum bangun, kecuali Margarate dan beberapa orang gaji yang bertugas untuk membersihkan rumah. Margarate sedang menyediakan sarapan pagi di dapur. Ada seorang lagi pembantu yang membantu Margarate di dapur, Habibah namanya. Aku menuju ke arah bilik bacaan yang berada di tingkat bawah. Aku menyelesaikan segala tugasanku di bilik bacaan ini. Antara tugasku selain daripada menguruskan rumah ini dan memastikan segala kelengkapan yang diperlukan di rumah ini tersedia, aku perlu merekodkan dan memperuntukkan perbelanjaan yang sesuai untuk setiap urusan yang diperlukan untuk penghuni-penghuni rumah ini. Walaupun hari ini merupakan hari Ahad dan aku tidak perlu bekerja pada hari ini, tapi, ada beberapa rekod yang perlu ku kemas kinikan.

Terlalu banyak kekeliruan dalam rekod-rekod yang disediakan oleh bekas pengurus rumah ini. Ada juga beberapa rekod perbelanjaan yang tidak ada. Bukan sehari dua, tetapi rekod perbelanjaan untuk beberapa minggu. Semuanya dalam masa setahun sebelum aku mula bertugas di sini.

“Hmm...” Aku mengeluh, menguruskan rekod perbelanjaan sebuah rumah seperti menguruskan rekod perbelanjaan sebuah syarikat kecil. Cukup memeningkan dan menyusahkan bagi aku yang tidak mempunyai ijazah dalam bidang ekonomi. Aku merehatkan mataku sebentar. Mataku melilau melihat sekeliling bilik bacaan ini. mataku tertarik pada satu ruang kosong di dinding di antara dua rak buku yang mempamerkan sebuah potret keluarga hitam putih. Kelihatan seorang kanak-kanak lelaki yang berusia dalam lingkungan enam tahun sedang duduk di pangkuan seorang wanita berwajah Asia. Di sebelah wanita itu, duduk seorang lelaki berwajah Eropah. Hmm, mungkin kanak-kanak lelaki itu Mr. Smith ketika kecil. Di belakang mereka berdiri seorang wanita, juga berwajah Asia, tersenyum dengan senyuman yang manis.

“Macam kenal...” bisikku perlahan, kuamati dengan lebih dekat wajah wanita yang ceria itu.

“Eh, ini Syerry.” Sungguh, aku tidak tersilap pandang, wajah Syerry di dalam potret itu amat berbeza dengan wajah Syerry sekarang. Wajah di dalam potret itu lebih hidup dan cantik. Tapi, apa kaitan Syerry dengan keluarga Mr. Smith? Menyebut nama Mr. Smith, tiba-tiba aku teringat akan sesuatu. Ya! Aku perlu meminta maaf dengan Mr. Smith! Tapi, bagaimana caranya untuk aku meminta maaf? Sekeping kad? Hmm... mungkin boleh. Tanpa berlengah lagi, aku menuju ke meja tulis. Ada beberapa keping kertas berwarna di dalam laci meja tersebut. Sekeping kertas berwarna dijadikan kad sebagai tanda meminta maaf pun okay.

Aku memilih sekeping kertas berwarna merah yang ku potong saiznya menjadi lebih kecil, kulekatkan sekeping kertas berwarna kuning yang bersaiz lebih kecil di atas kertas merah itu. tiba-tiba aku terasa bodoh. Tergelak sendirian di dalam hati. Selalunya, hanya budak perempuan yang akan melakukan kerja seperti ini, dan penerimanya juga merupakan perempuan. Kalau ada penerima lelaki pun, si lelaki itu adalah orang yang istimewa bagi si pembuat kad itu. Mahukah Mr. Smith menerima kerja bodohku yang ikhlas ini? Biarlah, samada dia terima atau tidak, belakang cerita, yang penting, dia tahu aku ikhlas meminta maaf daripadanya.

I’m sorry...

Sincerely,

Natasya.

Ringkas ucapan maafku kerana aku tidak tahu apa lagi yang perlu kutuliskan. Aku bergegas ke dapur. Tentu Margarate sudah siap menyediakan sarapan pagi. Cuaca di luar sudah beransur-ansur cerah. Mr. Smith pasti turun untuk bersarapan sebentar lagi. Margarate sedang menyusun sarapan untuk Mr. Smith di atas sebuah dulang. Aku tahu itu sarapan untuk Mr. Smith kerana terdapat sepotong kek labu dia atas piring pada dulang tersebut.

“Ya, Natasya, kamu sudah mahu makan? Wait ya, nanti saya siapkan.” Margarate begitu menghormati aku sebagai pekerja yang berpangkat lebih tinggi daripadanya. Mungkin di kedutaan Indonesia dahulu memang begitu protokolnya. Cuma sekali dia pernah memarahiku, itupun dengan nada marah seorang ibu. Dan sekali itu merupakan malam tadi ketika aku memukul Mr. Smith.

Aku menggelengkan kepala. “Takpe, nanti saya ambil sendiri sarapan saya. Err... Margarate, saya nak minta tolong boleh?” Teragak-agak aku menuturkan permintaanku itu.

“Mr. Smith ya?” Pandai Margarate meneka.

“A’ah” aku mengangguk.

“Tolong selitkan kad ni pada dulang sarapan Mr. Smith boleh?” Aku menghulurkan kad buatanku tadi kepada Margarate yang sedang mengelap tangannya. Margarate menyambut huluran kad ku itu.

“Okay,” balasnya sambil tersenyum.

“Err...Margarate, kalau saya bagi bunga ros sekali, okay tak?” Buat kali keduanya otakku berjaya menghasilkan idea bodoh.

Good idea, Mr. Smith suka bunga.” Oh. Nampaknya idea ini tidaklah sebodoh idea memberi kad berwarna warni tadi. Aku menuju ke taman bunga yang terletak di tepi sebelah kiri Catriona. Pak Rahim sedang menaburkan baja ke beberapa jenis bunga di situ. Pak Rahim memang menyukai kerjanya sebagai tukang kebun rumah ini, sebab itulah dia akan datang ke sini setiap hari walaupun dia sepatutnya tidak bekerja pada hujung minggu. Taman bunga ini dilengkapi dengan sistem sprinkler, oleh itu, Pak Rahim tidak perlu menyiram bunga-bunga di taman ini sendiri. Aku meminta jasa baik Pak Rahim untuk memotongkan aku sekuntum bunga ros putih. Putih melambangkan keikhlasan. Mungkin. Harap-harap Mr. Smith betul-betul menghargai keikhlasanku meminta maaf.

*****

Wednesday, September 28, 2011

Tiada subjek yang spesifik.

Salam...

Sudah lama tidak update blog. Rasa serba salah pula. Entahla, macam-macam idea ada dalam otak, tapi tak semua mampu diterjemahkan ke dalam bentuk tulisan. Kadang-kadang hanya sempat dicelotehkan ke dalam minda sendiri sahaja.

Saya tiada subjek yang spesifik mahu dikongsikan pada hari ini, sekadar menulis untuk memberitahu dunia bahawa insan bernama Nurul Fatehah ini masih wujud. (hehe).

Minta maaf pada sesiapa yang rajin membaca tulisan saya (perasan). dan yang tertunggu-tunggu sambungan kisah Iris. Saya terlalu sibuk. Ada masa tapi entah kenapa, selalu sahaja memilih untuk mentiadakan masa itu. Teruk................................. Ahh..manusia punya kelemahan.....

Tuesday, September 6, 2011

Apa masalah perkasa dan penggerak Melayu? (From Zauji)

Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi maha Penyayang.

Pada Sabtu yang lepas penulis terbaca satu nukilan di dalam Utusan yang ditulis oleh pergerakan “Bangsa Melayu” berkenaan Marina Mahathir. Di dalam nukilan itu penulis tersebut telah mengkritik Marina Mahathir sebagai orang yang lupa bangsa dan agama serta mempunyai propaganda tersendiri. Kritikan tersebut dibuat ikutan daripada nukilan Marina Mahathir di dalam The Star di mana Marina Mahathir mengkritik kerajaan yang menyamakan BERSIH dengan huru-hara di England baru-baru ini. Awal bulan yang lepas beberapa orang disenaraikan sebagai sesat dan pengganas oleh beberapa penggerak ulama dan bangsa Melayu. Di antara orang yang di label pengganas adalah Prof Madya Dr Asri dan Mufti Perlis Dr Junanda Jaya. Baru-baru ini Tuan Guru Nik Aziz dikatakan pembelot agama apabila menyokong tindakan kerajaan Pulau Pinang melarang laungan zikir atau bacaan Al-Qur’an di speaker masjid sebelum subuh.

Penulis ingin bertanya kepada penggerak-penggerak Melayu ini, apakah hasil yang mereka peroleh daripada tindakan mereka mencari isu untuk mencemuh dan melabelkan insan-insan di atas dengan pelbagai gelaran? Apakah yang mereka inginkan daripada cemuhan mereka? Penulis tidak mahu membicarakan mengenai pandangan yang dikeluarkan oleh insan-insan di atas seperti Marina mahupun Dr Asri. Apa yang penulis ingin nukilkan adalah sikap kita apabila berhadapan dengan pendapat yang berbeda dengan pendapat kita sendiri.

Imam Al-Syafie’ pernah berkata bahawa “pendapatku benar dan boleh juga salah. Pendapat orang lain salah dan boleh juga benar”. Seorang tokoh yang besar ini tidak pernah mencemuh atau memberi gelaran kesat kepada mereka yang bercanggah pendapat dengan beliau. Malah beliau selalu mengajar agar kita menyedari bahawa di dalam memberi pandangan ada kala kita akan silap dan orang lain itu benar. Imam Malik, guru kepada Imam Syafie’ juga mengajar bahawa kata-kata setiap manusia itu diteliti pendapatnya dan bisa ditolak melainkan kata daripada Nabi Muhammad yang tidak boleh ditolak.

Daripada tunjuk ajar di atas, kita harus menghormati pandangan insan lain walaupun ia bercanggah dengan pendapat kita sendiri. Jika pandangan insan lain itu kita rasakan salah, maka kita berhujah dengan mereka dalam suasana yang terbaik tanpa sebarang cemuhan. Ini tidak. Penggerak-penggerak bangsa Melayu seperti PERKASA tidak pernah berhujah dengan baik mematahkan hujah-hujah mereka di atas. Sebaliknya sibuk mencemuh di dada Utusan dengan perkataan kasar seperti pengkhianat bangsa, pencemar agama atau pengganas. Jika kita tidak mampu untuk berhujah kerana ceteknya ilmu di dada, maka lebih baik diam. Jangan sibuk hendak berkata tetapi kata-kata yang keluar hanya membangkitkan rasa benci orang lain kepada kita.

Kepada pembaca di luar sana, satu nasihat penulis adalah jangan kita suka mencemuh atau mengata. Jika hendak berhujah biar dengan ilmu dan bukan dengan pemberian gelaran kasar. Banyak blog dan laman web pergerakan yang sibuk mencemuh pihak lawan dengan gelaran yang pelbagai. Tidak kira kamu di pihak mana atau dalam pergerakan mana, tiada lesen di dalam Islam yang membenarkan kamu mencemuh atau menghina mana-mana insan. Jika salah insan itu maka kita berhujah dengan mereka dengan perkataan yang terbaik dan jika tidak diterima hujah kita, maka kita serahkan kepada Allah.

Jangan hanya pandai berjubah berserban

Tetapi mulut penuh dengan celaan

Octavia untuk Iris (Part 6)

BAB 5

Jam sudah menunjukan pukul satu pagi, tetapi mataku masih belum menunjukkan tanda-tanda mengantuk. Entah mengapa aku terlalu merindui mama. Entah apa yang mama sedang lakukan sekarang. Sudah lama aku tidak berbual-bual dengan mama. Sejak kedatanganku ke sini, aku hanya berutus email dengan mama memandangkan talian telefon tidak begitu memuaskan di puncak bukit ini. Tapi aku lebih senang begini. Sekurang-kurangnya, dengan keadaan begini, daddy tidak mungkin dapat menghubungiku.

Aku melontarkan pandanganku jauh keluar tingkap. Tidak ku nafikan, pemandangan di Cameron Highland memang indah walaupun pada waktu malam. Dari jauh kelihatan lampu-lampu yang menerangi kawasan peranginan serta penempatan yang terdekat. Di atas langit pula, kelihatan jutaan bintang-bintang menghiasi angkasa malam. Udara yang segar pada malam yang indah seperti ini mengundang perasaan romantik dalam diriku. Wow, aku sedang bersastera nampaknya. Aku tersenyum sendirian mendengar monolog dalam diriku. Hmm...what do you think Miss Natasya, a cup of hot chocolate for this romantic night? Okay.

Bilikku terletak di tingkat atas, di hujung sekali. Untuk ke dapur, aku perlu melintasi bilik Syerry yang terletak berhampiran dengan tangga. Seperti biasa bilik Syerry tidak ditutup sepenuhnya, ada sedikit cahaya yang menerangi bilik Syerry. Dari celah-celah pintu bilik Syerry, aku dapat melihat Syerry yang sedang tidur di atas katilnya. Inilah satu-satunya waktu dimana aku dapat melihat melihat Syerry seperti insan lain yang sihat. Tidurnya tidak sedikitpun menunjukkan yang dia tidak sesempurna manusia lain.

Kedudukkan dapur rumah ini agak jauh, hmm, rumah besar pun menyusahkan juga walaupun cantik. Hendak ke satu-satu tempat pun memakan tenaga dan masa. Akhirnya setelah puas merungut-rungut di dalam hati, aku tiba di dapur. Akhirnya... Tetapi, disebabkan dapur ini merupakan kawasan Margarate, aku lupa untuk bertanyakan di manakah suis lampu dapur ini. Setelah penat berpusing-pusing mencari suis lampu, akhirnya aku memutuskan untuk berpandukan lampu peti sejuk dan lampu yang dipasang di luar rumah.

Oh. Satu masalah lagi! Mana agaknya Margarate letakkan balang serbuk minuman cokelat? Itulah kau Tasya, tau nak makan je! Aku meraba-meraba mencari balang cokelat di kabinet dapur. Walau apapun, aku tetap tidak mahu mengalah! Tasya boleh! Sedang aku sibuk membuka setiap balang yang kucapai dan menghidu bau isi balang-balang itu, aku terdengar bunyi tapak kaki menuju ke arah dapur. Margarate agaknya, thank God. Tak perlulah aku bergelap di dalam dapur. Tapi, bunyi tapak kaki itu bukan seperti yang biasa kedengaran di dalam rumah. Seperti bunyi tapak kaki orang yang memakai kasut. Aku mula berasa curiga. Entah-entah...pencuri! Tapi, macam mana pencuri boleh masuk ke rumah ini? Setahu aku, rumah ini ada sistem alarm. Perasaan curiga aku dikuatkan lagi apabila aku mendengar suara orang lelaki sedang batuk dan berdehem. Pak Rahim tak mungkin masuk ke rumah ini pada waktu begini.

Bunyi tapak kaki itu semakin hampir. Aku panik. Aku memegang erat balang yang berada dalam genggaman tanganku. Okay, Tasya, relaks, kau tunggu di pintu masuk dapur, bila pencuri tu masuk, tuangkan isi balang yang yang kau pegang ni ke kepala pencuri tu, lepastu, kau pukul kepala pencuri tu dengan balang yang kau pegang ni. Lepastu kau lari ke ruang tamu dan tekan suis alarm. Jaiman tentu ada kat pondok pengawal, tentu dia dengar. Aku menarik nafas dalam-dalam dan menunggu kedatangan pencuri itu di pintu masuk dapur. Harap-harap plan aku berjaya.

Bunyi tapak kaki itu semakin hampir, aku mengemaskan peganganku pada balang di tanganku. Satu...dua... shrashhh! Aku berjaya mencurahkan isi balang itu, tepat ke wajah pencuri itu. Sempatku mendengar dia bersuara, “what the...Hey! Stop it. Ouch! Ouch!” Aku tidak berfikir panjang, kepala pencuri itu terus menjadi mangsa balang yang kupegang.

Mungkin disebabkan ketukkanku yang bertalu-talu, dia terundur ke belakang. Kedengaran bunyi beberapa benda jatuh. “ Tolong! Tolong!” Aku menjerit meminta tolong. Aku hairan, pencuri itu tidak sedikit pun cuba untuk melarikan diri. Tiba-tiba suis lampu dapur dipetik. “ My God! Tasya! Stop it!” Margarate menjerit sambil berlari ke arahku yang masih terus memukul kepala pencuri itu. “ Tasya! Stop!” Margarate cuba untuk meleraikan pukulanku yang belum berhenti. “ Yeah! Tasya! Nasya! Or whoever you are! Stop it. Ouch!” kedengaran suara pencuri itu pula menyuruh aku berhenti.

Akhirnya setelah berusaha bersungguh-sungguh Margarate berjaya merampas balang itu dari tanganku. “ Are you crazy! Ini Mr. Smith! Stop it!” Jerkahan Margarate itu berjaya membuatkan aku berhenti. “ Mr. Smith, are you ok?” Margarate bertanya kepada Mr. Smith yang sedang terduduk di atas lantai dapur sambil menyapu serbuk dari balang yang ku curahkan ke atasnya. “ Tasya, kamu crazy? You did this to him?” Ada segaris reaksi bimbang, marah dan terkejut pada wajah Margarate ketika dia menuturkan kata-kata itu. Mr. Smith bangun daripada lantai dapur sambil menyapu sisa-sisa serbuk pada bajunya. “ It’s ok, I’m fine. I’m going to bed. Nothing serious. We’ll talk tomorrow morning.” We’ll talk tomorrow morning? Apa maksud Mr. Smith? Adakah aku bakal dipecat? “Margarate, if you don’t mind, please, i need ice and a cup of tea. Thanks. I will be in my room.” Serius suara Mr. Smith mengarahkan Margarate menyediakan ais dan secawan teh untuknya. Aku masih tercegat di situ tanpa sebarang tindak balas. Aku teragak-agak. Mahu meminta maaf, tetapi Mr. Smith sudah meninggalkan dapur.

“Tasya! Kamu gila? Kenapa pukul Mr. Smith?” Suara Margarate mengejutkan aku. Aku mengalihkan pandanganku ke arah Margarate. Aku masih membisu dengan seribu satu perasaan serba salah dalam diriku.

“Err... saya tak tahu dia Mr. Smith. Saya ingatkan dia pencuri...” Margarate hanya menggeleng-gelengkan kepala mendengar penjelasanku. Tangannya pantas membancuh secawan teh untuk Mr. Smith.

“Kamu lupa? Siang tadi kan saya bagitahu kamu malam ini Mr. Smith mahu datang. Kamu mesti minta maaf daripada dia besok.” Margarate menoleh ke arahku ketika menuturkan kata-kata itu. Aku mengangguk-angguk laju, sebagai bukti bahawa aku akan meminta maaf kepada Mr. Smith esok pagi dengan sesungguh hati. Margarate mengambil beberapa ketul ais di dalam peti sejuk dan mengisikan ais-ais itu ke dalam plastik. Mungkin mahu meredakan kesakitan di kepala Mr. Smith akibat serangan gilaku sebentar tadi.

“Err... Margarate. Boleh tolong tunjukkan saya di mana balang serbuk cokelat? Saya cari tadi tak jumpa. Thanks” Aku masih mahukan secawan cokelat panas, walaupun setelah insiden yang berlaku tadi. Margarate yang sudah berada di pintu dapur menoleh ke arahku seraya berkata, “ itu balang yang kamu guna untuk pukul pencuri itu tadi, itulah balang serbuk cokelat. Serbuknya ada di lantai kalau kamu masih mahu minum cokelat,” sinis bunyinya, tapi aku tahu Margarate geram denganku.

“ Oh, okay... nanti saya bersihkan. Er... umm... I’m so sorry Margarate, maaf...” Ikhlas huluran maaf daripadaku. “ Tak apa. Saya boleh minta Bibah bersihkan esok pagi. You just go to sleep.” Ada segaris senyuman ketika Margarate menuturkan kata-kata itu, dan aku tahu, dia ikhlas dengan senyuman itu. Aku beredar menuju ke bilikku sejurus selepas Margarate melangkah menuju ke bilik Mr. Smith.

*** masih belum diedit. Ada juga beberapa kesalahan tatabahasa. :)

Monday, August 22, 2011

Saya yang difikirkan antagonis ini


Saya bukan watak antagonis.

Setidak tidaknya itu yang saya fikirkan tentang diri saya pada ketika ini. Saya bermasalah dengan jawatan pihak atasan. Tak kisahlah walau di organisasi mana pun saya berada. Saya akui, saya kadang-kadang bersuara agak lantang dalam memetik satu-satu isu. Dan saya akui, darah Gen Y saya ini terkadang melampaui batas. Namun alhamdulillah, saya masih pada landasan yang betul. Darah saya bukan masih muda, tapi sedang muda

MASIH selalu digunakan dalam perkataan ......dia MASIH muda...dia taktau apa-apa...
SEDANG boleh digunakan untuk perkataan...pisang itu sedang muda...walau masih belum boleh dimakan begitu sahaja, namun boleh dibuat kerepek dan dijual. Harga kerepek sekilo lebih mahal daripada harga setandan pisang masak.

You see what I mean? Analoginya, ya, kita yang muda-muda ini tidak suka mengikut arus, macam pisang yang hanya menunggu nasib dirinya untuk masak dan dimakan begitu sahaja. Kita yang muda-muda ni lebih banyak menjadi kerepek, sebab kita lebih suka menongkah arus.

Saya tidak nafikan, orang yang berjawatan tinggi itu, (dan tua) banyak jasanya kepada sesuatu organisasi, banyak pengalamannya. Namun,
manusia diuji dengan kuasa. Ya, manusia diuji dengan kuasa.Kadang-kadang, bila manusia itu terlalu lama berada di atas, dia sukar untuk memandang ke bawah semula. Kadang-kadang dia hanya rasa diri dia yang betul. Kadang-kadang bila sukar hendak memandang ke bawah semula, manusia pasti akan tersilap.

Saya terkilan bila dalam beberapa keadaan, saya menjadi antagonis dalam sesebuah organisasi hanya kerana kelantangan saya (yang tidaklah berapa lantangpun….). Saya akui, mungkin silap saya kerana terlalu “menyerlah tak kena tempat/ keadaan/ audience”. Mungkin juga cara saya tidak sesuai. Mungkin. Tapi, itulah cabaran bagi seorang ketua, bila si ketua itu mendapat seorang anak buah seperti saya yang suka mendesak sistem, yang suka menyuarakan apa yang saya rasakan betul, walaupun sinis, kerana, saya percaya, pada yang sinis itu (kerana beberapa cara bersopan sentiasa melambatkan tindakan) akan mempercepatkan tindakan. Cabaran apa? Cabaran untuk mengawal anak buah dengan cara yang professional dan educated.

SEBAB, saya tak cukup professional dan educated, maklumlah pisang muda….. oleh itu, tolonglah mengawal saya dengan cara yang professional dan educated, bukan dengan cara yang cukup menunjukkan bahawa anda sudah tua dan sudah hampir usia menopous (lelaki/perempuan) dan anda sangat suka sensitive pada ketika ini.

Ingat, sesebuah organisasi itu tidak akan berjaya tanpa watak antagonis seperti saya ini. Kerajaan Malaysia tidak akan sentiasa bergerak ke hadapan tanpa desakan pembangkang, walau macam mana pun caranya, lembut atau antagonis. Kalau tiada orang mendesak, kita sentiasa akan rasa selamat, tidak mahu melakukan pembaharuan. Kini saya faham, kenapa Ayahanda Tertinggi segala organisasi saya bersikap antagonis, kerana sikap orang-orang berjawatan atas yang SESETENGAHNYA tidak bertindak tanpa diketuk terlebih dahulu.

P/s: Kalaulah ada orang atas yang terasa (andai dia membacanya), saya tak kisah, memang niat nak bagi terasa pun. Ingat, orang atas tak akan berguna kalau tak suka terima teguran orang bawah, Sejarah Khalifah Umar sendiri menyaksikan seorang sahabat bangun menghunus pedang sebagai symbol teguran seandainya Umar terpesong dari landasan sebenar seorang pemimpin!!!



Daripada seorang samurai yang sedang marah.

Sunday, August 21, 2011

Octavia untuk Iris (Part 5)

BAB 4

“Natasya!” Aku tersentak apabila mendengar namaku dipanggil. Agak lama juga aku berdiri di hadapan tingkap mahligai Catriona ini mengelamun mengimbas kembali saat pertama aku menjejakkan kaki ke rumah ini.

“Ya Madam. Sekejap.” Balasku lembut tapi jelas.

Aku bergegas menuju ke ruang hadapan. Madam Rosaline berserta anak dan menantunya sedang bersiap-siap hendak keluar. Masing-masing sedang menjinjing beg pakaian yang besar.

“Natasya, kami semua nak keluar negeri. Seminggu. Mungkin dua minggu. Mungkin lebih. Jaga rumah, dan ingat apa yang I suruh you buat. Bunga-bunga tu susun ikut nama yang I dah bagi dalam list tu. Faham?” Madam Rosaline bercakap tanpa memandangku.

“Ya Madam. Faham” Balasku sambil tersenyum, walaupun kutahu senyumanku tidak sampai ke mata mereka. Tapi, bunga-bunga tu semua wujud ke kat Malaysia? Sejak akhir-akhir ini, kesemua majikanku semakin kerap berbahasa Melayu. Lebih-lebih lagi ketika mereka sedang bercakap denganku. Mungkin juga kerana aku menggunakan bahasa Melayu ketika berkomunikasi dengan mereka. Cuma kadang-kadang sahaja aku berbahasa English bercampur Melayu, iaitu pada waktu Margarate ada bersama-sama denganku menerima arahan daripada majikan-majikan kami. Margarate faham bahasa Melayu kerana dia sudah lama berkhidmat dengan majikan-majikan kami. Selalunya dia akan menggunakan bahasa English bercampur bahasa Melayu untuk berkomunikasi dengan kami semua.

“Err. Madam, boleh saya tahu, Madam sekeluarga nak ke mana? Bukan apa, kalau nanti kawan-kawan Madam datang, senang saya nak bagitahu diorang.” Madam Rosaline berhenti mengira beg-beg yang berada di ruang tengah mahligai ini. Ibu jari dan jari telunjuknya bermain di dagunya yang agak berlapis sambil matanya merenung entah ke mana.

Well... Untuk minggu ni, Paris. But, minggu depan, maybe London, hmm...Australia pun macam ok. U just tell siapa-siapa yang cari we all, kami ke Paris. Jangan bagitahu selain itu ok, kalau Jojie tahu we are going to London, susah. Nanti dia suruh singgah Harrods beli macam-macam untuk dia. I bukan cop duit. U know Jojie, Natasya? She never bayar balik apa-apa yang I belikan. Macam I cakap tadi. I bukan cop duit. I memang kaya tapi duit tu untuk I buat apa I nak habiskan duit I yang penat-penat I dapat.” Wau. Madam Rosaline. Berleter? Aku hanya tersenyum mendengar rungutan Madam. Geli hati mendengar setiap bait ayat yang dia ucapkan dalam bahasa Melayu tetapi dengan slanga English yang amat melucukan.

Sayup-sayup kedengaran suara Mr. Daniel menyuruh pemandu keluarga ini yang dipanggil Judin untuk memasukkan semua beg mereka ke dalam bonet kereta jenis Mercedez Benz.

We should change the colour. Macam dah buruk. Malu orang lain tengok.” Suara Mrs.Danielle pula kedengaran. Kukira dia sedang bercakap tentang warna kereta Mercedez Benz itu.

Can we just change the car? Tukar kereta lagi senang. I dah bosanlah naik Merce ni.” Kali ini Mrs. Danielle mencadangkan agar mereka menukar kereta pula. Tiada balasan yang kudengar daripada Mr. Daniel.

Tidak lama kemudian, kedengaran bunyi keempat-empat pintu kereta ditutup berserta bunyi enjin kereta dihidupkan.

“Natasya!” Suara Madam memanggilku. Aku hanya menjengukkan kepalaku keluar daripada tingkap Catriona ini.

“Ya Madam!”

“ Ingat pesanan I. Jangan bagitahu Jojie kita ke London. Jaga rumah. Bye...” Madam melambaikan tangannya kepadaku. Aku membalas lambaian Madam.

Setelah pasti yang mereka sudah berada jauh dari mahligai Catriona, aku melangkah masuk ke ruang tamu. Duduk di atas sofa, menggelengkan kepala sambil tersenyum. Tak ku sangka majikan-majikanku selucu ini. Masing-Masing dengan karenah yang pelbagai. Aku memejamkan mataku seketika sambil kepalaku menyandar ke sofa. Aduh...letihnya. sejak awal pagi tadi aku ‘didera’ oleh Madam dan Mrs. Danielle. Masing-masing sibuk meminta pendapat aku tentang pakaian yang patut mereka pakai pada hari ini dan baju-baju yang perlu mereka bawa melancong untuk beberapa minggu ini. “ Dia ada taste yang baik untuk fesyen modern.” Ujar Mrs. Danielle apabila ditanya oleh Madam mengapa dia memanggilku seawal subuh ke biliknya. Hasilnya, selama hampir tiga jam aku didera oleh mereka berdua. Selang lima minit aku terpaksa berkejar ke bilik Madam dan Mrs. Danielle yang jarak antara keduanya ialah selang empat buah bilik yang salah satunya dihuni oleh Syerry. Lebih-lebih lagi Madam. Dia langsung tidak memberi peluang kepadaku untuk berada lama di dalam bilik Mrs. Danielle. Ketika berkejaran itu, sempat juga aku melirikkan mataku sekejap melihat keadaan Syerry di dalam biliknya. Tidak sukar bagiku untuk mengintai keadaannya memandangkan pintu biliknya yang sentiasa terbuka luas. Seperti hari-hari sebelumnya, Syerry hanya memandang jauh ke luar tingkap tanpa ada arah yang tertentu. Entah apa yang berada dalam fikiran Syerry ketika itu. Ingatan tentang Syerry membuatkan aku membuka mataku yang terpejam. Selama aku menjejakkan kaki ke rumah ini, belum pernah sekalipun aku melawat Syerry di biliknya. Hidupku disibukkan oleh karenah majikan-majikanku yang pelbagai.

Tanpa ragu-ragu, aku mengatur langkah menuju ke tingkat atas. Ke bilik Syerry. Entah kenapa aku agak teruja dengan rancangan melawat Syerry di biliknya. Pintu bilik Syerry yang terbuka sedikit berkeriut apabila aku cuba untuk membukanya dengan lebih luas. Seperti biasa, Syerry tidak memperdulikan keadaan sekelilingnya. Dia masih terus memandang ke luar tingkap. Aku berjalan perlahan-lahan menghampirinya. Wajahnya kelihatan pucat, rambutnya tidak terurus.

“Err, Syerry, hai,” aku memulakan perbualan dengan teragak-agak, walaupun sebenarnya aku tahu yang Syerry tidak akan memberi sebarang respon terhadap keramahanku. Tapi, tidak salah mencuba kan? Manalah tahu keramahanku boleh membawa keajaiban. Cheh perasan! Aku duduk melutut di hadapan Syerry sambil memegang kedua-dua belah tangannya yang berada di atas pehanya.

“Hai Syerry. Saya Tasya. Pekerja baru kat sini. Tapi, taklah baru sangat. Dah dua bulan. Sorry, sebelumni saya takde kesempatan berkenalan dengan Syerry.” Aku memandang tepat ke matanya ketika melafazkan kata-kata itu. Tiada sebarang reaksi. Aku tahu, mungkin sampai bila-bila pun Syerry tidak akan membalas setiap perbualan yang ditujukan kepadanya. Tapi, entah mengapa, aku merasakan satu ketenangan berbual-bual dengan Syerry. Walaupun tanpa sebarang reaksi daripadanya. Mungkin kerana wajahnya yang jernih menghadirkan ketenangan itu. Mataku meliar melihat keadaan biliknya. Suram, walaupun kemas dan bersih. Keadaan biliknya sama seperti Syerry, tiada sebarang keceriaan dan kelihatan tidak ‘bernyawa’.

“Kasihan Syerry. Syerry asyik terperap duduk di dalam bilikni, Syerry nak keluar tak? Saya boleh bawakan. Kita jalan-jalan kat luar ye? Syerry suka tengok pemandangan kat luar kan?” Entah apa yang membuatkan idea untuk membawa Syerry keluar daripada rumah ini datang ke fikiranku. Lantaklah. Lagipun, sepanjang dua bulan aku berada di sini, belum pernah sekali pun aku lihat Syerry keluar dari rumah ini. Mujur Syerry tidak duduk membatu apabila aku cuba mengangkat sedikit bahunya untuk membuatkannya berdiri.

“Kita keluar ye?” Ujarku lembut sambil memimpinnya keluar bilik. Syerry menuruti setiap langkahku sambil dipimpin olehku.

Margarate sedang berbual-bual dengan Pak Rahim, tukang kebun, di halaman Catriona ketika kami tiba di situ. Ku lihat sedikit riak terkejut pada wajah Margarate dan Pak Rahim apabila kami menghampiri mereka. Mungkin terkejut kerana belum pernah ada sesiapapun yang berani membawa Syerry keluar dari tempat ‘pertapaannya’ itu. Syerry ku dudukkan di atas bangku kayu berukiran antik yang terletak berhampiran dengan pintu masuk Catriona.

“Pak Rahim, Margarate, sembang apa tu? Rancak nampak.” Aku memulakan pertanyaan untuk menghilangkan riak terkejut pada wajah mereka berdua.

“Oh, Margarate ni ha, tanya pakcik ada ke tak labu masak kat kebun belakang nu.” Seperti baru tersedar dari mimpi, Pak Rahim menjawab pertanyaanku.

“Labu masak? Awak nak masak labu ke Margarate? Tak pernah pun saya nampak awak masak Labu? Mengidam ye?” Usik ku sambil mencuit bahunya.

“Bukanlah, itu, oh, I forgot to tell you, Mr. Smith mau balik ini malam, selalu ujung-ujung bulan tanggal 25hb Mr. Smith balik. Dia selalu suruh masak kek labu.” Margarate menjawab dengan bahasa Melayu yang agak baik.

Sebelum berkhidmat dengan keluarga ini, Margarate pernah berkhidmat di kedutaan Indonesia di England, mungkin sebab itu bahasa Melayu yang dia gunakan ada sedikit bunyi Melayu Indonesia. Aku kagum dengan Margarate sebenarnya, dia berbangsa Filipina, tapi otaknya cerdas menguasai bahasa-bahasa lain. Nampaknya aku bakal bertemu dengan Mr. Smith, agaknya bagaimana wajah majikanku yang ini, mungkin bermata biru, berambut perang, tinggi, berkulit cerah kemerah-merahan, dan bercakap dalam bahasa ‘London’.

Menurut Margarate, Mr. Smith merupakan Mat Salleh asli. Hairan aku, macam mana pula Mat Salleh asli boleh tersesat masuk dalam keluarga Mat Salleh celup ini? Adakah dia secerewet majikan-majikanku yang lain? Hmm...Semoga dia tidak menyusahkan hidupku yang baru hendak selesa dengan pemergian Madam anak beranak ke luar negara.

Tiba-tiba Syerry berdiri, dan masuk ke dalam rumah. Eh, pandai pula dia masuk ke rumah sendiri tanpa disuruh. Aku meninggalkan Pak Rahim dan Margarate di luar Catriona dan bergegas masuk ke dalam rumah menuruti langkah Syerry. Mana pula dia nak pergi? Syerry menuju ke arah dapur dan terus duduk di meja kecil yang terletak di ruang memasak. Aku menggaru-garu kepala.

“Syerry nak apa ya?” Aku kebingungan melihat kelakuan Syerry. Kedengaran bunyi tapak kaki bergegas ke arah kami di dapur. Rupa-rupanya Margarate.

My God! I forgot! Ini masa untuk Syerry makan.” Margarate menyediakan makanan Syerry dengan cekap dan pantas.

Aku hanya melihat sahaja Margarate menyediakan makanan Syerry. Aku kagum dengan Syerry, walaupun aku difahamkan bahawa Syerry mengalami kerosakan otak, tapi ada sesetengah perkara yang dia masih boleh lakukan sendiri. Kadang-kadang aku hairan, betulkah Syerry mengalami kerosakan otak? Margarate menyuapkan bubur ke dalam mulut Syerry. Mata Syerry hanya melihat keluar tingkap seperti selalu.

“Selalu bila Nani tidak ada, Syerry turun ke bawah kalau lapar.” Margarate menerangkan kepadaku sambil tangannya setia menyuap makanan ke mulut Syerry. Aku tidak perasan perkara ini sebelum ini. Mungkin kerana terlalu sibuk menguruskan kehidupan majikan-majikanku. Aku tersenyum. Tahu pula Syerry ni minta makan bila lapar.