Search This Blog

Wednesday, December 1, 2010

Kerja Dalam Islam....di manakah kita?


Tuesday, 30 November 2010 8:16:18
Kerja di dalam Islam
...
From:
OC
...
View Contact
To:abby ; Khairunisa Ahmad Affandi ; aiman ; amar_bohari@um.edu.my; Nurul Fatehah Ansari ; aqilah ; megat armia ... more

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi maha Penyayang.
Jawatan
Ketika Umar Abdul Aziz dilantik menjadi pemimpin (leader) kepada empayar Islam, beliau dengan penuh kerendahan diri berkata "aku bukanlah yang terbaik dikalangan kamu tetapi aku dilantik untuk menguruskan urusan Ummah". Tidak sebutir perkataan angkuh dan bongkak muncul daripada bibir seorang khalifah Islam itu tetapi sejarah membuktikan biarpun beliau hanya memerintah selama 3 tahun lebih sahaja, negara Islam begitu makmur dan keadilan tertegak dengan penuh. Sebelum beliau dilantik, beliau tidak pernah mengimpikan jawatan tersebut, malah sejarah tidak mengenali beliau kerana beliau bukan seorang yang sibuk mengampu untuk mendapatkan jawatan khalifah tersebut. Benarlah kata Allah bahawa yang menetapkan siapa akan menjawat satu-satu jawatan ialah Allah dan Allah menaikkan sesiapa yang Dia kehendaki (Al-An'am:165).
Kita sungguh berbeza dengan khalifah Islam ini. Apabila kita mendapat jawatan, kita angkuh berkata "jawatan ini aku peroleh kerana usahaku". Tidak wujud pada perkataan kita perasaan takut pada Allah akan siksaNya pada sesiapa yang tidak menyempurnakan amanah yang diletakkan pada jawatan yang tinggi. Jika dahulu, orang Islam takut untuk mencari jawatan melainkan jika keperluan mendesak atau diberikan jawatan itu, kita dizaman ini terhegeh-hegeh mencari jawatan. Maka akan kelihatan insan-insan seperti kita memuji diri dihadapan ketua demi hanya untuk meraih pangkat dan status. Ketika pemilihan di antara Ali dan Uthman untuk menjadi khalifah, ditanya setiap seorang akan jawatan itu. Maka Uthman dan Ali akan mengatakan bahawa orang lagi satu yang lebih baik. Uthman mengatakan Ali lebih baik dan Ali mengatakan Uthman lebih baik. Mulia sungguh hati para sahabat yang dididik dengan tarbiyyah Islam oleh Rasulullah. Mereka tidak terhegeh kepada jawatan kerana mereka tahu bahawa dengan adanya jawatan itu, maka makin besar tanggungjawab mereka dan mereka tahu kecuaian pada tanggungjawab itu akan menghumban mereka ke dalam api neraka Allah.
Bekerja
Jika dahulu, para sahabat bekerja keras membangunkan negara Islam, mereka lakukan kerana ingin melihat da'wah Islam dari segenap sudut membangun. Kerja mereka lakukan bersungguh-sungguh kerana itu merupakan tanggungjawab mereka. Jika mereka bekerja selain untuk ummah, mereka lakukan untuk menjalankan tanggungjawab kepada keluarga demi mencari makanan dan keperluan yang halal.
Inilah falsafah kerja Islam iaitu berusaha untuk memenuhi tanggungjawab. Berbeda dengan falsafah di zaman kita di mana kita bekerja keras untuk mencari nama, status, kekayaan dan untuk diiktiraf. Di dalam ceramah motivasi atau leadership masa kini kita akan mendengar pelbagai teori hanya semata-mata untuk meraih lebih banyak harta, lebih tinggi status dan untuk lebih diiktiraf. Di dalam Islam, seseorang itu disuruh bekerja keras bukan bertujuan untuk mengumpul harta maupun memperoleh status, tetapi untuk melaksanakan tanggungjawab yang diberikan Allah kepada kita dengan sesempurna yang mungkin. Samaada tanggungjawab untuk keluarga atau untuk ummah atau untuk syarikat kita bekerja semuanya adalah tanggungjawab yang wajib disempurnakan dengan sebaik mungkin. Jika dalam usaha tersebut kita memperoleh harta yang lebih atau diberikan status jawatan, maka itu kelebihan diberikan Allah, tetapi bukan satu tujuan. Berkata Sheikh Dr Yusuf Qaradhawi di dalam buku beliau Dauru Al-Qiyam wa Al-Akhlaq fi Al-Iqtisad Al-Islami:

“Islam tidak pernah meremehkan unsur kebendaan dan perananya dalam memakmurkan bumi, mamajukan tamadun manusia, merealisasikan kehidupan yang baik bagi manusia serta membantu mereka dalam menunaikan kewajipan kepada Tuhan yang telah menciptakan dan menyempurnakan manusia serta menjadikannya sebagai khalifah di muka bumi. Namun sentiasa ditegaskan dan diingatkan bahawa meskipun kehidupan ekonomi yang baik merupakan salah satu tujuan Islam yang didambakan, namun ia bukanlah matlamat yang akhir. Sebaliknya ia hanyalah sarana atau alat untuk mencapai matlamat yang lebih besar dan lebih jauh.”

Hak Allah dan Hak Manusia

Di dalam usaha kita mencari rahmat Allah di dunia, Islam meletakkan garis panduan yang jelas bahawa tidak boleh menyebabkan kita lupa kepada Allah dan hak-hak manusia lain ke atas kita. Tidak boleh kerana kerja kita lalai untuk solat. Tanyalah kepada diri kita berapa kali kita ke masjid untuk berjemaah. Sekali seminggu? Atau Sebulan sekali? Atau setahun dua kali? Bukankah jemaah pada solat itu satu tuntutan hingga Rasulullah sepertimana riwayat Bukhari dan Muslim pernah berkata bahawa jika boleh baginda akan membakar rumah-rumah mereka yang tidak datang solat berjemaah. Jika kita bekerja sehingga lewat malam, sabtu dan ahad, manakala di tempat kerja kita hanya solat bersendirian, bilakah kita berjemaah? Dan bila masakah kita ke masjid meraikan rumah Allah?

Selain hak Allah, insan lain juga mempunyai hak ke atas kita. Ayah dan Ibu mempunyai hak ke atas kita. Tidak boleh kita dahulukan kerja dan tugas hingga mengenepikan ibu bapa kita. Jika jihad perang dijalan Allah merupakan pekerjaan yang paling penting dan mulia masih berada selepas berbakti kepada ayah ibu, apatah lagi kerja di pejabat. Jika ibu bapa tiba melawat pada hari cuti dan dikala itu kita mempunyai tugas hendaklah kita memohon izin daripada ibu bapa kita. Jika mereka redha teruskanlah tugasan kita tetapi jika mereka tidak redha dan mahukan kita menemani mereka, wajib dalam Islam kita menyerahkan tugasan itu kepada orang lain. Ibu bapa hanya boleh diketepikan apabila tugasan kita adalah tugasan ummah seperti berjihad ketikamana musuh menyerang negara Islam atau keperluan ummah yang penting seperti negara kekurangan askar atau doktor. Jika pemerintah memanggil mengisi keperluan tentera dan doktor ini dan tugasan adalah 7 hari seminggu, maka ibu bapa boleh diketepikan untuk mendahului tugasan ummah. Itu pun hendaklah berkata yang baik kepada ibu bapa kita dan bukan pergi berjihad tanpa penjelasan baik kepada ibu bapa. Tetapi jika hanya tugasan syarikat atau badan organisasi biasa, jika ibu bapa memerlukan perkhidmatan kita, wajib ibu bapa itu didahulukan.

Tanggungjawab

Bagi si isteri, kerja adalah mubah atau harus dan bukan satu kewajipan. Kewajipan isteri selepas kepada Allah dan Rasul adalah pada pendidikan anak-anak sepertimana yang dinyatakan Rasulullah dalam hadith riwayat Bukhari dan Muslim bahawasanya setiap insan mempunyai tanggungan dan akan ditanya kelak oleh Allah akan tanggungannya itu dan wanita tanggungan mereka adalah urusan rumah suami dan anak-anak. Ini adalah tanggungjawab utama bagi wanita. Sheikh Dr Abdul Karim Zaidan dalam buku al-mufassal fi al-ahkam al-marraah wa baitu al-muslim fi syari'ah menyatakan bahawa adalah dibolehkan wanita itu bekerja tetapi jika pekerjaan itu melalaikan wanita itu daripada tugas yang wajib iaitu didikan anak-anak dan urusan rumah maka pekerjaan itu boleh menjadi haram kerana ia menghalang wanita itu daripada tugasan yang diamanahkan Allah. Oleh itu hendaklah wanita Muslim mencari pekerjaan yang bersesuaian dengan mereka yang membolehkan mereka membahagikan masa dengan baik.

Bagi lelaki, tanggungjawab mereka lebih besar. Bekerja mencari rizeki adalah wajib dan menjaga pendidikan anak-anak, isteri dan menjaga urusan rumah juga menjadi wajib. Tidak boleh ditinggalkan. Jika wanita wajib hanya pada didikan anak-anak dan urusan rumah, bagi lelaki semua itu termasuk didikan isteri dan mencari nafkah adalah wajib. Jika suami itu hanya fokus kepada kerja di luar dan mengabaikan urusan rumah tangga maka dia telah culas dan cuai pada amanah Allah. Dosa yang ditanggung adalah besar kerana mengabaikan urusan di rumah. Mereka tidak boleh meninggalkan pekerjaan tetapi mereka tidak boleh megabaikan urusan di rumah. Maka hendaklah lelaki itu berhemah dalam membahagikan masa untuk urusan-urusan ini.

Inilah falsafah Islam dalam pekerjaan. Dalam masa kita dianjurkan berusaha dengan keras, kita dididik bekerja kerana untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab bukan untuk meraih jawatan atau mencari nama. Dalam kita disuruh mencari rizeki Allah, kita diwajibkan tidak melupakan hak-hak lain iaitu hak Allah dan hak manusia lain ke atas kita. Inilah ajaran Islam.

Allah itu maha mengetahui.

No comments:

Post a Comment