Syerry sedang duduk di kerusi bersebelahan dengan tingkap biliknya ketika aku tiba di muka pintu biliknya. Seperti biasa, Syerry masih setia merenung keluar tingkap. Nani, jururawat peribadi Syerry baru selesai menyuapkan sarapan ke mulut Syerry.
“ Assalamualaikum, boleh saya masuk?” aku meminta keizinan Nani untuk masuk ke bilik Syerry.
“ Eh, kak Tasya, masuklah. Saya baru je siap bagi Syerry makan.” Nani memberikan keizinan kepadaku.
“Terima kasih,” aku berterima kasih kepadanya dan terus menuju ke arah Syerry.
“Hai Syerry, awak sihat harini?” Nani tersenyum melihat aku cuba berbual-bual dengan Syerry. “Akak ni, macamlah Syerry faham,” katanya sambil tergelak kecil. Nani hanya muda setahun daripadaku. Baru berusia 24 tahun tetapi lebih selesa memanggilku kakak.
“Takpe, mungkin dia faham, cuma kita yang tak tahu dia faham ke tak.” Aku membalas gurauan Nani dengan senyuman.
“Boleh tak saya bawa Syerry keluar jalan-jalan kat luar jap. Udara pagi ni segar, baik untuk kesihatan.” Sekali lagi aku bercadang untuk membawa Syerry keluar daripada rumah ini.
“Boleh, tapi tunggu jap ye, Nani bagi Syerry ubat jap.” Nani yang begitu peramah dan ceria, membuatkan aku selesa berbual dengannya. Aku menunggu Nani menyuapkan ubat ke mulut Syerry dan memakaikan Syerry baju yang lebih tebal.
“Jom Syerry,” Syerry berdiri setelah aku mengangkat bahunya sedikit. Aku membawa Syerry menuju ke luar. Semasa menuruni anak tangga tadi, Mr. Smith masih belum berganjak dari tempatnya bersarapan tadi. Aku berpura-pura tidak melihat Mr. Smith, rasa bersalah masih menghantui diriku. Tapi aku pasti yang aku ada terlihat Mr. Smith menoleh dan merenung ke arahku dan Syerry ketika kami menuruni anak tangga sehingga kami keluar dari Catriona. Aku membawa Syerry ke tasik buatan yang juga boleh dilihat dari bilik Syerry.
Mungkin inilah pemandangan yang Syerry sering lihat setiap hari. Ku dudukkan Syerry di atas sebuah bangku batu yang terletak di atas jambatan melengkung itu. Syerry hanya menurut sahaja apa yang ku lakukan terhadapnya.
“Cantik tempat ni. Patutlah Syerry suka tengok pemandangan tasik ni kan? Saya baru pertama kali datang ke tasik ni. Syerry pun baru pertama kali ke? Wah, nampaknya ini kali pertama kita berdua datang sini. Nanti, tahun depan, pada tarikh yang sama, kita buat ulang tahun pertama kita datang ke sini bersama-sama ye?” Aku berbual-bual dengan Syerry seperti yang biasa ku lakukan. Terdetik di hatiku, adakah Mr. Smith masih merenung kami berdua seperti tadi? Aku memberanikan diri menoleh ke arah tingkap pada sudut separa bujur itu. Tersirap darahku! Mr. Smith sedang berdiri dan merenung aku dan Syerry! Adakah aku sedang melakukan satu lagi kesalahan?
No comments:
Post a Comment