“Islam tidak pernah meremehkan unsur kebendaan dan perananya dalam memakmurkan bumi, mamajukan tamadun manusia, merealisasikan kehidupan yang baik bagi manusia serta membantu mereka dalam menunaikan kewajipan kepada Tuhan yang telah menciptakan dan menyempurnakan manusia serta menjadikannya sebagai khalifah di muka bumi. Namun sentiasa ditegaskan dan diingatkan bahawa meskipun kehidupan ekonomi yang baik merupakan salah satu tujuan Islam yang didambakan, namun ia bukanlah matlamat yang akhir. Sebaliknya ia hanyalah sarana atau alat untuk mencapai matlamat yang lebih besar dan lebih jauh.”
Hak Allah dan Hak Manusia
Di dalam usaha kita mencari rahmat Allah di dunia, Islam meletakkan garis panduan yang jelas bahawa tidak boleh menyebabkan kita lupa kepada Allah dan hak-hak manusia lain ke atas kita. Tidak boleh kerana kerja kita lalai untuk solat. Tanyalah kepada diri kita berapa kali kita ke masjid untuk berjemaah. Sekali seminggu? Atau Sebulan sekali? Atau setahun dua kali? Bukankah jemaah pada solat itu satu tuntutan hingga Rasulullah sepertimana riwayat Bukhari dan Muslim pernah berkata bahawa jika boleh baginda akan membakar rumah-rumah mereka yang tidak datang solat berjemaah. Jika kita bekerja sehingga lewat malam, sabtu dan ahad, manakala di tempat kerja kita hanya solat bersendirian, bilakah kita berjemaah? Dan bila masakah kita ke masjid meraikan rumah Allah?
Selain hak Allah, insan lain juga mempunyai hak ke atas kita. Ayah dan Ibu mempunyai hak ke atas kita. Tidak boleh kita dahulukan kerja dan tugas hingga mengenepikan ibu bapa kita. Jika jihad perang dijalan Allah merupakan pekerjaan yang paling penting dan mulia masih berada selepas berbakti kepada ayah ibu, apatah lagi kerja di pejabat. Jika ibu bapa tiba melawat pada hari cuti dan dikala itu kita mempunyai tugas hendaklah kita memohon izin daripada ibu bapa kita. Jika mereka redha teruskanlah tugasan kita tetapi jika mereka tidak redha dan mahukan kita menemani mereka, wajib dalam Islam kita menyerahkan tugasan itu kepada orang lain. Ibu bapa hanya boleh diketepikan apabila tugasan kita adalah tugasan ummah seperti berjihad ketikamana musuh menyerang negara Islam atau keperluan ummah yang penting seperti negara kekurangan askar atau doktor. Jika pemerintah memanggil mengisi keperluan tentera dan doktor ini dan tugasan adalah 7 hari seminggu, maka ibu bapa boleh diketepikan untuk mendahului tugasan ummah. Itu pun hendaklah berkata yang baik kepada ibu bapa kita dan bukan pergi berjihad tanpa penjelasan baik kepada ibu bapa. Tetapi jika hanya tugasan syarikat atau badan organisasi biasa, jika ibu bapa memerlukan perkhidmatan kita, wajib ibu bapa itu didahulukan.
Tanggungjawab
Bagi lelaki, tanggungjawab mereka lebih besar. Bekerja mencari rizeki adalah wajib dan menjaga pendidikan anak-anak, isteri dan menjaga urusan rumah juga menjadi wajib. Tidak boleh ditinggalkan. Jika wanita wajib hanya pada didikan anak-anak dan urusan rumah, bagi lelaki semua itu termasuk didikan isteri dan mencari nafkah adalah wajib. Jika suami itu hanya fokus kepada kerja di luar dan mengabaikan urusan rumah tangga maka dia telah culas dan cuai pada amanah Allah. Dosa yang ditanggung adalah besar kerana mengabaikan urusan di rumah. Mereka tidak boleh meninggalkan pekerjaan tetapi mereka tidak boleh megabaikan urusan di rumah. Maka hendaklah lelaki itu berhemah dalam membahagikan masa untuk urusan-urusan ini.
Inilah falsafah Islam dalam pekerjaan. Dalam masa kita dianjurkan berusaha dengan keras, kita dididik bekerja kerana untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab bukan untuk meraih jawatan atau mencari nama. Dalam kita disuruh mencari rizeki Allah, kita diwajibkan tidak melupakan hak-hak lain iaitu hak Allah dan hak manusia lain ke atas kita. Inilah ajaran Islam.
Allah itu maha mengetahui.






