Search This Blog

Sunday, March 25, 2012

Muhammad yang bikin mama menangis (dan menyebabkan mama sedar mama antara manusia paling beruntung di dunia)


Salam...

Sekian banyak coretan saya berkenaan anak-anak lebih cenderung kepada kisah Muhammad. Bukan menidakkan kehadiran si adik dalam kehidupan kami, namun, kerana Muhammad yang semakin membesar itu seringkali memberikan ibrah/pengajaran kepada saya dan keluarga tanpa sedar. Mungkin kerana mulutnya yang semakin bijak bersuara, atau kerana keletahnya yang sering mencabar kesabaran saya.

Sebagai anak sulong, lelaki, memang harapan kami banyak tertumpu kepada Muhammad. Namun, tidak terlalu menekan. Biarlah dia membesar tanpa sebarang tekanan yang negatif. Itu lebih baik untuknya. Saya akui, sebagai seorang ibu, saya masih perlu belajar banyak ilmu untuk membesarkan dan mendidik anak-anak, kerana saya bukanlah yang terbaik. Kesabaran adalah kunci utama dalam membesarkan anak seusia Muhammad dan Ahmad. Dalam doa saya sepanjang hari, saya sentiasa mohon agar dikurniakan kesabaran, kebijaksanaan, dan kekuatan dalam membesarkan dan mendidik anak-anak kami. KESABARAN itu nombor satu.

Bukan mudah membesarkan anak-anak yang terlalu banyak karenah. Tapi itulah tanggungjawab terbesar seorang ibu. Malah, saya sudah bercadang untuk berhenti kerja sebaik sahaja Muhammad mencecah ke sekolah rendah, untuk memberikan pendidikan dan penjagaan terbaik buatnya dan adik-adiknya insyaallah. Moga rezeki Allah ada untuk kami sekeluarga, agar saya mampu kembali kepada fitrah seorang ibu yang sempurna... Aameen...


Pada hari Sabtu lepas, saya dan suami menghadiri Hari Perjumpaan Ibu Bapa dan Guru di sekolah Muhammad, Tadika Lestari Impiana, (Little Caliphs Programme) Bandar Baru Bangi. Bagi sesiapa yang 'follow' (perasannya diri ini, eheh ;p) entri berkenaan persekolahan Muhammad, pasti sudah sedia maklum yang pada awal detik persekolahan, Muhammad sering menangis dan ini menyukarkan saya menghantarnya ke sekolah pada setiap pagi. Namun, alhamdulillah, minggu selepas cuti semester, Muhammad kelihatan gembira ke sekolah. Saya sendiri tertanya-tanya mengapa.

Ok, berbalik kepada kisah hari Sabtu. Kedatangan kami disambut oleh teacher Faezah yang manis. Dia memulakan teka-teki kami berkenaan prestasi Muhammad dengan ucapan "Alhamdulillah, Muhammad merupakan pelajar lelaki terbaik dalam kelasnya." Saya tidak pernah memberi tekanan kepada Muhammad berkenaan pelajarannya, bagi saya, cukuplah dia cemerlang sebagai hamba Allah, dan mampu menempuhi hidup berdikari kelak. Namun, sebaris ayat itu sudah cukup menghadirkan suatu perasaan dalam hati saya sebagai seorang ibu.

teache Faezah membentangkan satu persatu laporan prestasi Muhammad yang banyak bertanda "G" GOOD. Gred tertinggi dalam laporan tersebut. Kata teacher Faezah lagi, Muhammad menunjukkan progress yang cepat dan kini akan bermula dengan buku kedua yang sepatutnya hanya akan bermula pada bulan Julai. Alhamdulillah... Dan, Muhammad juga pernah membantu teacher Faezah mengajar rakan-rakannya di hadapan kelas, yang mana tugas itu dilaksanakan dengan baik. Teacher Faezah menerangkan segala-galanya dengan wajah teruja dan segala "pembongkaran" itu menyebabkan hati saya sebak, manakala air mata hanya menunggu masa untuk tumpah.

Pada saat itu, terdetik perasaan syukur yang tidak terhingga dalam diri saya. "Ya Allah, sungguh akulah hambamu yang paling beruntung dalam dunia ini, meski beribu ujian yang Kau timpakan kepadaku, namun anugerahMu lebih banyak mengatasi segalanya. Hanya hambaMu yang sering lalai. Aku bersyukur ya Allah, kerana Kau sempat menitipkan peringatan di saat aku merasa terlalu bahagia. Bukan mudah bersyukur dalam kebahagiaan, bukan mudah mengingatiMu dalam kegembiraan. Alhamdulillah..."

*****

Malam tadi, sebelum tidur, Muhammad mengucup pipi saya kemudian mengucapkan "thank you mama". Si adik yang melihat perbuatan si abang turut mengucup pipi saya dan mengucapkan "thank you mama". Saya bertanya, "Kenapa cakap thank you?" . Jawab Muhammad, "cuba mama bagi teddy bear ni kat Muhammad, (saya lakukannya), ha, lepastu Muhammad cakaplah thank you." Muhammad menerangkan ucapannya dengan sesuatu yang simbolik, mungkin dia sendiri tidak sedar, tapi saya tahu, dia menghargai saya. Buat kesekalian kalinya, air mata seorang ibu bergenang lagi.

*Saya akhiri malam mereka dengan kucupan kasih. Mama tidak mungkin mendapat anak-anak yang terbaik melainkan kalian. Sebak bertandang lagi....

Thursday, March 22, 2012

Membimbangi iman sendiri.



















~ It's Friday... Friday... - Rebecca Black- (erk)
~ Better listen to this, ~ It's Jumu'ah - Raef cover :) (by awakening records - Youtube)

Salam...

Selamat berhari Jumaat yang mulia....

Sedikit entri ringkas untuk hari ini sempena hari Jumaat yang mulia.
Saya sebenarnya sedang menanda kertas jawapan ujian pelajar-pelajar yang mengambil subjek Company Law. Namun, bila kebosanan semakin melanda maka saya mengambil keputusan untuk berhenti seketika agar bateri diri kembali "fully charged".

Sekadar mahu berkongsi buah fikiran, memandangkan sepanjang minggu ini heboh berkenaan kes remaja yang merancang penculikan sendiri agar dapat bersama dengan buah hati mereka. Naudzubillah.... Ternyata kecanggihan fikiran mereka sukar untuk ditafsirkan.

Bukan itu sahaja, setiap kali membaca surat khabar, pasti ada sahaja berita tentang keruntuhan moral remaja/belia/warga tua (yang tak sedar kubur sudah memanggil2). Satu yang saya perasan tika membaca kisah2 sebegini, mulut beristighfar, namun hati seolah-olah hilang renjatan kejutan. Mungkin kerana kisah-kisah keruntuhan ummah ini sudah terlalu sering dijadikan bahan berita lantas menjadikan ini semua kisah biasa-biasa sahaja. Sungguh ya Allah, saya risaukan keadaan iman sendiri kerana perkara sebegini sudah terlalu sering berlaku sehinggakan perasaan gentar itu semakin menghilang.

Saya yakin, bukan saya seorang sahaja, malah mungkin seluruh rakyat Malaysia berperasaan yang sama. Kita berdecit-decit, menggeleng-gelengkan kepala, namun setakat itu sahaja. Berapa ramaikah di antara kita yang menggunakan (paling tidak pun) selemah-lemah iman, mendoakan agar keadaan ummah kembali diberkati dengan kemuliaan peribadi? Saya pasti kurang 20% daripada seluruh rakyat Malaysia yang mendoakan ummah kita. Saya sendiri, bila berdoa selepas solat lebih gemar mendoakan kebaikan diri dan keluarga sendiri.

Itu kisah tentang doa, bagaimana pula dengan aktiviti amar ma'ruf, nahi munkar. Jauh sekali kita adakan! samada dari peringkat tertinggi kepimpinan mahupun ke peringkat yang lebih rendah. Jarang sekali! Sedangkan dalam rumah sendiri pun si ayah boleh terliur melihat anak gadis suntinya berseluar pendek paras peha! Naudzubillah... Ya Allah... Selamatkan ummah ini...

Saya bimbang dengan kelemahan iman sendiri. Dan saya membimbangi, bala Allah diturunkan atas "keamanan" hati kita dengan penyakit masyarakat kini. Ya Allah.... Ya Allah... Patutlah Nabi Muhammad SAW tidak lekang dari menyebut ummati...ummati... pada saat akhir hayatnya. Saya malu mengenangkan kelemahan iman sendiri!

Wednesday, March 14, 2012

Ada cerita tentang aku dan dia...


Salam...

Pagi ini saya menyedari sesuatu. Sesuatu yang sangat menyentuh hati dan perasaan saya sebagai seorang isteri. Perkara yang disedari itu pula tidak pernah saya 'lihat' semenjak kali pertama saya memandu kereta bersendirian.

Seperti biasa, rutin harian sebelum menuju ke tempat kerja ialah bersalaman dengan suami. Dan, suami pula akan menghantar pemergian saya dengan pandangan mata. Sungguh saya tidak pernah menyedari suatu anugerah yang Allah kurniakan kepada saya sehinggalah pagi tadi. Dalam kesamaran selepas menutup pintu kereta, saya berpaling semula untuk melihat wajah suami. Sempat saya titipkan pesanan agar suami balik awal pada hari ini.

Suami tidak membalas, sebaliknya kelihatan bibirnya yang terkumat-kamit seolah-olah sedang membacakan sesuatu sambil memandang wajah saya. Saya sedar, itu merupakan bacaan doa darinya. Dan saya pasti, itu merupakan doa buat saya, semoga Allah memberikan keselamatan kepada saya sepanjang pergi dan kembali semula. Alhamdulillah.... Ini penghargaan bagi seorang isteri, ini cinta yang sempurna bagi seorang isteri, ini kasih yang sebenar bagi seorang isteri, ini syurga bahagia bagi suami isteri.

p/s : Bukan untuk mengangkat diri sendiri, jauh sekali menimbulkan rasa loya, malah berkilometer jauhnya daripada menunjuk-nunjuk, sekadar berkongsi....pernahkah anda mendoakan orang kesayangan anda? Kalau belum, lakukan sebelum terlambat. Cinta yang diredhai, ialah cinta yang halal disisi Allah. Marilah kita sama-sama mengejar baitulmuslim... semoga redha Allah sentiasa bersama kita.

Thursday, March 8, 2012

Kalau awak sempat jumpa dia (insyaallah sempat........) bisikkan dia, saya kirim salam & saya gembira dia jd student saya.


-Amer...berbaju hitam-


Salam...

Pesanan terakhir saya kepada rakan arwah Mohd Amirruddin Ahmad sebelum dia bertolak untuk menziarahi arwah di PPUM,

" kalau awak sempat jumpa dia (insyaallah sempat........) bisikkan dia, saya kirim salam n saya gembira dia jd student saya." ............. sempatkah dia menyampaikan pesanan saya.........?

Saya masih ingat, beberapa semester yang lepas, saya bertanggungjawab mengajar subjek Commercial Law kepada pelajar-pelajar section 16. Arwah merupakan antara pelajar yang sentiasa menyebabkan saya tertawa. Dia seorang pelajar yang menghormati pendidiknya.

Surat yang ditulis oleh arwah kepada saya (semua pelajar perlu menulis untuk saya pada hari terakhir kelas), saya baca sambil tersenyum, tetapi bersama genangan air mata yang ditahan-tahan....

Mdm Nurul Fatehah Ansari
Mohd Amirruddin B. Ahmad

"Seronok, itu adalah perkataan pertama yang terpancar dalam mulut dan fikiran saya semenjak pertama kali saya belajar dalam kelas commercial law. Memang sebelum ini saya seronok dalam kelas tetapi kelas miss adalah yang terbaik.

Miss, saya merindui cara pembelajaran yang begitu efektif walaupun kadang2 saya mengantok dan sempat lagi tidur tapi saya seronok sangat. Tak terkata.

Akhir kata dari saya, semoga Miss dan keluarga sihat walafiat, semoga Miss bertambah ayu dan comel sentiasa.

*Jangan lupa pakai jam pink :) hahaha...
-mmm...
-best....


Amir



Pemergianmu ditangisi...
Alhamdulillah Ya Allah, kau permudahkan urusannya...
Buat pelajar/sahabat2 Amir sekalian.... Dia pergi, namun tetap kekal di hati kita... Untungnya beliau, mempunyai sahabat2 yang mencintainya, menyayanginya, tetap bersamanya sehingga hembusan nafas terakhir....


~Telah ditakdirkan kau pergi dulu...Kau sahabatku kau teman sejati....- Hijaz-

Tuesday, February 28, 2012

Muhammad nak mama jadi anak Muhammad... Bikin aku pilu.

Mama :
Muhammad kena pergi sekolah tau, belajar pandai-pandai, nanti mama dah tua nanti boleh jaga mama elok-elok...

Muhammad:
Ooo... Tapi kalau Muhammad dah tua nanti, siapa yang jaga Muhammad.

Mama:
Anak Muhammad lah.

Muhammad:
Tapi anak Muhammad nanti siapa?

Mama:
Nanti Muhammad dah kahwin, dah besar, adalah anak Muhammad nanti.

Muhammad:
Tapi, Muhammad nak mama jadi anak Muhammad......... :(

Mama:
Kenapa?

Muhammad:
Sebab Muhammad nak mama jaga Muhammad.....:(

Speechless.......~ Naif, comel, kelakar, tapi penuh dengan harapan yang tersirat... Sang anak memang selama-lamanya tidak mahu berpisah dengan sang Ibu (Perasaan ketika masih bergantung dengan ibu).

Namun, wahai anak-anakku, masihkah begitu perasaanmu tika kalian sudah mula mengenal erti kebebasan?

Masih samakah perasaan itu ketika kalian sudah mula punya pasangan sendiri?

Masih adakah perasaan itu ketika kalian sudah mula sibuk menghitung kerja dan harta?

Mama berfikir untuk muhasabah mama, mama berfikir untuk diri kalian. Mama berfikir dan berfikir.... masa depan masih jauh, namun masih cukupkah masa untuk mama mendidik kalian agar bisa menjadi Mukmin dan Muslim yang ideal?

~I'm gonna love this moment, in everyday and night~ My Journey, 911.

Friday, February 10, 2012

Entri ini untukmu...

Salam...

Entri ini ditulis ketika saya masih bertugas dalam sesi perjumpaan dengan ibu bapa pelajar-pelajar kolej. Tujuan acara ini diadakan ialah untuk berkenalan dengan ibu bapa pelajar. Itu objektif utamanya. Alhamdulillah, objektif ini berjaya dicapai.

Namun,

dalam banyak-banyak perjumpaan, saya sangat terkesan dengan satu perjumpaan. Perjumpaan ini betul-betul mengubah persepsi saya atas sisi 'kekerasan' seorang ayah.

Meja saya dikunjungi sebuah keluarga pelajar lelaki. Ayah, ibu, serta adik perempuannya. Pelajar ini bagi saya tiada masalah dari segi sahsiah mahupun pelajaran. Dia seorang yang sangat cemerlang. Malah menjadi pelajar dekan setiap semester.

Seperti biasa, kita akan menceritakan kelemahan atau kelebihan pelajar kepada ibu bapa. Sama seperti pelajar lelaki ini, saya turut melakukan perkara yang sama. Saya katakan yang saya gembira mendapat dia sebagai pelajar saya, dan saya beruntung kerana dia menjadi pelajar harapan saya dalam kelas. Saya memuji ikhlas dari hati, bukan sekadar manis mulut.

Tanpa saya sedari, air mata si ayah bergenang. Ada beberapa ketika saya melihat si ayah menyapu air mata di hujung mata. Merah matanya menahan tangisan. Saya turut merasa sebak. Jarang kita melihat seorang ayah mengalirkan air mata kerana bahagia ke atas kejayaan dan kebaikan anaknya. Sangka saya, hati seorang ayah keras. Tetapi pemandangan di hadapan saya sebentar tadi betul-betul mengubah persepsi saya. Agaknya ini cara seorang ayah menunjukkan kasih dan keprihatinan mereka. Tentu sahaja penciptaan lelaki dan wanita ada jurangnya dari segi sifat.

Tiba-tiba saya teringatkan daddy (ayah) di negeri Bawah Bayu... Sudah 3 tahun saya tidak bertemunya. Terlalu banyak kekangan yang menyebabkan rancangan untuk balik ke daerah Ranau terbantut. Sukar... Hanya Allah yang mengetahui kocakan dalam hati hati. Saya rindukan daddy.
Saya teringat pada satu peristiwa ketika saya menginjak ke tingkatan satu. Beberapa orang pelajar di negeri Sabah termasuk saya telah mendapat tajan biasiswa ke tanah Semenanjung. Pada tarikh penerbangan, saya menguatkan diri saya agar saya tidak menangis dengan perpisahan dengan ahli keluarga. Alhamdulillah, saya berjaya. Namun, kisah daripada ibu saya, pada saat saya sudah hilang dari pandangan mata. Kelihatan genangan air mata pada mata ayah saya. Siapa kata si ayah keras hatinya???

~ Siapa kata si ayah keras hatinya???

~ Entri ini untukmu- ayah dan anak. Moga kita sama-sama sedar, penghakiman kita tidak semuanya betul.

Friday, February 3, 2012

Salah satu daripada wish list saya...

Salam...

Baru-baru ini ketika menghantar kunci kelas ke makmal komputer, saya ditanya oleh pelajar praktikal, Fakhrulzzaman,


"Madam, kenapa dah lama tak update blog? Peminat setia ni?" Katanya.

Aisehmen... saya menggaru-garu kepala yang tak gatal.

"Sorry, saya rasa macam takde cerita yang nak dikongsikan..." sedangkan realitinya banyak. Cuma saya yang malas untuk mengetuk papan kekunci ini.

Pun begitu, saya cukup terharu, kerana blog biasa-biasa ini punya 'peminat setianya' . Oleh itu, tanpa melengahkan masa, pada petang ini, saya membuat keputusan untuk mengisi tanah kontang ini dengan sedikit kisah... kisah yang positif, yang boleh memberikan inspirasi kepada orang lain (barangkali).

Salah satu daripada impian tidak serius saya ialah, mahu menjadi seorang penulis. Tak kisahlah penulis apa, asalkan title yang saya pegang ialah penulis. Boleh katakan impian untuk menjadi penulis merupakan salah satu daripada wish list saya.

Pada mulanya, saya hanya menulis sekadar suka-suka, untuk mengisi masa lapang sebelum mendapat pekerjaan.
Tidak lama selepas itu, saya merasa teruja kerana yang sedikit itu menjadi bertambah banyak sehingga mencapai lebih daripada 100 mukasurat. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk menghantar manuskrip separuh itu kepada sebuah syarikat penerbitan novel. Alhamdulillah, maklum balas yang diterima amat menggalakkan. Pada ketika itulah saya merasakan yang saya perlu serius dalam cita-cita saya itu.

Di pendekkan cerita, akhirnya, pada hari ini, pada pukul 3 pagi, saya mendapat email bahawa syarikat penerbitan tersebut berminat untuk menerbitkan manuskrip saya, cuma, saya perlu menunggu giliran untuk diterbitkan. Alhamdulillah.... penantian dan impian akhirnya tercapai walaupun pada mulanya, saya TAKUT-TAKUT untuk mencuba.

Saya sering menasihati pelajar-pelajar saya, jangan takut untuk mencuba. Jangan takut untuk bermimpi. Jangan takut untuk mencipta impian walau impian itu nampak mengarut pada orang lain. Walau apapun ia... MULAKAN DAHULU. Hasilnya, usah difikirkan. Kalaulah Thomas Edison takut untuk memulakan eksperimen lampu mentolnya, sudah tentu, nama beliau tidak akan menjadi nama besar dalam sejarah inovasi manusia.

Penghalang terbesar manusia dalam mencapai sebarang impian ialah, TAKUT. Saya sudah melepasi tahap itu selepas sahaja saya menekan kekunci ENTER untuk menghantar manuskrip saya. Alhamdulillah, jalan yang saya susuri selepas itu lancar. Rahmat dan ni'mat dariMu jua YA ALLAH.

Sehingga ini, senyuman saya masih lagi lebar kerana kepuasan itu saya rasakan. Saya turut mendapat satu motivasi baru untuk dikisahkan kepada pelajar-pelajar saya... WALAU APAPUN IMPIAN ANDA, MULAKAN LANGKAHNYA, JANGAN SUATU HARI NANTI ANDA MENYESAL KERANA TIDAK PERNAH MEMILIH UNTUK MEMULAKAN LANGKAH. Soal berjaya atau tidak, usah difikirkan. Yang penting, positif! ANDAI TERSADUNG, MAHUPUN TERSUNGKUR, MULAKAN SEMULA LANGKAHMU! ~Thomas Edison memang sumber inspirasi yang bagus~ dan aku tetap tidak melupakan langkah perjuanganmu yang sentiasa penuh berliku wahai RASULULLAH, langkah berliku yang akhirnya diakhiri dengan kegemilangan Islam, HAPPY BIRTHDAY YA RASULULLAH... :)Link