KECUKUPAN.
“Dan bahawasanya Dia yang memberikan kekayaan
dan memberikan kecukupan”, An Najm: 48.
Pernahkah anda merasa terkilan atas ketidak
cukupan gaji yang diterima pada setiap bulan? Setiap kali pasti ada sahaja yang
memerlukan penggunaan wang sehinggakan gaji yang pada mulanya beribu-ribu
sekelip mata menyusut menjadi tiga angka sahaja.
Ada satu kisah biasa yang diceritakan kepada
saya oleh seorang rakan. Memang ini
kisah biasa, yang sering kita dengar, namun, pada setiap kisah, pasti ada
sesuatu didikan yang tersirat untuk
sesiapa yang mengalaminya. Tetapi, berapa banyak daripada kita yang
menyedarinya?
Kisahnya bermula selepas pemberian bonus akhir
tahun kepada setiap kakitangan di organisasinya. Seperti biasa, pemberian bonus
ini memberikan kelegaan yang cukup besar kepada semua kakitangan. Tidak
ketinggalan juga kawan saya. Saban hari dia mewar-warkan perancangannya yang teliti
berkenaan penggunaan wang bonus yang diterimanya. “ Aku nak beli baju baru, nak
beli basikal baru untuk anak-anak, nak belanja keluarga makan-makan, nak simpan
sikit, nak…” dan begitulah seterusnya setiap hari.
Namun, beberapa hari selepas menerima pemberian
bonus tersebut, rakan saya mengadu, dia bakal tidak akan merasa walau sesen pun
wang bonus tersebut kerana keretanya dimasukkan ke bengkel dan memerlukan wang
sebanyak RM2000 untuk membayar bengkel kereta tersebut. Wajahnya monyok
menggambarkan betapa dia sedih dengan keadaan tersebut. Kami yang faham hanya
mampu menumpang simpati. Kami faham, bagi individu yang baru bertatih-tatih
memulakan keluarga, wang merupakan perkara penting dalam hidup. Tetapi,
beberapa ketika kemudian, kedengaran suaranya menjerit “Cukuplah Allah bagiku!”
Jeritan itu membuatkan kami cemas, pantas kami
menjenguknya di mejanya. Dia tersenyum memandang kami semua. Tanpa sempat kami
menghulurkan sebarang pertanyaan, dia menjelaskan jeritannya sebentar tadi.
“Cukuplah Allah bagiku. Mungkin sebenarnya
bonus tu bukan rezeki aku, tapi rezeki orang lain. Rezeki taukeh bengkel kereta
tu barangkali? Tapi Allah salurkan melalui aku. Mana tahu dia lebih memerlukan
duit itu berbanding aku. Setakat ni pun, Alhamdulillah, aku masih cukup, Cuma
bila dapat lebih sikit, siapa yang menolak? Tapi dah tertulis, aku cuma wasilah
untuk menyampaikan rezeki Allah kepada orang lain. Cukuplah Allah bagiku. Aku
bersangka baik dengan Allah.”
Subhanallah… Penjelasan yang cukup mantap
daripada fikirannya yang sentiasa positif dan bersangka baik dengan Allah.
Jelas, di sebalik bebanan yang negatif itu, terselit timbunan positif yang
menggunung.
Firman Allah di dalam al-Quran:
”Katakanlah, ‘Sesungguhnya Tuhanku melapangkan
rezeki bagi siapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan
menyempitkan bagi (siapa yang dikehendaki-Nya).’ Dan barang apa saja yang kamu
infakkan, maka Allah akan menggantinya dan Dialah sebaik-baik pemberi rezeki.”
Saba: 39
Jelaslah menurut ayat tersebut, semuanya
tertakluk pada ketentuan Allah. Siapalah kita untuk menolak ketentuan Allah?
Saya terpanggil untuk menarik perhatian
pembaca kepada satu kisah yang dikeluarkan daripada satu rancangan televisyen
di Mesir.
Sebuah wawancara khas telah diadakan untuk
menemuramah seorang wanita tua yang buta, tinggal seorang diri, dan miskin. Apa
yang menarik perhatian penulis ialah, bagaimana wanita tua ini tidak pernah
mengeluh dengan kekurangan yang ada padanya, bahkan, apabila ditanya adakah
sesiapa yang tampil untuk membantu wanita itu, dengan pantas dia menjawab,
Allah. Allah bersamaku.
Wanita ini malah bersyukur dengan segala
musibah penyakit yang Allah 'anugerah'kan kepadanya.
"dia yang memberikanku penyakit kemudian
dia menarik semula penyakit itu, kemudian dia mendatangkan semula sakit, dan
menarik semula, sungguh Allah bersamaku selama ini"
Apabila ditanya berkenaan wang, adakah
mencukupi? Wanita ini menjawab, “ Aku makan, Alhamdulillah, aku makan, dan
segala-galanya lebih daripada cukup. Adakah perlu untuk aku mengumpul harta?
Perlukah aku mengumpul harta? Sedangkan Nabi Muhammad S.A.W sentiasa berasa
cukup dengan yang sedikit. Mereka yang sentiasa mengumpul tidak akan pernah berasa
cukup. Aku sudah merasa cukup.”
Maha Suci Allah…betapa dia memandang musibah
itu dari sudut hikmah. Sesungguhnya benar. Allah mungkin tidak pernah
memperdulikan kita sekiranya tidak ada apa-apa yang berlaku kepada kita.
Sungguh dia sedar bahawa dia itu sentiasa berada dalam perhatian Allah.
Subhanallah...
Tidak dinafikan mengumpul harta itu juga
perlu, tetapi dalam keadaan miskin seperti wanita tua tu, dia sangat berasa
cukup. Itulah sikap yang perlu dicontohi oleaorang penulis terkemuka, penerbit, pencipta, diplomat, ahli sains dan
ahli falsafah, pernah menyebut,
“Money never made a man happy yet, nor will it. The
more a man has, the more he wants. Instead of filling a vacuum, it makes one.”
Duit belum pernah membahagiakan seorang
lelaki, dan tak mungkin akan membahagiakan. Semakin banyak seorang lelaki
mempunyai duit, semakin bertambah keinginannya. Daripada mengisi vakum,
sebaliknya ia menghasilkan sebuah vakum.
Jadi bagaimana? Tepuk dada, tanyalah iman!