Search This Blog

Thursday, September 29, 2011

Octavia untuk Iris (Part 7) ...maaf atas 'keterlewatan' itu.....

BAB 6

Subuh yang damai. Aku masih bersimpuh di atas sejadah. Perasaan bersalah masih menggigit jiwa. Nasib baik balang yang ku gunakan cuma balang plastik, kalau tak, aku pun tidak sanggup membayangkan apa yang akan berlaku kepada Mr. Smith. Aku bersiap memakai baju yang lebih sopan. Blaus labuh ke lutut kupadankan dengan skirt labuh dan tudung berbentuk tiga segi labuh yang kusilangkan pada kedua-dua bahuku. Aku memilih sarung kaki yang agak tebal disebabkan cuaca di atas puncak bukit yang agak luar biasa sejuknya pada awal pagi. Aku memilih selendang yang tebal menggantikan baju tebal untuk menahan kesejukkan. Aku bersyukur kerana aku dilahirkan dalam keluarga yang agak berada serta mempunyai seorang mama yang amat mementingkan imej. Pakaian-pakaianku tidak ada yang masuk dalam kategori selekeh ataupun seperti yang selalu mama sebutkan, “ tidak setaraf dengan status ekonomi kita”. Mama suka mengajarku tentang fesyen. Kata mama, bertudung labuh dan menutup aurat tidak menghalang seorang muslimah daripada berfesyen. Mungkin sebab itu juga aku di lihat sebagai seorang yang mempunyai citarasa fesyen yang baik oleh Madam dan Mrs. Danielle.

Aku tahu hari masih terlalu awal, penghuni-penghuni rumah ini pun belum bangun, kecuali Margarate dan beberapa orang gaji yang bertugas untuk membersihkan rumah. Margarate sedang menyediakan sarapan pagi di dapur. Ada seorang lagi pembantu yang membantu Margarate di dapur, Habibah namanya. Aku menuju ke arah bilik bacaan yang berada di tingkat bawah. Aku menyelesaikan segala tugasanku di bilik bacaan ini. Antara tugasku selain daripada menguruskan rumah ini dan memastikan segala kelengkapan yang diperlukan di rumah ini tersedia, aku perlu merekodkan dan memperuntukkan perbelanjaan yang sesuai untuk setiap urusan yang diperlukan untuk penghuni-penghuni rumah ini. Walaupun hari ini merupakan hari Ahad dan aku tidak perlu bekerja pada hari ini, tapi, ada beberapa rekod yang perlu ku kemas kinikan.

Terlalu banyak kekeliruan dalam rekod-rekod yang disediakan oleh bekas pengurus rumah ini. Ada juga beberapa rekod perbelanjaan yang tidak ada. Bukan sehari dua, tetapi rekod perbelanjaan untuk beberapa minggu. Semuanya dalam masa setahun sebelum aku mula bertugas di sini.

“Hmm...” Aku mengeluh, menguruskan rekod perbelanjaan sebuah rumah seperti menguruskan rekod perbelanjaan sebuah syarikat kecil. Cukup memeningkan dan menyusahkan bagi aku yang tidak mempunyai ijazah dalam bidang ekonomi. Aku merehatkan mataku sebentar. Mataku melilau melihat sekeliling bilik bacaan ini. mataku tertarik pada satu ruang kosong di dinding di antara dua rak buku yang mempamerkan sebuah potret keluarga hitam putih. Kelihatan seorang kanak-kanak lelaki yang berusia dalam lingkungan enam tahun sedang duduk di pangkuan seorang wanita berwajah Asia. Di sebelah wanita itu, duduk seorang lelaki berwajah Eropah. Hmm, mungkin kanak-kanak lelaki itu Mr. Smith ketika kecil. Di belakang mereka berdiri seorang wanita, juga berwajah Asia, tersenyum dengan senyuman yang manis.

“Macam kenal...” bisikku perlahan, kuamati dengan lebih dekat wajah wanita yang ceria itu.

“Eh, ini Syerry.” Sungguh, aku tidak tersilap pandang, wajah Syerry di dalam potret itu amat berbeza dengan wajah Syerry sekarang. Wajah di dalam potret itu lebih hidup dan cantik. Tapi, apa kaitan Syerry dengan keluarga Mr. Smith? Menyebut nama Mr. Smith, tiba-tiba aku teringat akan sesuatu. Ya! Aku perlu meminta maaf dengan Mr. Smith! Tapi, bagaimana caranya untuk aku meminta maaf? Sekeping kad? Hmm... mungkin boleh. Tanpa berlengah lagi, aku menuju ke meja tulis. Ada beberapa keping kertas berwarna di dalam laci meja tersebut. Sekeping kertas berwarna dijadikan kad sebagai tanda meminta maaf pun okay.

Aku memilih sekeping kertas berwarna merah yang ku potong saiznya menjadi lebih kecil, kulekatkan sekeping kertas berwarna kuning yang bersaiz lebih kecil di atas kertas merah itu. tiba-tiba aku terasa bodoh. Tergelak sendirian di dalam hati. Selalunya, hanya budak perempuan yang akan melakukan kerja seperti ini, dan penerimanya juga merupakan perempuan. Kalau ada penerima lelaki pun, si lelaki itu adalah orang yang istimewa bagi si pembuat kad itu. Mahukah Mr. Smith menerima kerja bodohku yang ikhlas ini? Biarlah, samada dia terima atau tidak, belakang cerita, yang penting, dia tahu aku ikhlas meminta maaf daripadanya.

I’m sorry...

Sincerely,

Natasya.

Ringkas ucapan maafku kerana aku tidak tahu apa lagi yang perlu kutuliskan. Aku bergegas ke dapur. Tentu Margarate sudah siap menyediakan sarapan pagi. Cuaca di luar sudah beransur-ansur cerah. Mr. Smith pasti turun untuk bersarapan sebentar lagi. Margarate sedang menyusun sarapan untuk Mr. Smith di atas sebuah dulang. Aku tahu itu sarapan untuk Mr. Smith kerana terdapat sepotong kek labu dia atas piring pada dulang tersebut.

“Ya, Natasya, kamu sudah mahu makan? Wait ya, nanti saya siapkan.” Margarate begitu menghormati aku sebagai pekerja yang berpangkat lebih tinggi daripadanya. Mungkin di kedutaan Indonesia dahulu memang begitu protokolnya. Cuma sekali dia pernah memarahiku, itupun dengan nada marah seorang ibu. Dan sekali itu merupakan malam tadi ketika aku memukul Mr. Smith.

Aku menggelengkan kepala. “Takpe, nanti saya ambil sendiri sarapan saya. Err... Margarate, saya nak minta tolong boleh?” Teragak-agak aku menuturkan permintaanku itu.

“Mr. Smith ya?” Pandai Margarate meneka.

“A’ah” aku mengangguk.

“Tolong selitkan kad ni pada dulang sarapan Mr. Smith boleh?” Aku menghulurkan kad buatanku tadi kepada Margarate yang sedang mengelap tangannya. Margarate menyambut huluran kad ku itu.

“Okay,” balasnya sambil tersenyum.

“Err...Margarate, kalau saya bagi bunga ros sekali, okay tak?” Buat kali keduanya otakku berjaya menghasilkan idea bodoh.

Good idea, Mr. Smith suka bunga.” Oh. Nampaknya idea ini tidaklah sebodoh idea memberi kad berwarna warni tadi. Aku menuju ke taman bunga yang terletak di tepi sebelah kiri Catriona. Pak Rahim sedang menaburkan baja ke beberapa jenis bunga di situ. Pak Rahim memang menyukai kerjanya sebagai tukang kebun rumah ini, sebab itulah dia akan datang ke sini setiap hari walaupun dia sepatutnya tidak bekerja pada hujung minggu. Taman bunga ini dilengkapi dengan sistem sprinkler, oleh itu, Pak Rahim tidak perlu menyiram bunga-bunga di taman ini sendiri. Aku meminta jasa baik Pak Rahim untuk memotongkan aku sekuntum bunga ros putih. Putih melambangkan keikhlasan. Mungkin. Harap-harap Mr. Smith betul-betul menghargai keikhlasanku meminta maaf.

*****

1 comment:

  1. bagus fatehah..teruskan usaha anda menulis..

    ReplyDelete