Search This Blog

Sunday, December 12, 2010

kenapa blogku semacam ini? apa tujuannya?


Jangan pandang prejudis kepada orang-orang yang punya blog ini. Setiap orang ada tujuan mereka tersendiri. Bagi saya, blog merupakan satu-satunya ruang peribadi yang boleh dikunjungi oleh orang lain. Saya tiada masalah dengan konsep itu. Blog ada banyak peranan penting. Antaranya adalah untuk menyebarkan dakwah. Kerana Islam bukan hanya tersebar melalui mata pedang, tetapi juga melalui mata pena. Tulisan lebih berkesan.

Blog yang berkesan ialah blog yang digunakan untuk menyebarkan kebaikan. Saya tidak mengatakan yang blog saya ini terlalu baik. kadang-kadang ada gilanya juga. Tetapi, sempadannya ialah, setiap kali saya mahu menulis sesuatu entry, mata pasti akan terlekat pada kalimah tauhid yang mengalu-alukan pembaca blog ini. Sekaligus, hati terpanah untuk menulis sesuatu yang bermanfaat. Itu adalah antara sebabnya mengapa saya memilih kalimah tauhid itu sebagai mukadimah aluan. Sebagai sempadan agar saya hanya menukilkan yang baik-baik sahaja.

Memang. Saya memang menulis dengan tujuan agar ada orang yang membacanya. Dan, bukan hak saya untuk menyuruh orang menyukai tulisan saya. Saya cuma mahu menjadikan tulisan saya sebagai salah satu medium kebaikan, agar anak saya mengenali ibu mereka dari medium yang berlainan, iaitu medium penulisan. Legasi untuk mereka (juga buat suamiku huhu).

Orang lain boleh merasa jelik membaca tulisan-tulisan saya yang bersifat peribadi, saya tidak kisah. kerana, seperti yang saya katakan, blog merupakan satu ruang peribadi yang boleh dikunjungi. Apa-apa sahaja yang saya muatkan di sini, saya cuba untuk mengaitkannya dengan kebaikan. Walau apapun, semoga kita semua mendapat manfaat daripada penulisan dan pengalaman yang saya rakamkan di sini.

Saya menulis bukan untuk nama, bukan untuk 'syok sendiri', bukan juga untuk tujuan peribadi semata-mata. Tetapi, kerana mahukan kebaikan, dan kerana terkesan dengan sabda NABI SAW : sampaikan daripadaku walau sepotong ayat.

Semoga kita bersama-sama mendapat kebaikan daripada blog ini, walau hanya sekecil zarah...

No comments:

Post a Comment